Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, June 19, 2014

Apakah Agenda Dan Politik Peribadi Khalid?

Khalid harus letak jawatan!
Ng Kee Seng
SEKILAS PANDANG: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semakin menjadi beban terbesar Pakatan Rakyat.
Jika dibiarkan, tidak ada keraguan yang Pakatan akan ditolak rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.
Bukan sahaja beliau telah memalukan Pakatan dengan sikap lembik beliau dan pengurusan yang tidak efektifnya dalam isu-isu agama, beliau kini telah mengenepikan rakan-rakan politiknya dalam isu projek Kidex (Lebuhraya Kinrara-Damansara) yang dicadangkan.
Kidex adalah projek kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno, tetapi ia hanya wajar disokong jika ia benar-benar membawa faedah kepada rakyat.
Walau bagaimanapun, apa yang jelas mengejutkan adalah jika Kidex dibenarkan untuk diteruskan, ia bakal menjadi lebuhraya yang paling mahal pernah dibina – dengan kos RM161 juta bagi setiap kilometer.
Ini membawa kepada jumlah RM2.4 bilion bagi membina lebuhraya sepanjang 14.9km itu – tidak termasuk kos pengambilan tanah!
ADUN Damansara Utama-DAP Yeo Bee Yin mendedahkan bahawa Kidex akan menelan kos hampir 70 peratus lebih banyak daripada lebuhraya termahal pada masa ini – Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur atau AKLEH, yang menelan belanja RM95 juta bagi setiap kilometer, dan memerlukan bayaran tol yang mahal untuk digunakan.
Mengapa Khalid secara terang-terangan menyokong projek yang jelas memberi manfaat kepada syarikat konsesi lebuhraya Umno, yang akan memerah pendapatan negara ini?
Apakah agenda dan politik peribadi Khalid?
Tidak mungkin Pakatan Rakyat akan terus bertolak ansur dengan pengurusan sosio negeri Khalid yang memalukan ini, jika ia berharapan mengekalkan sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, ataupun untuk menawan Putrajaya.
Sama ada Khalid berundur secara sukarela sebagai MB, atau ADUN Pakatan perlu membawa usul tidak percaya untuk memecat Khalid daripada jawatan itu.
Khalid bukan sahaja secara misteri mengabaikan kos tinggi Kidex, beliau nampaknya telah memekakkan telinganya kepada bantahan penduduk Petaling Jaya yang terjejas, malahan tidak mengendahkan nasihat ketua parti itu sendiri, termasuk presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kidex Sdn Bhd, syarikat yang diberikan konsesi untuk membina dan mengendalikan lebuh raya itu, mendakwa dapat mengurangkan masa perjalanan antara Damansara dan Kinrara kira-kira 25 peratus dan mengurangkan jumlah trafik sebanyak 50 peratus pada kedua-dua arah, dari Puchong ke Petaling Jaya.
Ia juga mendakwa bahawa jumlah trafik akan berkurangan kira-kira 30 peratus daripada Taman Tun Dr Ismail, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Bandar Utama, ke Petaling Jaya.
Walau bagaimanapun lebuhraya ini sangat sarat dengan kontroversi, tambahan pula sehingga kini syarikat itu masih gagal untuk mengemukakan bukti terhadap dakwaan ini.
Ia dirancang untuk memintas menerusi kawasan PJ yang padat dengan kediaman, dan terdapat banyak persatuan dan kumpulan penduduk yang percaya bahawa ia akan meningkatkan pencemaran, bunyi bising dan kesesakan.
Yeo menulis: "Kajian Awal Penilaian Kesan Kidex Terhadap Alam Sekitar menyatakan bahawa 290 lot tanah dengan jumlah keluasan 15.15ha perlu diperolehi untuk menjalankan pembinaan lebuh raya ini.
Mengikut nilai pasaran semasa tanah-tanah di sepanjang jajaran yang dicadangkan, adalah dianggarkan bahawa ia akan menelan belanja dari RM700 juta kepada RM1 bilion untuk menjalankan pengambilan tanah dengan skala sebegini, mengikut prosedur yang dinyatakan di dalam Akta Pengambilan Tanah.
Ini akan menaikkan jumlah kos KIDEX di antara RM 3.1 bilion sehingga RM 3.4 bilion.
Sebuah lebuhraya bertingkat yang merentasi bandar matang yang menelan kos pembinaan yang tertinggi bagi setiap kilometre, dan menelan belanja lebih daripada RM3 bilion dalam wang rakyat, memerlukan penelitian rapat dan ketelusan yang lebih tinggi.
Kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan, yang masing-masing telah memberikan "kelulusan pada dasarnya" dan "kelulusan bersyarat", mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa faedah Kidex sememangnya mengatasi belanjanya dengan ketiadaan pilihan yang lebih baik (seperti pengangkutan awam), sebelum membuat keputusan akhir sama ada untuk meluluskan projek itu.
Kami menggesa supaya adanya ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih besar daripada kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan terhadap orang ramai, terutamanya penduduk yang akan terjejas oleh lebuhraya ini.
Yeo sendiri pun, yang merupakan Speaker DUN Selangor, mempersoalkan kecekapan Khalid dalam mengendalikan isu Kidex.
Dalam kedua-dua isu-isu agama dan Kidex, Khalid setakat ini telah gagal memberikan alasan yang munasabah bagi keputusan dan tindakannya.
Khalid mesti dipecat kerana Selangor tidak boleh terus diuruskan oleh seorang yang enggan melibatkan semua pihak dalam pengurusannya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa