OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Published: 17 June 2014 | Updated: 17 June 2014 5:49 PM
Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional, Datuk Saifuddin Abdullah di sidang media penerangan inisiatif buku Politik Baru di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 17 Jun, 2014.
Tiga rang undang-undang yang dicadangkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 akan dapat menjadi pelengkap kepada Kanun Keseksaan untuk mendakwa mereka yang terlibat alam ucapan kebencian kaum.
Ahli MKPN, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Kanun Keseksaan sahaja tidak dapat menggantikan Akta Hasutan kerana ia hanya menyentuh soal agama dan tidak kepada kaum.
“Kelemahan besar Akta Hasutan adalah tidak memerlukan niat. Anda boleh didapati bersalah menghasut tanpa niat. Kenapa perlu ada rang undang-undang baru? Kerana undang-undang sedia ada tidak mencukupi.
“Kita ada undang-undang membendung ucapan kebencian? Mungkin ya, tetapi berkaitan agama. Kanun Keseksaan tidak merangkumi kaum,” katanya pada sidang media penerangan inisiatif buku Politik Baru di Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi Proham Datuk Khutubul Zaman dalam satu forum awal bulan ini berkata tiga rang undang-undang berkenaan tidak diperlukan kerana Kanun Keseksaan mencukupi bagimenggantikan Akta Hasutan.
Tiga rang undang-undang tersebut adalah Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, Rekonsiliasi dan Keharmonian serta Suruhanjaya Rekonsiliasi dan Perpaduan Nasional yang dibentangkan ke Kabinet.
Saifuddin berkata, tiga rang undang-undang berkenaan penting bagi menggantikan Akta Hasutan kerana Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah pun dimansuhkan kerajaan.
Katanya, dengan adanya undang-undang yang akan diperkenalkan, ia sekaligus akan mengurangkan tugas polis apabila sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi mendengar kes berkaitan kaum.
“Kita perlu akta baru untuk melakukannya. Isu utama adalah kita perlu membuktikan ucapan kebencian sesuatu jenayah.
“Kedua, kita perlu membentuk mediasi dan mekanisme penyelesaian konflik. Kami mencadangkan Suruhanjaya Rekonsiliasi dan Perpaduan Nasional,” katanya.
Ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global itu berkata, suruhanjaya yang dicadang akan menjalankan proses mediasi bagi meredakan ketegangan pihak yang berkaitan.
Katanya, banyak laporan polis berkaitan isu perkauman sebelum ini tidak diambil tindakan kerana ia tidak berkaitan jenayah.
“Bukan semuanya perlu ke mahkamah. Terdapat konflik antara kaum perlu ada platform mediasi.
“Ini akta Parlimen pertama yang melalui rundingan secara terbuka dan telus sejak hari pertama,” katanya.
Dalam satu forum membincangkan Rang Undang-Undang Perpaduan Nasional awal bulan ini, Ketua Eksekutif Institut Hubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata, pemansuhan Akta Hasutan tidak perlu digantikan dengan akta baru.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen pula menegaskan keazaman politik lebih diperlukan di Malaysia berbanding akta menggantikan Akta Hasutan.
“Saya bimbang kita akan terus melihat undang-undang untuk menyelesaikan masalah.
“Apa yang kita perlukan adalah keazaman politik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbanding undang-undang baru,” katanya. – 17 Jun, 2014.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa