Published: 18 June 2014 | Updated: 18 June 2014 11:11 AM - MI
Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk A Kadir Jasin saran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhenti jadi menteri kewangan. Gambar fail The Malaysian Insider.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dicadangkan agar menggugurkan dirinya sebagai menteri kewangan kerana terdapat konflik kepentingan, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk A Kadir Jasin.
Dalam tulisan di blognya The Scribe bertajuk “Rombak Kabinet: PM Gugur Najib?”, Kadir berkata, cadangan yang asalnya menjadi bahan lawak itu mempunyai kewajarannya.
"Jenaka atau tidak, saya rasa perdana menteri perlu memikirkan semula kedudukan Najib sebagai menteri kewangan.Bukan saja pengurusan kewangan negara di bawah Najib mencetuskan pelbagai isu dan persoalan, ia juga berupa konflik kepentingan.
"Apabila PM juga bertindak sebagai menteri kewangan maka tidak wujud lagilah proses pemisahan kuasa dan timbang tara. Kalau ada menteri yang tidak puas hati dengan peruntukan atau tindak-tanduk kementerian kewangan, kepada siapa mereka hendak mengadu?" soal Kadir dalam blognya semalam.
Khabar angin tentang penyusunan semula Kabinet tersebar luas minggu lalu dan diberitakan akan dilaksanakan Najib Jumaat lalu selepas beliau pulang dari Turksmenistan.
Antaranya untuk membolehkan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang menang di Teluk Intan menyertai Kabinet seperti dijanjikan Najib sendiri semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.
Wartawan veteran itu turut membariskan kelemahan ketara Najib sepanjang beliau menjadi menteri kewangan.
“Antaranya, sejak Najib menjadi menteri kewangan pada 2009, pertumbuhan ekonomi negara terus terperangkap dalam lingkungan 5%. Antara 2009 dan 2013, ekonomi negara tumbuh purata 4.28% saja,” katanya.
Kadir berkata, seorang bekas menteri kewangan memberitahunya kadar itu adalah “biasa” saja kerana ekonomi Malaysia mempunyai potensi untuk berkembang dengan lebih pesat.
Dalam tulisannya, Kadir berkata, defisit belanjawan juga meningkat daripada 3.2% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 (zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi) kepada 6.7% pada 2010 yang berupa belanjawan pertama Najib sebagai menteri kewangan dan purata defisit belanjawan antara 2010 dan 2014 adalah 5%.
"Hutang kerajaan persekutuan pula meningkat dengan mendadak sejak Najib menjadi menteri kewangan, iaitu daripada 41.24% KDNK pada 2009 kepada 52.8% pada 2010. Tahun ini (2014) hutang kerajaan dianggarkan naik kepada 54.8% KDNK," kata Kadir.
Katanya, jumlah hutang kerajaan juga meningkat daripada RM362.3 bilion pada 2009 kepada RM519.3 bilion pada akhir tahun lalu.
"Defisit belanjawan yang tinggi dan hutang kerajaan yang semakin meningkat menyebabkan agensi penarafan antarabangsa Fitch menurunkan penarafan hutang Malaysia daripada stabil kepada negatif pada Julai lalu.
"Ia adalah tamparan kepada Najib," katanya.
Selain defisit belanjawan dan hutang kerajaan, prestasi ringgit Malaysia juga menimbulkan tanda tanya walaupun Bank Negara tidak putus-putus memberi jaminan ia "ok", tulis Kadir.
Kadir berkata, menteri kewangan tidak semestinya seorang ahli politik dan boleh dipilih di kalangan teknokrat.
"Masakan Malaysia ketandusan bakat ekonomi dan kewangan sehingga tidak ada lagi teknokrat dan ahli perniagaan macam Tun Daim Zainuddin yang dua kali menyelesaikan krisis ekonomi negara?
"Pendirian saya dalam hal ini konsisten. Sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyandang jawatan menteri kewangan lagi saya menulis PM tidak wajar menjadi menteri kewangan apatah lagi apabila kepakaran mereka dalam bidang itu cetek dan dipersoalkan," katanya yang juga merupakan penyokong kuat Dr Mahathir itu.
Kadir berkata, perdana menteri juga tidak perlu bermuka-muka dengan parti Cina dalam Barisan Nasional (BN).
“MCA masih dalam mode cakap, tetapi belum ada bukti yang ia kembali mendapat perhatian orang Cina apatah lagi sokongan mereka.
"Orang Cina tolak BN, jadi buat apa Najib terhegeh-hegeh melayan MCA dan Gerakan. The Chinese had said loud and clear they do not need the BN. Let them be!" katanya.
Tetapi, katanya, isu jawatan menteri untuk Gerakan sudah menjadi kewajipan kerana itu yang dijanjikan dalam PRK Teluk Intan.
Beliau berkata, perdana menteri perlu utamakan kaum majoriti (Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak) yang daif kerana mereka inilah yang menyelamatkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Beliau juga mencadangkan agar membuang menteri Melayu-Bumiputera yang hambar dan ganti dengan yang lebih muda dan baik.
"Manfaatkan duit pembayar cukai. Kurangkan bilangan anggota Kabinet. Hentikan pemborosan. Dahulukan rakyat, utamakan pencapaian. Walk the talk," katanya. – 18 Jun, 2014
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa