Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, March 10, 2017

PM kata kerajaan Korea Utara memberi jaminan kesemua 11 rakyat Malaysia selamat

Korea Utara beri jaminan rakyat Malaysia selamat
09 Mac 2017 | BERNAMA
Pyongyang ibu negara Korea Utara.

Kerajaan Korea Utara memberi jaminan kesemua 11 rakyat Malaysia di Pyongyang selamat dan bebas menjalani kehidupan seperti biasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bagaiamanapun, rakyat Malaysia masih belum dibenarkan meninggalkan negara itu.

"Kita akan berurusan dengan kerajaan DPRK (Korea Utara) supaya cuba mencari penyelesaian dalam konflik yang sedang berlaku ini tanpa membuat sebarang keputusan yang boleh menimbulkan ketegangan yang lebih buruk.

"Saya juga percaya mereka juga ingin kepada penyelesaian," katanya dalam perbualan telefon dengan counsellor (penasihat kedutaan) Mohd Nor Azrin Md Zain di Kedutaan Malaysia di Pyongyang, dari Pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata Malaysia turut memberikan jaminan keselamatan yang sama kepada rakyat Korea Utara yang berada di negara ini.

Perdana menteri dalam perbualan kira-kira dua minit itu juga sempat bertanyakan khabar dan meninggalkan pesan agar meneruskan semangat dan daya juang yang tinggi.

"Kita semua, kerajaan dan rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kesejahteraan Encik Azrin dan keluarga. Semoga berada dalam keadaan yang selamat semuanya," katanya.

Najib menambah kesemua masjid di seluruh negara telah diarahkan untuk mengadakan solat hajat agar konflik ini dapat diselesaikan.

Mohd Nor Azrin, isterinya Iza Karmila Ramli dan tiga orang anak mereka; Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah dan Ayscha Zinnirah antara 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara.

Dalam pada itu, Najib dalam twitternya hari ini mengesahkan dua lagi rakyat Malaysia, Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy yang sedang mengikuti Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah dibenarkan keluar dari Pyongyang dan kini telah selamat tiba di Beijing.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa dua rakyat Malaysia di bawah Program Makanan Sedunia PBB dibenarkan keluar dari Pyongyang. Mereka kini selamat di Beijing," katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitter hari ini.

Dua wanita itu adalah antara 11 rakyat Malaysia yang dilaporkan berada di Korea Utara ketika Pyongyang mengumumkan larangan bagi rakyat Malaysia keluar dari negara itu.

Mereka dilaporkan mengikuti kursus berkaitan Program Makanan Sedunia di bawah PBB di Korea Utara.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lalu.

Dilaporkan Jong-nam, yang menggunakan pasport memakai nama Kim Chol, sedang menunggu penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dua wanita menyapu mukanya dengan cecair yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Lelaki itu meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa