Kiriman surat di antara setiausaha politik menteri besar Selangor Faekah Husin, sebuah firma guaman dan satu syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) menjadi buah mulut di kalangan kumpulan anti-Faekah dalam PKR negeri.

Dua pucuk surat yang diterbitkan di satu blog yang kuat mengkritik PKR dan kerajaan Selangor, sel13.com, mungkin memberi publisiti buruk kepada Faekah.

Tulisan di sel13.com itu turut dikaitkan dengan akaun Twitter@pecatfaekah – tunjang utama dalam kempen dalam talian untuk memburuk-burukkan Faekah – serta blog Umno, parpukari.blogspot.com. 

Tulisan berkenaan mendakwa Faekah pada 10 Ogos 2011 menulis kepada seorang pengarah GLC Selangor untuk mengesyorkan supaya seorang firma guaman milik saudaranya dilantik ke panel guaman GLC terbabit.

Surat berkenaan didakwa dikeluarkan dengan menggunakan kepala surat pejabat MB Selangor.

"Pentadbiran ini juga berpandangan peluang harus diberikan selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan syarikat," kata Faekah dalam surat yang turut disalin kepada firma berkenaan.

Malaysiakini akan mendedahkan nama firma dan GLC berkenaan apabila mendapat reaksi daripada pihak terbabit.