12 APRIL ― Krisis kewangan membawa malapetaka ekonomik kepada penduduk mana-mana negara tidak kira di Timur ataupun di Barat.
Oleh itu kedudukan kewangan sesebuah negara tidak harus dipandang ringan.
Lewat-lewat ini pelbagai laporan dan berita di media menyifatkan keadaan kewangan negara Malaysia dan pengurusannya sebagai membimbangkan.
Kebimbangan ini adalah berdasarkan sebab-sebab yang berikut:
• Aliran wang modal keluar dari Malaysia yang memecah rekod. Badan pengawas kewangan Global Financial Integrity (GFI) melaporkan bahawa sejumlah RM880 bilion telah dibawa keluar secara haram dari negara di antara tahun 2001 dan 2010.
• Peningkatan hutang kerajaan secara mendadak. Hutang RM274 bilion pada awal tahun 2008 meningkat dua kali ganda ke RM502 billion pada hujung tahun 2012. Perangkaan IMF meramalkan hutang kerajaan akan naik sebanyak RM277 bilion sehingga mencecah RM779 bilion pada tahun 2017.
• Maklumat yang tidak lengkap mengenai hutang penuh kerajaan. Angka rasmi hutang kerajaan tidak mendedahkan nilai sejenis hutang yang dipanggil liabiliti bersyarat (‘contingent liabilities’). Hutang ini terdiri daripada pinjaman ‘luar buku kira-kira’ dan hutang-hutang bank, syarikat milik kerajaan dan syarikat-syarikat sektor persendirian yang akan terpaksa ditanggung oleh kerajaan sekiranya syarikat-syarikat tersebut gagal membayar hutang. Dianggarkan nilai hutang tersembunyi ini ialah RM117 bilion pada tahun 2011.
• Pinjaman kerajaan daripada pemiutang luar negara yang terlalu cepat bertambah. Peratusan pinjaman ini naik daripada 0.1 peratus pada tahun 2003 ke 6.7 peratus pada 2006, 11.8 peratus pada 2009, dan 26.8 peratus pada 2012. Walaupun 97 peratus daripada hutang ini dinominasinya di dalam matawang ringgit, namun kadar pertumbuhan ini merisaukan kerana ia mampu menjejaskan kebebasan dasar negara pada masa depan. Ia juga menambahkan lagi pendedahan negara kepada risiko larian modal jika berlaku kecemasan kewangan (‘financial panic’).
• Kerugian besar oleh 1Malaysia Development Bhd. Ia adalah sebuah syarikat strategik milik penuh kerajaan Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk mula mentransformi ekonomi Negara melalui inisiatif yang dipacu kehendak pasaran. Namun didedahkan baru-baru ini bahawa 1Malaysia Development mungkin mengalami kerugian sehingga sebanyak RM4 bilion akibat bon yang dikeluarkannya tidak dipasang pada harga yang bertepatan.
• Ketaktekalan di dalam laporan-laporan Bank Negara tentang jumlah hutang Malaysia. Jumlah hutang Malaysia dilaporkan sebagai RM695.4 bilion pada tahun 2011 dan RM737.6 bilion pada 2012. Namun laporan-laporan yang sama juga mengatakan bahawa jumlah hutang Malaysia ialah lebih daripada dua kali ganda jumlah tersebut, iaitu kira-kira RM2.025 trilion pada 2011 dan RM1.743 trilion pada 2012. Angka-angka ini merupakan angka-angka tahap krisis.
• Risiko gelembung kredit (‘credit bubble’) di Malaysia dan negara-negara Asia Timur yang lain. Hutang isi rumah (‘household debt’) akibat perbelanjaan pengguna kini sudah melebihi RM600 bilion menurut Laporan Negara yang dikeluarkan oleh IMF. Beberapa analisa kewangan sekarang ini mendakwa Malaysia, negeri Thai, Singapura dan Taiwan menghadapi risiko krisis hutang isi rumah.
• Pertumbuhan KDNK Malaysia yang tidak mampan (‘sustainable’). Pelupusan cepat sumber alam seperti petroleum dan hutan semulajadi untuk perbelanjaan defisit kerajaan atau untuk membayar balik hutang memberi kesan ekonomik dan ekologi yang buruk kepada generasi masakini dan yang akan datang. Tambahan, pelaburan dan perbelanjaan yang tidak produktif tetap dikira sebagai tambahan yang positif untuk KDNK (keluaran dalam negara kasar) di dalam akaun negara, meskipun pelaburan dan perbelanjaan terbabit tidak menghasilkan pulangan yang cukup untuk membayar balik kos pinjaman.
• Kekurangan disiplin dalam mematuhi undang-undang berkait had maksima untuk hutang kerajaan. Had hutang maksima ini telah diletakkan dan dinaikkan daripada 40 peratus KDNK pada tahun 2003 ke 45 peratus pada tahun 2008. Pada tahun 2009 pula, ia ditingkatkan ke tahap 55 peratus yang digunapakai sekarang.
Perkara-perkara yang di atas menandakan satu trend yang tidak memuaskan.
Tindakan yang tegas perlu diambil untuk menjamin potensi pembangunan negara serta untuk mengelakkan daripada terjadi keadaan krisis seperti yang berlaku di negeri Yunani.
Oleh yang demikian, selari dengan kepentingan awam dan sebagai langkah pertama untuk mendemokrasikan pengurusan kewangan kerajaan, kami menyeru agar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, selaku pesaing-pesaing utama di dalam pilihanraya umum Malaysia yang ke-13, supaya menyatakan secara terperinci langkah polisi masing-masing untuk memantapkan pengurusan kewangan dan hutang negara.
Di dalam rumusan dasar ini, kedua-dua gabungan politik diminta sekurang-kurangnya untuk:
1. Memberitahu jangkaan peminjaman yang akan dibuat dalam lima tahun yang akan datang dan menjelaskan kenapa peminjaman itu diperlukan dan bagaimana peminjaman tersebut akan diurus;
2. Menjelaskan rancangan masing-masing untuk mengatasi masalah defisit kewangan, hutang kerajaan dan hutang isi rumah yang makin membesar;
3. Menerangkan bagaimana janji-janji manifesto pilihanraya berkenaan perbelanjaan kerajaan akan diselaraskan dengan pengurusan hutang dan penjagaan sumber alam yang baik dan mampan;
4. Mengisytiharkan komitmen masing-masing untuk menyiasat aliran haram modal keluar dari Malaysia dan memulangkan kembali wang berkenaan ke negara ini, seperti yang ditetapkan oleh Konvensi Menentang Korupsi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;
5. Menyatakan dengan jelas sokongan masing-masing terhadap dasar ketelusan dan kebertanggungjawapan awam di dalam pengurusan kewangan negara dengan
(i) mewujudkan satu ‘daftar hutang’ yang akan sentiasa dikemaskini dan dipaparkan di Internet untuk pengetahuan awam, di mana daftar ini akan merekodkan stok semua hutang-hutang, sumber pinjaman-pinjaman tersebut, bunga dan dividen yang dibayar untuk hutang-hutang ini, dan maklumat terperinci tentang penggunaan pinjaman-pinjaman tersebut;
(ii) mewujudkan satu jawatankuasa parlimen pelbagai-pihak untuk tujuan pengawasan hutang dan meluluskan pinjaman;
(iii) mengadakan forum terbuka dan referendum ke atas keputusan-keputusan penting yang berkait hutang atau perbelanjaan kerajaan; dan
(iv) langkah-langkah lain yang sewajarnya.
Kami menggesa kedua-dua pihak di atas untuk menghasilkan rumusan dasar mereka tentang kewangan dan hutang negara yang bertumpukan cadangan-cadangan yang disyorkan di atas dalam masa yang terdekat.
Para pengundi berhak menerima maklumat yang lebih lengkap tentang rancangan pengurusan kewangan negara agar dapat membuat pilihan yang terbaik semasa mengundi untuk kerajaan yang akan datang. ― cpiasia.net
Surat ini ditandatangani: Dr Andrew Aeria, Dr Azmi Sharom, Dr Cheong Kee Cheok, Dr Rozilini M Fernandez- Chung, Dr Terence Gomez, Dr Faisal Hazis, Dr Farish A. Noor, Dr KJ John, Dr Fatimah Kari, Dr Cassey Lee, Dr Lee Hwok Aun, Dr Lim Teck Ghee, Pak Sako, Dr Rajah Rasiah, Dr Johan Saravanamuttu, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dr Yew Siew Yong, Dr Yoong Suan - sumber
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa