Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menggunakan tajuk khutbah Jumaat yang sama dengan tema manifesto BN yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak pada 6 April lalu, iaitu "Menepati Janji, Membawa Harapan".

Malah kandungan khutbah untuk masjid-masjid di Wilayah Persekutuan itu mempunyai nada hampir sama dengan retorik pilihan raya BN, termasuk penegasan mentaati pemerintah dan bersyukur atas "kebijaksanaan pemerintah dalam melaksanakan tanggungjawab".

"Percayalah, ketaatan kepada pemerintah negara hari ini yang terbukti sentiasa mempertahankan agama Islam terutamanya dalam isu kalimah Allah dan berjaya membela nasib rakyat sangatlah dituntut," kandungan khutbah itu dipetik.