Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, January 4, 2017

Banjir: Ketua Pemuda PAS Terengganu diselamatkan dari hanyut

GASAK selamatkan ustaz PAS daripada hanyut
Zulaikha Zulkifli -  Hari ini, 8:07 malam
Ketua Pemuda PAS Kamaruzaman Abdullah, semalam hampir menjadi korban banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur.
 
Menurut kumpulan sukarelawan yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Lasak Kuala Terengganu (GASAK), Kamaruzaman hampir hanyut dibawa arus deras banjir di Hulu Terengganu.

Menceritakan kembali saat-saat yang mencemaskan itu, timbalan presiden 1 GASAK, Zulkifli Wahab memberitahu sebelum kejadian, Kamaruzaman memohon bantuan NGO berkenaan mereka untuk mengagih makanan dengan kenderaan lasak 4x4 di Kampung Basung, Kuala Berang.

Namun menurut Zulkifli, hujan lebat sejak jam 1 petang semalam itu menyaksikan paras air di
kawasan kampung tersebut naik secara mendadak.

Katanya, selesai solat zohor, beberapa sukarelawan GASAK bersama Kamaruzaman cuba bergerak ke Kampung Basung bagi memberi bantuan tetapi mereka terpaksa berpatah pulang memandangkan banyak laluan ke rumah mangsa tersekat akibat banjir.

Ketika dalam perjalanan untuk menghantar Kamaruzaman yang dikenali sebagai 'Ustaz K' ke Madrasah Darul Ansar, kereta yang dinaiki mereka tidak dapat melalui jalan raya di kawasan itu berikutan paras air yang semakin tinggi.

Mengetahui kereta berkenaan tidak mampu melalui jalan raya berkenaan, Kamaruzaman kemudian nekad untuk berjalan kaki menuju ke madrasah itu walaupun dihalang oleh Zulkifli dan rakan lain.

"Bila kami tiba (di jalan berkenaan), kereta kami tidak dapat menyeberangi untuk menghantar Ustaz K kerana paras air sudah naik lalu dia turun dari kereta kami dan terus berjalan kaki ke arah madrasahnya.

"Kami cuba menghalang tapi dia kata dia mesti ada dengan pelajar dia buat masa ini.

"Kami hanya mampu melihat Ustaz K berjalan meredah air dari mula hingga sampai ke paras pinggang, dia kemudian dihanyutkan (banjir) dan kami semua bertakbir.

"Bagi kami antara hidup dan mati. Dua ahli (GASAK) kami membawa jaket keselamatan dan pelampung polistirena menuju lokasi Ustaz K dengan bergantung pada besi penghadang jalan.

“Tiba di lokasi (Kamaruzaman), saya di beri isyarat oleh dua orang ahli tadi yang Ustaz K (sempat) berpaut di dahan pokok," kata Zulkifli yang juga adalah seorang ustaz kepada Malaysiakini.

GASAK kemudian berjaya menyelamatkannya dengan menggunakan tali dan menariknya ke tempat tinggi.


Kamaruzaman juga adalah pengasas dan penaung di Madrasah Datuk Ansar.

Sambil mengakui perasaannya ketika itu adalah cemas, Zulkifli berkata beliau bersyukur kerana tidak ada kejadian yang tidak diingini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai terutamanya ibu bapa agar sentiasa berwaspada ketika musim hujan dan memantau pergerakan anak-anak mereka.

"Perasaan saya sangat cemas dan dalam kepala saya nasib Ustaz K terserah pada Allah SWT.

"Nasihat saya terutama ibu bapa agar memantau anak mereka ketika musim hujan ini kerana beberapa kes lemas baru-baru ini hampir semua melibatkan remaja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa