Tian Chua
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) memohon supaya Dewan Rakyat menubuhkan jawatankuasa Parlimen untuk menyiasat dakwaan menghina Raja-Raja Melayu semasa majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Rabu lalu.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, merujuk Peraturan Mesyuarat 80A jawatankuasa itu perlu dibentuk bagi menyiasat perbuatan menghina majlis di bawah Ordinan Majlis-Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Penerbitan berita itu adalah palsu dan bersifat fitnah terhadap perilaku saya sebagai seorang yang menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen yang menerima undangan Yang di-Pertuan Agong.

“Berita palsu yang mengaitkan kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen yang difitnah tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Hal ini adalah serius kerana ia menjejaskan kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara dan bersifat menghina Parlimen,” katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata pelantikan jawatankuasa itu perlu bagi menyiasat isu ini dan mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut ordinan tersebut.

Tian Chua berkata, permohonan itu telah pun diterima oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Baru-baru ini, seorang pengamal perubatan, Dr Rahman Kadir melalui laman sosialnya mendedahkan beberapa pemimpin pembangkang didakwa bersikap biadab dengan mempersenda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud akan me ngam bil tindakan saman terhadap facebooker dan blog-blog yang mengaitkan beliau berhubung isu menghina Raja-Raja Melayu.

“Ini kali pertama saya ke majlis seumpama itu, saya rasa teruja tetapi tidaklah sampai saya bertindak menghina Raja. Itu fitnah. Saya akui ada berbual dengan rakan-rakan di sebelah saya, tetapi tidaklah terlalu bising dan bergelak ketawa tidak ingat dunia,” katanya.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat itu turut bersetuju jawatankuasa parlimen ditubuh bagi menyiasat isu terbabit.

Katanya, penyebaran fitnah itu telah mengaibkan beliau selaku Ahli Parlimen.