Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, April 15, 2017

Isu RM90 juta: Agak bagaimana penyudahnya?

Friday, April 14, 2017

Dakwaan Rafizi terhadap Nasharuddin boleh disahkan oleh SPRM?

ULASAN

Bekas timbalan presiden parti agama (Pas) Nasharuddin Mat Isa telah pun menjawab kenyataan berupa dakwaan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli semalam yang mengatakan ada pengaliran wang dari akaun Najib Razak ke dalam akaunya.

Nasharuddin Mat Isa
Rafizi Ramli
Bagaimana pun Nasharuddin tidak mengaku dan menganggap dakwaan Rafizi itu sebagai berniat jahat.

Sehubungan itu beliau juga menyerahkan kepada pasukan peguamnya untuk memulakan tindakan terhadap Rafizi. Nasharuddin tidak pula membuat Akuan Bersumpah menafikan dakwaan Akaun Bersumpah Rafizi.


Semalam Rafizi telah mendedahkan apa yang didakwanya maklumat mengatakan berlaku aliran wang dari akaun Najib Razak yang disonglapkan dari dana 1MDB ke dalam akaun Nasharuddin. Tuduhan Rafizi itu dilihat bertanggungjawab kerana beliau mendedahkan dengan membuat Akuan Bersumpah (SD).


Rafizi menyebut perkara itu bersumber daripada pegawai kanan SPRM yang telah menyiasat kedudukan kewangan SRC International syarikat yang dikatakan telah menyedut wang 1MDB. Dalam erti kata lain dakwaan Rafizi terhadap Nasharuddin itu dalam pengetahaun SPRM.


Kata Rafizi beliau mengesyaki wang yang mengalir ke dalam akaun Nasaruddin itu sebagai imbuhan kepada usaha bekas ahli Parlimen Bachok itu untuk membawa Pas bekerjasama dengan Umno.


Rafizi mendakwa dia mengetahui jumlah yang dimasukan ke dalam akaun Nasharuddin dari akaun peribadi Najib Razak, tetapi tidak menyebut berapa jumlah kerana menghormati pemberi maklumat.


Jawaban Nasharuddin terhadap tuduhan Rafizi itu menjadikan isu yang kini mendapat perhatian ramai itu menjadi semakin menarik. Sebelum ini beberapa pemimpin Pas "terloncat-loncat" menafikan mereka tidak menerima apa-apa pemberian wang dari Nasharuddin sambil menyatakan Nasharuddin sudah tidak ada hubungan dengan Pas.


Untuk menguatkan penafian itu ada pemimpin kanan Pas menjelaskan yang Nasharuddin sudah pun dipecat daripada Pas. Kenyataan itu mengelirukan kerana sehingga kini tidak ada pengumuman rasmi mengatakan Nasharuddin bukan lagi ahli parti agama itu.


Dakwaan pemimpin Pas itu dilihat terlalu gopoh serta menunjukkan parti itu cemas dengan pendedahan Rafizi. Pas sepatutnya tidak mudah menafikan hubungan dengan Nasharuddin sebaliknya menyerahkan dakwaan Rafizi itu kepada pihak berkenaan untuk disiasat. Seeloknya selepas siasatan siap baharulah buat kenyataan.


Boleh jadi Nasharuddin sudah tidak ada hubungan dengan Pas, tetapi peranan dan usahanya sebelum ini yang melaksanakan arahan Majlis Syura Ulama (MSU) untuk mengadakan "tahalul syiasi" dengan Umno tidak boleh dinafikan ia satu kejadian benar dan bukan dalam mimpi.


Nasharuddinlah menjadi mediator menemukan bekas PM Abdullah Ahmad Badawi dengan beberapa pemimpin Pas. Bekas Setiausaha Politik Abdullah, Md Alwi Che Amat mengesahkan perkara ini kepada saya. Bahkan menurut Nasharuddin sekiranya tahalul syiasi itu berjaya Pas akan diperuntukan dua menteri dan tiga orang timbalan menteri dalam kabinet Abdullah.


"Haji Hadi berjumpa dengan Pak Lah dua kali di Putrajaya, kawanlah yang bawa dengan kereta kawan. Ada sama ialah Nasharuddin Mat Isa", itulah ayat Alwi.


Nasharuddin pernah melahirkan perasaan usaha mengadakan hubungan dengan Umno itu sesuatu yang malang baginya kerana gara-gara itu dia dimarahi oleh bekas Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat. 
Kedudukannya dalam Pas ketika itu menjadi kontroversi dan dilihat sebagai seorang talibarut.

Nik Aziz tidak setuju kalau Pas bekerjasama dengan Umno. Apakah tidak mungkin selepas bekas MB Kelantan itu meninggal dunia usaha itu diteruskan dengan langkah dan pendekatan lebih kemas lagi tanpa diketahui pemimpin Pas yang lain?


Berbalik kepada soal dakwaan Rafizi dan penafian Nasharuddin itu perlu diserahkan kepada pihak berwajib menjalankan siasatan biar ianya menyiasat tanpa diganggu. Hasil siasatan nanti akan mendedahkan kedudukan sebenar, siapa berbohong dan siapa yang benar.


Dalam soal ini kita berharap SPRM dapat melaksanakan tugasnya dengan baik menyiasat dakwaan Rafizi itu. Peguam Negara janganlah cuba menutup kes ini kerana ingin melindungi pembabitan Najib Razak sehingga ia menutup dan menyelamat sama Nasharuddin Mat Isa. [wm.kl.5:59 pm 14/04/17]


Posted by mohd sayuti Omar  at 6:10:00 PM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa