Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, April 30, 2017

PAS nak perintah Malaysia, siapa yang sudi jadi regunya?

Tok Lebai Janggut kata mahu tak mahu PAS kena cari regu. Soalnya siapa?
Posted on Saturday, April 29 @ 20:22:40 MYT by JackSparrow
Oleh Razali Zakaria

PADA 29 Rejab lalu, saya ada menimbulkan persoalan mengenai apakah PAS sudah bersedia memerintah negara selepas 63 kali bermuktamar.

Tok Lebai Janggut, dalam komen terhadap tulisan saya itu mengatakan “sebelum bercita2 nak perintah negara tolong congak berapa kerusi Parlimen yg boleh menang? PAS stand alone tentu confirm tak boleh. Mahu tak mahu kena cari regu. soalnya sape???”

Usah mencongak berapa negeri yang mampu ditawan. Cukupkah sekadar lima yang dicanangkan bagi membolehkan PAS melakukan perubahan di seluruh negara, khususnya undang-undang syariah di negeri, sedang enakmen Islam negeri juga tertakluk kepada undang-undang yang digubal pada peringkat Dewan Rakyat.

Jika tidak dapat menguasai Dewan Rakyat, usah diharap untuk boleh meninggikan undang-undang syariah negeri. Walaupun negeri berkuasa menggubal atau menguatkuasakan peraturan, tetapi hukuman bunuh atau potong tangan, tidak boleh dilaksanakan kerana ada hubungkait dengan undang-undang Persekutuan.

Lalu, apa ertinya jika PAS tidak mencongak kerusi yang mesti dimenangi pada peringkat Parlimen? Tidakkah PAS mahu memerintah negara? Kesempatan yang harus diambil dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan sebelum Jun tahun depan, untuk membolehkan undang-undang Islam ditinggikan melebihi undang-undang sivil ciptaan manusia.

Penulis akui, kedudukan PAS sekarang ini agak selesa. Kejayaan membentangkan RUU355 di Dewan Rakyat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjadi senjata penting dalam mendapat sokongan majoriti umat Islam, yang kembali dahaga kepada sinar dan syiar Islam.

Namun, apa yang penulis perhati dan rasakan ialah PAS tidak mempunyai keyakinan untuk menang majoriti kerusi Dewan Rakyat, sekali gus mengambilalih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) yang semakin korup dan membebankan rakyat di bawah Datuk Seri Najib Razak. Sebab itu, PAS membat kenyataan untuk menawan peringkat negeri sahaja.

Apa lagi, kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak sememangnya tidak memihak kepada PAS. Lagipun BN sedang memberi tumpuan khusus di kedua-dua negeri itu. Harapan PAS hanya kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung, tetapi cukupkah atau yakinkah boleh menguasai majoriti kerusi di Semenanjung, jika PAS ‘stand alone’ sebagaimana kata Tok Lebai Janggut?

Walaupun, mempunyai beberapa parti yang bergabung dalam blok ketiga – Gagasan Sejahtera – parti-parti gabungan itu tidak dikenali sangat. Penentangannya tidak berbisa sebagaimana parti dalam blok kedua yang ditolak oleh PAS.

Dalam ruang politik sekarang, penulis melihat kekuatannya masih dimiliki BN yang merangkumi pelbagai parti kaum – Melayu (UMNO), Cina (MCA), India (MIC), Gerakan (campuran kaum), SUPP dan parti lain di Sabah dan Sarawak.

Kekuatan kedua dimiliki oleh pakatan harapan yang turut merangkumi pelbagai kaum iaitu Melayu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAN, manakala PKR dan DAP mempunyai keahlian campuran Melayu, Cina, India dan kaum lain. PAN dalam pakatan ini dilihat mewakili Islam dan mungkin calon mereka akan menang dengan sokongan sekutu DAP dan PKR, sebagaimana caon PAS menang pada PRU13.

Akhir sekali ialah kekuatan gagasan sejahtera yang hanya dianggotai bangsa Melayu sahaja – PAS, Ikatan dan Berjasa – manakala kaum lain yang bukan Islam hanya wujud sebagai penyokong melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Apakah, hanya dengan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang bakal dilancarkan PAS menjelang PRU14 nanti, atau hasrat membina sebuah negara yang mempunyai ciri keharmonian dan keadilan sosial; ketelusan dan kecekapan urustadbir; kemantapan dan kemapanan ekonomi; keberkesanan sistem pendidikan; kecemerlangan insan dan masyarakat; dengan menjadikan Islam sebagai asas panduannya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan – mampu memberi keyakinan kepada bukan Islam untuk mengundi calon PAS?

Begitu juga, hasrat PAS untuk terus berjuang dalam isu sosial dan kebajikan rakyat, terutama dalam menangani isu peluang kehidupan yang lebih terjamin kepada generasi muda yang tentunya nanti akan menggalas tanggungjawab pentadbiran negara ini kelak.

Atau penerusan penyediaan peluang pekerjaan, khidmat kesihatan, bantuan untuk pendidikan, yang mahu ditekankan terhadap generasi anak muda, juga rakyat awam yang terjejas. Hal ini adalah besar dan rumit, kerana usaha itu dilakukan kerajaan sekarang secara berterusan. Tetapi Abdul Hadi yakin PAS akan memperjuangkannya menerusi lajnah-lajnah yang dipertanggungjawabkan.

Dan, dari suduh ekonomi PAS mahu mengubah minda rakyat Malaysia, supaya mengikut acuan Islam kerana acuan selain Islam untuk rakyat majoriti Islam seperti Malaysia akan berakhir dengan kegagalan. Memang diakui ekonomi Islam mampu membawa kebaikan, tetapi bagaimana untuk memastikan bukan Islam memahami kebaikan sistem ekonomi Islam.

Mengimbas PRU13 lalu, kemenangan PAS turut dipengaruhi tahaluf siyasi mereka dengan parti pembangkang lain, termasuk PKR dan DAP. Begitu juga dengan kemenangan PKR dan DAP yang turut dipengaruhi penyokong PAS, kecuali satu dua kawasan di mana orang PAS terpaksa bertanding atas tiket PKR, menyebabkan calon BN menang.

Dan, jika ditelusuri ucapan Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah, hari ini, seakan-akan PAS akan berdiri sendiri dalam gagasan sejahtera untuk berdepan PRU14.

Keputusan telah dibuat, sebagaimana diumumkan Abdul Hadi hari ini, bahawa PAS menolak kerjasama dengan Bersatu pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PAS juga enggan bekerjasama dengan DAP yang disifatkannya sebagai parti rasis, cauvinis dan penentang kuat Islam di Malaysia.

Manakala, nasib tahaluf siyasi dengan PKR, yang sekarang ini kukuh dalam pentadbiran Selangor, masih diawang-awangan. Tetapi, jika berdasarkan ucapan-ucapan dalam muktamar kali ini, tahaluf siyasi kedua-duanya berada di hujung tanduk.

Lebih parah dan pedih, apabila ada perwakilan mengibaratkan tindakan PKR terhadap PAS sejak kebelakangan ini seperti pengkhianatan Bani Quraidzah terhadap Nabi Muhammad SAW, pada Perang Ahzab.

Namun, segala-galanya diserahkan kepada Majlis Syura PAS untuk menentukan tahaluf siyasi itu. Semangat muda PAS mungkin patah kerana mereka adalah pendesak utama untuk PAS menceraikan PKR, bukan dengan talak satu tapi tiga.

Apapun, jika PAS ‘stand alone’ mereka akan berdepan saingan tiga penjuru, yang dilihat akan memberi kelebihan kepada BN untuk mengekalkan pemerintahan.

Akhir kalam, penulis petik kata-kata Tok Lebai Janggut:

“…mahu tak mahu kena cari regu. soalnya sape???”

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa