Monday, April 10, 2017

Wan Ji sifatkan Pas era Hadi bina pemikiran lebayisme

10 April 2017 | ARIF ATAN
Wan Ji Wan Hussin dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil (berdiri) sebagai moderator

Pendakwah, Ustaz Wan Ji Wan Hussin menyifatkan kepimpinan Pas pada masa ini telah memusnahkan pencapaian Pas daripada dikenali sebagai parti surau dan parti lebai kepada parti nasional dan didukungi golongan profesional.

"Namun sedih, semua ini berjaya dihancurkan oleh kepimpinan Pas era Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang kini semakin dikenali sebagai parti lebai.

"Malahan, berjaya membina lebayisme iaitu pemikiran yang berorientasikan kejumudan dan menganggap semua yang dilakukan oleh agamawan sebagai benar yang tidak ada yang tidak benar kecuali semuanya benar-benar belaka," ujarnya.

Penyelidik Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI) itu pada Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkata, Almarhum Nik Aziz dari segi politik merupakan tokoh yang dapat membezakan antara kawan dan lawan.

Walau bagaimanapun, jelas lepasan pendidikan pondok sejak berusia 13 tahun di Institut Pendidikan Al-Balaghul Mubin di Pasir Mas, Kelantan itu, sifat berkenaan sudah tidak dimiliki pada pemimpin Pas pada masa ini.

"Saya nampak Tok Guru Nik Aziz tahu siapa musuh, siapa kawan. Dia tahu Umno jahat. Jadi, musuh itu kita kena lawan.

"Yang bukan musuh kita jangan lawan. Itulah gaya politik Allahyarham Nik Aziz. Pusing macam mana pun. Dia fokus mana kawan, mana lawan. Saya nampak hal ini tiada dalam Pas hari ini.

"Dia (Pas) pun keliru. Orang macam ini biasanya susah masuk syurga," ujarnya secara berseloroh di Auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).

Mengulas lanjut, beliau berpendapat keunikan Tuan Guru Nik Aziz yang berjaya memanfaatkan akal dalam beragama dan berpolitik itu menyebabkan bekas Mursyidul Am Pas berkenaan cukup positif dalam berfikir.

"Dia (Nik Aziz) tengok Mahathir tidak lihat sebagai selama-lamanya musuh. Dia berfikir bagaimana untuk Pas memanfaatkan Mahathir. Dia tahu bagaimana untuk memanfaatkan musuh dan bila untuk menjatuhkan musuh.

"Tok Guru (Nik Aziz) melihat sesuatu sebagai peluang. Kalau ancaman, dia tidak pergi. Hal itu ada dalam pemikiran Allahyarham Nik Aziz walaupun tidak buat draf (analisa) sekalipun," ujarnya yang pernah ditahan di bawah Akta Hasutan pada 2014 ekoran penegasannya bahawa sultan tidak boleh menjadi ketua agama.

Menyentuh tentang laporan polis yang membantah penganjuran seminar tersebut, Wan Ji, 35, menganggap pihak terbabit harus belajar untuk memahami apa makna pemikiran.

"Tok Guru (Nik Aziz) kata ilmu politik ini ilmu yang tiada diajar di sekolah. Kita bincang Tok Guru dari sudut politik.

"Jadi, orang yang buat laporan polis itu, saya rasa dia tidak faham pemikiran. Kita bukan bincang tentang tubuh badan tapi kita bincang pemikiran. Orang yang mahu saman itu kena belajar lebih sikitlah," katanya sambil ketawa diikuti hadirin lain.

Turut berkongsikan pandangan wartawan yang mudah menulis laporan berita daripada kenyataan Nik Aziz, beliau yang mendapat pendidikan di Karachi, Pakistan sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Maqasid Syariah di Universiti Al-Azhar itu memberitahu pendapat Datuk Seri Anwar terhadap tokoh tersebut.

"Anwar kata Nik Aziz jaga Kelantan ketika Tun Mahathir jadi PM (Perdana Menteri) yang dikenali pemimpin hebat tapi Kelantan susah nak jatuh. Maknanya, hebat Nik Aziz.

"Jadi, pilihan raya akan datang BN jatuh sebab Mahathir lawan (melalui Parti Bersatu). Logik saya mudah. Kita boleh dapat empat negeri (PRU-13) - Selangor, Perak, Kelantan, Pulau Pinang ketika tiada GST (cukai barang dan perkhidmatan). Sekarang ada GST.

"Tidak mustahil Malaysia tanpa BN akan tercapai," tambah bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Selangor yang kemudiannya dilantik sebagai Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 2015 itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa