Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Tuesday, May 2, 2017

Orang Bachok tak selera makan ikan: Apa sebabnya?

Orang Bachok tak selera makan ikan
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 MEI 2017
SEKITAR 1970an, ramai penduduk sekitar pesisir pantai daerah Bachok dari Kemayang sehingga ke Kandis tidak memakan ikan laut berikutan tragedi bot karam yang banyak berlaku ketika itu.

Mayat warga Vietnam ketika itu bergelimpangan sehingga memenuhi parit berhampiran termasuk di Kuala Sungai Bachok.

Ketika itu perang berlarutan di antara Vietnam utara dan selatan yang turut melibatkan campur tangan negara asing.

Guru, Mat Yusof Mat Ail, 56, yang berasal dari Teluk Kemunting, Tawang berkata, dia sempat melihat sendiri mayat bergelimpangan di laut sekitar tahun 1979.

Katanya, ombak Disember ketika itu membawa sekali mayat warga Vietnam yang hanyut selepas bot mereka naiki karam di lautan sempadan Bachok.
“Masa itu saya masih remaja. Pagi itu bila dengar orang jumpa mayat, saya terus ke pantai tengok apa yang berlaku. Betul ada banyak mayat orang asing bergelimpangan di pantai.

“Di tengah laut pun ada lima atau enam bot menghala ke pantai. Masa itu askar wataniah yang berpangkalan di Bachok yang uruskan semua mayat dan pelarian yang naik di pantai Bachok," katanya yang bertugas sebagai pendidik di Sungai Petani, Kedah.

Menurutnya, mayat itu adalah mangsa dari kejadian bot karam di tengah laut, namun ada mangsa selamat kerana sempat berenang ke pantai.

"Selepas itu semua mayat yang hanyut dipunggah naik lori askar dan dibawa ke tempat lain untuk diuruskan polis," katanya.

Waris ziarah kubur pada bulan Mac

Di Kampung Merabang juga tidak ketinggalan menjadi lokasi pendaratan pelarian Vietnam.

Penduduk, Razali Awang Teh, 67, atau dikenali sebagai Pak Ngah Awe berkata, bot Vietnam mudah dikenali memandangkan bot mereka amat daif.

“Dari jauh kita boleh nampak bot mereka berasap hitam. Kalau nasib baik, selamat mendarat, kalau muatan penuh dan bergerak masa musim tengkujuh, memang jarang selamat.

Kalau bot karam, orang kampung lapor kepada Rela.

"Mereka ini datang sini sebab nak lari dari pergolakan dalam negara dan kemiskinan. Lepas mendarat, mereka dihantar ke penempatan sementara Pulau Bidong, Terengganu,” katanya.

Pak Ngah Awe berkata, di kampung mereka juga terdapat beberapa kubur pelarian Vietnam yang sering dilawati waris mereka dari luar Kelantan.

Katanya, di kawasan tanah perkuburan itu tidak banyak kediaman penduduk dan lazimnya kubur itu diziarahi sekitar bulan Mac.
“Biasanya orang-orang mereka datang ziarah. Ada juga datang sebab menganut agama sama walaupun tak ada pertalian darah.

"Pakcik tak pernah mengalami sebarang gangguan dari kubur Vietnam, tapi ada juga terdengar cerita orang dengar bunyi tangisan dari situ," katanya.

Jumpa barang milik pelarian Vietnam

Selain itu, sekitar kawasan Kandis dan Telong turut menjadi lokasi pendaratan pelarian Vietnam.

Bekas penghulu Kampung Kandis, Samsudin Mohd Saad, 71, berkata, pada 1970an boleh dikatakan hampir setiap hari ada mayat pelarian Vietnam terdampar di pantai mereka.

Katanya, mereka percaya pelarian terlibat adalah mereka yang berada dan berpendidikan tinggi berdasarkan pakaian dan barang kemas yang dipakai.

“Orang tengah menyauk ikan di laut pun selalu jumpa mayat reput. Kebanyakan mayat terdampar di pantai Kandis masa itu lengkap dengan barang kemas.

"Orang kampung yang jumpa akan ambil barang kemas macam cincin, gelang, rantai dan jam mangsa. Mayat mangsa kemudian diserah pada polis.

"Yang masih hidup dibawa ke kem pelarian di Pengkalan Chepa. Di Kampung Teko Air Merah ada beberapa kubur orang Vietnam.

Di situ tak ada orang duduk tapi orang berdekatan pernah dengar bunyi suara menjerit dalam bahasa Vietnam,” katanya.

Minta nasi dengan orang kampung

Di Kampung Changgung yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari Kampung Merabang pula, diceritakan dahulu terdapat pelarian Vietnam tiba waktu malam dan basah kuyup mengetuk pintu rumah penduduk.

Penduduk, Mat Hussin Hamat, 66, berkata, pelarian Vietnam banyak bertarung nyawa untuk lari dari negara mereka yang ketika itu dilanda perang dengan Kemboja.

Katanya, ramai antara mereka lari kerana takutkan rejim Pol Pot yang mengamalkan penghapusan etnik.

"Ramai yang naik bot secara bahaya dengan ramai penumpang terutama masa musim tengkujuh, sebab itulah risikonya tinggi nak terbalik atau karam," katanya.

Menurutnya, zaman pelarian Vietnam berlarutan dari tahun 1970an sehingga 1980an dan ketika itu banyak kem askar di Bachok serta keahlian anggota Rela ramai untuk membantu menguruskan situasi demikian.

“Pelarian Vietnam daif sangat masa mendarat dari Kemayang sehingga ke pesisir pantai Tok Bali. Ada yang kendong anak kecil, ada yang ketuk pintu rumah orang kampung minta nasi sebab kelaparan sepanjang perjalanan.

“Kalau mereka tak mati kebuluran, mungkin mati sebab bot karam. Selebihnya yang selamat hanya transit sementara di negeri ini.

"Pakcik masih ingat ada orang Vietnam beragama Islam singgah sini ketika itu.

Mereka tiga beradik Ibrahim, Yahya dan Othman menjaja ais krim di sini untuk hidup,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa