Masyarakat Orang Asli menyatakan perasaan tidak puas hati mereka dengan kenyataan seorang pegawai kanan di bahagian penguatkuasaan Jabatan Perhilitan yang didakwa mengibaratklan kumpulan itu dengan haiwan.

NONEPegawai daripada taman negara Kuala Krau itu didakwa menulis di Facebook: "OA (Orang Asli) jangan jadi ibarat haiwan, merayau di situ ada hutan di situ tanah mereka." 

Beliau dikatakan mempertahankan tindakan kerajaan meletakkan pagar berdawai sepanjang Sungai Krau untuk keselamatan hidupan liar di taman negara.

Orang Asli bagaimanapun melihat langkah itu menjejaskan kehidupan mereka.

"Saya amat kecewa dengan kenyataan tersebut, seoalah-olah Orang Asli bukan manusia...," tok batin yang dikenali sebagai Mhd Kuang itu dipetik sebagai berkata dalam kenyataan daripada Jaringan Orang Asli Pahang (JOAP) hari ini.

NONEMhd Kuang (kanan), 68, juga mahukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan itu.

Beliau malah membangkitkan soal pendudukan di kawasan itu yang mana sebelum Perhilitan, Orang Asli sudah lama menduduki kawasan itu.

"Kita yang memberi nama bukit-bukit dan gunung (di hutan) tetapi mengapa Perhilitan cakap macam itu," katanya dengan begitu marah.

Semakan Malaysiakini di laman itu sehingga jam 4.01 petang mendapati komen di Facebook itu tidak boleh diakses buat sementara waktu.