Dalam pada saya termangu-mangu tak tahu nak buat apa-apa di rumah anak di Pengkalan TLDM Lumut, saya terkenangkan dua peristiwa saya dikerumuni anggota rekreasi di dua tempat dan dua situasi yang berbeza.
Peristiwa pertama ialah semasa saya berkursus untuk melayakkan diri menjadi Pemimpin/Jurulatih Rekreasi Luar Kebangsaan. Salah satu modul kursus itu ialah berkayak di air deras di lokasi yang penuh batu. Waktu itu saya adalah Penghulu Kursus yang dilantik secara undi.
Di dalam sesi itu semua peserta dimestikan berkayak secara single melepelasi halangan di dalam jarak yang telah ditetapkan oleh Fasilitator. Semua Peserta seramai 32 orang berkayaklah seorang demi seorang dan semuanya karam/capsize terlanggar batu.
Saya tunggu dan berhatikan olak air dan mana-mana batu yang selalu menjadi halangan dilanggar peserta dan terbalik/karam. Jadi semuanya ada di dalam minda dan perhatian saya. Saya berfikir dan merancang bagaimana nak lepas semua halangan itu dan saya letakkan di minda saya.
Bila tiba giliran saya, saya pun dengan selamba berkayak mengikut arus dan melepasi semua halangan tanpa sangkut dan karam.
Semua peserta berkerumun dan memuji saya mengatakan saya handal. Ada peserta bertanyakan saya ada ilmu apa yang saya pakai.
Saya jawab yang saya tidak handal dan tidak ada apa-apa ilmu batin yang saya pakai. Tetapi saya hanya pakai petua orang tua "Tunggu, bersabar, perhati dan berfikir". Itu saja.
Saya terangkan yang saya tunggu dan perhatikan di manakah tempat yang menjadi halangan dan saya rangka stratergi bagaimana untuk melepasi/mengatasinya. Itulah rahsia 'Ilmu' kejayaan saya tadi!
Peristiwa kedua ialah semasa kami mendaki Gunung Tahan melalui Merapoh. Di perjalanan kami terjumpa satu pokok 'Setunjang Bumi' ada juga yang memanggil Tungkat Ali. Pokoknya masih muda sebesar lengan budak 3 bulan.
Di kalangan kami ada seorang Guide yang mahir dan cukup berpengalaman bernama Awi. Awi mencabar kami sesiapa yang berjaya mencabut pokok itu, beliau akan hadiahkan RM100.00.
Kami semuanya lapan orang. Jadi seorang demi seorang mencuba untuk mencabut pokok tersebut. Saya tunggu sehingga tujuh orang sebelum itu mengaku kalah. Bila semuanya dah mengaku, saya pula mencuba.
Saya berselawat dan kumpulkan segenap kudrat yang ada. Tiba-tiba pokok itu berjaya saya cabut tanpa akarnya patah.
Selepas itu semua peserta berkumpul mengerumuni saya bertanyakan ilmu apa yang saya pakai?
Saya jawab ilmu 'Tunggu'. mendengar jawapan saya semuanya melopong!
Dengan tersengih saya terangkan yang saya tunggu semua tujuh orang mencuba dengan masing-masing mengerah segala kudrat masing-masing. Jadi akar pokok itu akan semakin longgar selepas ditarik seorang demi seorang. Bila tiba giliran saya, yang kelapan sememangnya akar pokok itu dah pun longgar dan dengan senang berjaya mencabutnya!
Itulah dia 'Ilmu Tunggu'
ilmu yang baik hehehehe
ReplyDeletemenarik tertarik ilmu tu mmg da bomb
ReplyDelete