Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, April 4, 2012

Lauk Katak Panggang

Sedang saya melayan mata yang kian layu dengan perut yang separuh lapar, tetiba saya terdengar suara memanggil saya dengan panggilan 'Penghulu' dari belakang semak di penjuru 'Pondok Sementara' saya yang menghadap ke sebuah Anak Sungai. 


"Penghulu dah tidur ke?" Suara itu bertanya lantang.


"Belum, siapa tu?" Saya menjawab dan bertanya separuh menjerit


"Saya dan kami berenam" Suara itu menjawab di dalam gelam malam.


"Kamu Hanafi ke?" Saya teringatkan suara seorang Peserta dari Sabah yang bernama Hanafi


"Ya, saya Hanafi bersama lima yang lain" Jawab suara itu.


Setelah keenam-enam tadi bersila di depan saya menghadap unggun api yang saya nyalakan petang tadi. Dua orang daripada mereka adalah perempuan. Saya bertanya "Macam mana kamu boleh cari lokasi ni". 


Hanafi kata dia mencuri tengok peta yang bertandakan lokasi masing-masing di pondok Urusetia semasa Taklimat petang tadi.


Sebenarnya kami sedang menjalani sesi 'Survival' selama tiga malam, salah satu modul untuk Kursus 'Pemimpin Rekreasi Kebangsaan' anjuran Kementerian Belia Dan Sukan. Kami di tinggalkan di satu rimba yang kami tidak tahu lokasinya.


Lewat petang tadi setelah kami sampai ke satu lokasi yang ditetapkan di dalam sesi 'Kompass Marching' yang memakan masa selama satu 2 hari satu malam. Sedang kami berehat menghilang letih berjalan kaki melalui denai-denai yang becak dan berduri untuk sampai ke lokasi itu, kami dipanggil berkumpul tanpa amaran dan diberikan taklimat tentang sesi survival. Setelah itu kami dibawa ke lokasi yang jauh dari perkemahan Urusetia.


Masing-masing ditinggalkan di lokasi yang jaraknya anggaran saya sekurang-kurangnya 500 meter antara satu sama lain.


Setelah tiba di lokasi yang ditempatkan, saya mendirikan pondok sementara yang beratapkan Daun Bertam berlantaikan tanah yang juga dialas dengan daun bertam.


Setelah tempat berteduh siap hari sudah malam. Saya nyalakan unggun api dengan menggunakan batang mancis yang dibekalkan.


Kami dibekalkan dengan 3 batang mancis dengan secebis tempat penggores. 3 sudu garam, sebilah pisau dan satu Messtin/bekas memasak.


Oleh kerana petang tadi pasukan saya tiba lebih awal di lokasi, maka kami sempat masak dan makan meggi. Jadi saya tidaklah lapar. Esok saya bercadang nak mencari siput sungai dan umbut bayas untuk alas perut.


Sedang kami berborak-borak kosong, tiba-tiba Harun (pencen Komando)  meminta izin saya untuk ke Kem Urusetia mencuri 'ration'. 


"Eh.. Harun, tempat tu jauh, lagi pun macam mana kamu nak cari tempat tu di dalam hutan yang gelap gelita ni? Nanti kamu tersesat nahas!" Tujuannya tu sedikit merisaukan saya.


"Tak apa, itu masalah saya, Penghulu tunggu jer kat sini" Jawab Harun. 


"Penghulu, saya naik ikut Harun, boleh ke?" Minta SiNadia salah seorang peserta perempuan di dalam kumpulan Hanafi tadi. 


"Tanyalah Harun, kalau dia nak bawa kau, saya tak kisah. Harun, apa macam, boleh kamu bawa Nadia?"


"Ok, no problem" jawab Harun. Maka Harun dan Nadia pun hilang di dalam kegelapan malam.


Setelah Harun dan Nadia pergi, Hanafi pula berkata "Penghulu, kami berempat nak berburulah". 


"Kat mana?" saya bertanya. 


"Sepanjang sungai ni mengarah ke hulu" jawab Hanafi.


"Kamu pergilah, saya nak sambung tidur" setelah mereka menghilang ke sungai bersuluhkan obor yang dibuat dari damar, saya tertidur.


Sedang saya nyenyak di dalam suasana sunyi dan sejuk, tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu suara yang lantang dari Hanafi "Penghulu, bangun. Kita makan!" 


Saya bangun dan tengok jam dah pukul 3 pagi. Nadia dan Harun pun dah ada. 


"Ni saya sempat ambil biskut dan roti, kopi uncang pun ada" Kata Harun. 


"Ha.. kita juga ada lauk" Kata Hanafi pula.


"Lauk apa yang kamu buru, Hanafi?' Tanya saya


"Ha..Haa... ini dia, Katak Panggang!" Kata Hanafi selamba.


"Ish... kau ni, kamu sajalah makan, saya makan roti dengan minum kopi pun oklah. Tak payah berlauk-lauk!" kata saya.



3 comments:

  1. mr edz

    Mengikut mereka yang makan, rasa katak bakar macam rasa daging ayam kampung muda!

    ReplyDelete
  2. wow.. sedap la kalau macam tu..

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa