Kerajaan Pahang memberi jaminan akan menyelesaikan permohonan pemilikan tanah oleh rakyat negeri ini selepas selesai pilihan raya ke-13.
  
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata di kebanyakan tempat, permohonan tanah telah diselesaikan oleh jawatankuasa permohonan tanah pejabat daerah.
  
"Ada tempat yang 100 memohon, semua dapat. Tapi ada juga kebanyakan tempat hanya 30 peratus yang selesai, 70 peratus lagi masih dalam proses. Ini akan kita selesaikan selepas pilihan raya nanti," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia di Kampung Labu, dekat Jerantut, semalam.
  
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga dalam proses memperincikan projek pembinaan jalan raya bagi menghubungkan kawasan Sungai Lembing di Kuantan dan Jerantut melibatkan jarak kira-kira 40km.
  
Pada masa kini, jarak dari Sungai Lembing ke Jerantut yang dihubungkan /melalui Lebuhraya Pantai Timur ialah kira-kira 180km.

- Bernama