Bekas pengarah CCID, Datuk Ramli Yusuff percaya bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mungkin iri hati kerana Ketua Polis Negara sekarang, Tan Sri Ismail Omar meraikannya dalam satu majlis persaraan rasmi bulan lepas.

"Saya percaya (bahawa Musa) iri hati kerana bila beliau bersara, Ismail tidak meraikannya apa-apa (majlis persaraan). Tetapi saya mendapat penghormatan tersebut."

Ramli mencapai umur persaraan wajib pada 1 Mac 2008. Tetapi beliau telah terlibat dalam kes mahkamah di mana beliau dituduh tidak mengisytiharkan hartanya.

Selepas lima tahun, mahkamah membebaskannya daripada tuduhan tersebut, dan bulan lalu, beliau diraikan dalam satu majlis persaraan rasmi.

NONERamli berpendapat, kerana itulah sebabnya mengapa Musa (kiri) tidak senang dengan Ismail. 

"Jika Musa mahu diraikan dalam majlis yang sama, minta kepada IGP dengan baik. Mengapa Musa mesti menyerang Ismail secara terbuka?" katanya sambil menambah bahawa Musa dan Ismail telah berkhidmat di bawahnya dalam CID selama enam tahun.

Ramli juga berkata pada zamannya dulu tidak ada campurtangan oleh pihak eksekutif mahupun menteri dalam negeri kerana pasukan polis dapat melakukan tugas mereka secara profesional.

"Sebagai anggota polis, kita boleh menasihati menteri kabinet tetapi mereka tidak boleh memberitahu kita apa yang perlu dilakukan. Kami adalah profesional dan kami adalah anggota polis yang terlatih, kita bukan ahli politik. Ahli politik, sebagai penggubal undang-undang, perlu bekerjasama dengan pihak polis," katanya.

Katanya, pada masa beliau berkhidmat dahulu, tidak ada sebarang gangguan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan tidak perlu melakukan itu dan ini.

Musa sebelum ini telah mendedahkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah campurtangan dengan memberi arahan kepada orang bawahannya.

Hishammuddin dalam responnya bertanya mengapa Musa hanya membangkitkan isu itu sekarang, ketika menjelang pilihan raya umum. Hishammuddin mendakwa apa yang dibangkitkan Musa itu adalah satu pembohongan besar.