Wednesday, December 12, 2012

Inilah Dia Janji Dicapati "Rakyat Diutamakan"!

Sayangkan Umno, Shafie harus diketepikan
December 12, 2012
Apakah yang telah dilakukan oleh Shafie selama empat penggal memegang mandat para pengundi di Semporna ini?

Tahun 2012 sudah hampir melabuhkan tirainya dan andai direnung kembali peristiwa sepanjang tahun ini sudah tentu bahang PRU13  (pilihan raya umum ke 13) yang tidak berkesudahan tetap menjadi bualan hangat bagi mereka yang merasakan cukup arif tentang suasana politik Malaysia.
Ada sesuatu yang sangat menarik perhatian penulis untuk mengulas kemelut politik yang sedang melanda Malaysia Timur ketika ini dan di antara yang paling panas ialah Parlimen Semporna P189 yang memang terkenal sebagai salah satu kubu kuat Umno semenjak parti tersebut berjaya menakluki negeri Sabah.
Hasil daripada kajian yang penulis telah lakukan semenjak kembali dari bercuti di daerah tersebut, amat mengejutkan apabila disedari bahawa Ahli Parlimen bagi Semporna ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga merupakan salah seorang yang bertanggungjawab membawa kemasukan Umno ke Sabah pada tahun 1991.
Menyingkap titik permulaan beliau di arena politik Malaysia, Shafie hanya bermula sebagai pegawai biasa di Yayasan Sabah berjaya dketengahkan oleh bapa saudara beliau Tun Haji Sakaran in Dandai yang pada masa itu pemilik kerusi DUN N.48 Sulabayan di bawah tiket parti pembangkang Usno.
Setelah Shafie berjaya mengambil alih kerusi parlimen Semporna pada PRU 1995, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Timbalan Menteri Pertahanan, Menteri Hal Ehwal Pengguna dan Korperasi, Menteri Perpaduan Masyarakat dan
Kebudayaan dan kini menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Melalui rekod jawatan yang beliau sandang, ternyata Shafie adalah seorang yang boleh dikatakan pemain peranan utama di dalam kabinet Barisan Nasional.
Memegang tampuk kepimpinan Parlimen Semporna selama empat penggal dan pada pemilihan Agung Parti Umno 2008 beliau berjaya menduduki salah satu daripada kerusi naib presiden. Rekod kejayaan Shafie sebagai ahli politik memang boleh dikatakan gah secara zahirnya.
Berbalik semula kepada topik daerah Semporna. Lawatan penulis baru-baru ini sangat membuka mata.
Tanah yang terkenal dengan Pulau Sipadan (Diver’s Heaven) ternyata daif dan jauh ketinggalan dalam segala aspek walaupun diwakili oleh orang penting di dalam kabinet Barisan Nasional (BN).
Persoalannya, apakah yang telah dilakukan oleh Shafie selama empat penggal memegang mandat para pengundi di Semporna ini?
Soalan ini memaksa penulis cuba mencari tahu daripada masyarakat tempatan bagi mengenal pasti kepincangan pengurusan daerah tersebut.
Hasil daripada apa yang diamati, ada 4 Dalil Utama yang akan menjadi penyebab kepada kekalahan BN sekiranya Shafie diturunkan sekali lagi pada PRU13 nanti.
1. Janji empat penggal tidak ditepati
Ditanyakan tentang kepimpinan dan kredibiliti Shafie kepada masyarakat tempatan, terlalu ramai yang mengeluh dan menyuarakan rasa kecewa mereka dengan cara pimpinan Shafie setelah empat penggal.
Terlalu banyak janji-janji yang tidak ditepati. Salah satu daripadanya ialah pembinaan jambatan dari tanah besar Semporna ke Pulau BumBum yang dikatakan janji empat penggal yang jelas tidak ditunaikan sehingga ke hari ini.
Ramai yang hilang keyakinan dan berjanji tidak akan memberikan sokongan mereka kepada Shafie lagi kerana hilang kepercayaan kepada janji-janji manis yang ditaburkan.
Selain daripada janji jambatan yang tidak tertunai, penduduk daerah ini juga berdepan dengan masalah infrastruktur di mana jalan utama ke pekan Semporna sentiasa mengalami kesesakan kerana sudah tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.
Masalah kemudahan asas yang semakin meruncing seperti bekalan tenaga elektrik yang tidak stabil dan bekalan air bersih yang tidak terurus juga sudah sekian lama tidak dapat diselesaikan.
Dan yang sangat memalukan ialah pengurusan sampah yang sangat lemah telah mengharumkan nama Semporna sebagai daerah terkotor di Sabah dan juga mungkin di Malaysia.
Kekotoran daerah ini memang tidak dapat disangkal lagi dan sudah cukup menjadi bukti kukuh kepincangan kepimpinan Shafie dan YB DUN di dalam kawasan parlimen Semporna.
2. Skandal artis
Ramai sedia maklum kehangatan skandal pemberian hampir RM1.3 juta kepada seorang aktres tempatan.
Walaupun Shafie berjaya mendiamkan dan menyejukkan kehangatan skandal ini, golongan masyarakat Semporna sudah maklum akan kebenarannya, malah ada anak tempatan yang mempunyai bukti yang kukuh atas kesahihan skandal ini.
Kehangatan skandal ini juga dikatakan telah membuka semula rahsia skandal lapuk Shafie yang dikaitkan dengan seorang wanita tempatan.
Kedua-dua skandal ini sebenarnya boleh dikatakan nyata bagai ‘sudah terang lagi bersuluh’, tetapi Shafie tetap menafikan dan sanggup menipu dan memperbodohkan masyarakat daerah Semporna.
Persoalan penting yang harus diberikan tumpuan ialah, bagaimana Shafie mampu mendapat jutaan ringgit bagi menampung kemewahan hidup artis tersebut?
Mengimbas semula skandal-skandal yang pernah melanda barisan pemimpin tertinggi Umno, seharusnya Shafie mengambil langkah yang sama menawarkan diri untuk tidak bertanding di dalam PRU13 agar beliau dapat bersara dengan cara terhormat.
Skandal ini tidak seharusnya diambil mudah oleh barisan pemimpin tertinggi BN sekiranya mereka benar-benar ingin menurunkan barisan calon pilihan terbaik.
Terdengar ura-ura mengatakan akan ada pihak yang berani untuk membuktikan kesahihan skandal ini.
Seandainya Datuk Seri Najib Tun Razak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kuasa BN di Putrajaya, maka tidak salah untuk mengorbankan Shafie demi nama baik Umno kerana lambat laun akan terbukti Shafie hanyalah individu yang akan membawa kerosakan pada imej kepimpinan BN.
3. Kronisme dan sabotaj penyokong Umno
Selama menjadi menteri di Persekutuan, Shafie dikatakan telah mengamalkan kronisme di mana beliau telah banyak menganugerahkan projek-projek kerajaan kepada ahli keluarga yang terdekat.
Ada yang mengatakan bahawa saudara mara beliau hanyalah keluarga sederhana, tetapi menjadi kaya raya hanya dengan sekelip mata Ketidakadilan beliau ini telah mengakibatkan para penyokong Umno sendiri tidak berpuas hati dan dipercayai akan cuba membuat sabotaj ke atas beliau di dalam PRU13 nanti.
Mengambil kira dari keadaan semasa yang melanda negeri Sabah, Ahli Majlis Tertinggi BN sewajarnya meminta Shafie untuk meletak jawatan bagi membuktikan kesungguhan mereka untuk membariskan pemimpin yang bersih dan lebih cekap mengurus di dalam PRU13 nanti.
Tindakan bekas presiden Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dengan sukarela melepaskan jawatan mereka dan bersara harus dicontohi oleh Shafie demi kepentingan perjuangan Umno dan BN di Sabah.
4. Calon pembangkang bukan calon pilihan Shafie
Bukan lagi khabar angin. Yang jelas, dalam PRU10 sehingga PRU12 masyarakat tempatan ada mengakui bahawa Shafie telah meletakkan orang sendiri sebagai calon parti lawan dan ini adalah faktor utama kejayaan bertahan selama empat penggal.
Strategi beliau telah lama dikenal pasti dan setelah menyedari bahawa anak tempatan yang juga seorang pakar bedah pilihan sebenar PKR Pusat akan menentang beliau, pelbagai usaha telah beliau lakukan bagi memastikan anak tempatan tersebut tidak dicalonkan.
Satu langkah jelas yang beliau lakukan ialah dengan memporak porandakan urusan Cabang PKR Semporna dan juga cuba meletakkan calon wanita yang kononnya Ketua Srikandi Cabang tersebut.
Malangnya, perhimpunan kemasukan beramai-ramai ke PKR yang dihadiri hampir 3,000 orang tempatan di Semporna telah membuktikan bahawa Shafie akan menghadapi kerumitan di dalam mempertahankan kerusi beliau.
Kemasukan beramai-ramai ini juga petanda besar kepimpinan Shafie telah ditolak. Memancing undi dengan wang ringgit bukan lagi satu kaedah terbaik untuk memenangi hati masyarakat Semporna pada PRU13 kerana perkara utama mereka inginkan ialah pemimpin yang lebih berjiwa rakyat dan mampu menzahirkan segala janji yang ditaburkan.
Mungkin Shafie berada di zon selesa sebelum ini sehinggakan beliau terlepas pandang akan kepincangan yang telah beliau lakukan selama memegang kerusi tersebut hampir 18 tahun.
Sudah tiba masa untuk beliau memberikan laluan kepada muka baru bagi memimpin dan memenangi hati pengundi pada PRU13 kelak.
Empat dalil (faktor utama) telah diterangkan di sini, maka terserah kepada pucuk pimpinan BN untuk membuka dacing dan membuat pertimbangan.
Meletakkan Shafie dalam senarai calon sekali lagi hanyalah umpama membiarkan parasit membiak dan merosakkan kredibiliti BN.
Padah akan mengundang seandainya suara pengundi Semporna dianggap remeh kerana kuasa ditangan mereka.
Kebencian para pengundi pada Shafie sudah tidak dapat dibendung lagi. Yang pasti, janji dan sumpah keramat Shafie sudah tidak mampu mengaburi mata penduduk tanah Bajau Laut itu.
*Penulis, 33 tahun, yang bermastautin di Kuala Lumpur ialah seorang penyanyi, penulis lirik lagu, penggemar seni, suka menjelajah dunia, aktivis Gerakan Hak Asasi Malaysia (MCLM) dan politik.

No comments: