Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, February 12, 2013

Bongkar: Di Sebalik Projek IC Biru Sabah (Sabarlah article agak panjang)

Projek IC: Agenda jatuhkan PBS, Umno masuk Sabah


MUKADIMAH: Rahsia  sebenar "Projek IC Biru Sabah" yang hangat didengar  Suruhanjaya Diraja (RCI) di Kota Kinabalu Sabah kini dibongkar apabila Harakah diperkenalkan kepada Mat Swadi Awi (gambar), anak  Semenanjung keturunan Bawean (Boyan) berasal dari Ipoh, Perak mendedahkan satu persatu modus operandinya. Beliau bertugas di Sabah sebagai  Pengurus Cawangan Bank Pembangunan  Malaysia  Bhd. (BPMB)  pada  tahun 1985-1988 dan diberi peranan penting  oleh Tun Datu Mustapa Datu Harun dengan sokongan padu Kuala Lumpur untuk  merangka  "grand  design" dan seterusnya mengetuai operasi  "Projek  IC" ini. 

Walaupun namanya diutarakan kpeada RCI tetapi beliau tetap tidak dipanggil. Kenapa? Ikuti butiran lanjut DATO' TARMIZI MOHD JAM dan ARIF ATAN membongkar projek ini daripada "arkitek" sebenar yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Foto MOHD NASIR SUDIN.

Kami difahamkan saudara orang kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak sekian lama dan di kalangan   Umno saudara terkenal sebagai "gurka setia" akar umbi Pak Lah   sehingga ke saat ini. Boleh ceritakan sedikit bagaimana saudara  boleh akrab dengan Pak Lah dan sedia diwawancara oleh kami   daripada Harakah?

MAT SWANDI AWI: Saya  mula  berkenalan  dengan  Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sejak  tahun 1978.  Apabila saya dipinjamkan  (seconded) dari Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) ke Jawatankuasa Pemandu (JKP), Bahagian Penyertaan Bumiputera, Unit Penyelarasan  Perlaksanaan, Jabatan Perdana  Menteri Pulau Pinang  untuk membantu Bumiputera yang tertekan dengan sifat anti-Melayu,  anti  DEB dan anti Kerajaan Pusat dan Kerajaan Gerakan pada masa  itu. Pada   masa itu gandingan 2M - Mahathir Musa Hitam  amat hebat dan  digeruni   kawan dan lawan.

JKP yang dipengerusikan  oleh Ketua  Pengarah ICU, iaitu allahyarham  Dato’ Mohd.  Saffian Abd. Majid dan dianggotai oleh semua ketua-ketua   pengarah agensi Kerajaan Pusat seperti   MARA, UDA, Bank Pertanian  Malaysia, MARDI, MIDF, BPMB, dll bertindak sebagai  badan penyelaras   kepada  semua agensi-agensi pusat  ini dalam usaha membantu   Bumiputera P. Pinang dalam segala aspek, seperti pembangunan  usahawan, urusan pinjaman bank sekiranya ada karenah dari bank-bank   yang berkenaan,  pembangunan hartanah, seminar-seminar   keusahawanan, membantu usahawan-usahawan Bumiputera mendapatkan   kontrek, pengagehan rumah-rumah yang dibangunkan olehPenang  Development Corporation (PDC) kepada Bumiputera yang mahu  membelinya dan sebagainya.

Ini kerana  aktiviti-aktiviti  penting  ini  memerlukan  seorang  pegawai yang   tahu  dalam aspek  banking dan pembangunan usahawan, rezeki badan    saya  terpilih dari kalangan ramai  pegawai yang dikenalapsti dari   agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti  MARA,  MIDF, Bank Pertanian dan sebagainya.

Pengarah JKP pada masa itu ialah Mohd. Hanafiah Omar, orang kelahiran  Penang, adik Tan Sri Alias  Omar, orangnya  amat baik. Sayahormat  beliau sampai sekarang walau dah sama-sama  tua ini.

Pada masa itu Tun Abdullah baru menjawat  jawatan sebagai Setiausaha  Parlimen di JPM, orangnya  masih  muda dan  kacak. Beliau yang  dilahirkan dari keluarga yang alim banyak mendidik dan membimbing saya dalam kepimpinan, baik politik atau kemasyarakatan. 

Teguran-teguran   beliau, kadang-kadang pedas sampai menyusuk kedalam  jantung adalah   ilmu yang saya  warisi sampai ke akhir hayat  saya. Lagi  pedas dan panas  teguran  beliau kepada saya lagi saya suka sebab itu adalah tanda   kasih  sayang  beliau  kepada  saya  supaya  saya  jadi orang.  Ilmu dari Tun  Abdullah ini  tidak  boleh saya  perolehi  dari mana-mana universiti dalam  dunia ini.  Semuanya lahir dari keikhlasan hati beliau.

Begitu  juga  dengan  allahyarham Tun Mustapa Datu Harun, bimbingan,   tunjuk ajar dan teguran  beliau tidak dapat  saya  nilaikan dengan  apa  sahaja  pun. Semoga jasa allahyarham yang banyak mendidik dan  menegur segala kesilapan saya menjadi pahalanya dialam barzah  dan  insyaallah diakhirat  nanti. Semoga Allah SWT menempatkan roh   allahyarham dikalangan hamba-hambaNya yang soleh. Siapalah saya dalam masyarakat dan dalam dunia politik  tanpa Tun Abdullah dan tanpa allahyarham Tun Mustapa.

Sejak Pak Lah diberhentikan secara paksa oleh Mahathir,  Najib dan Muhyiddin, kami difahamkan saudara selalu hadir   dalam ceramah-ceramah Pakatan, mengapa?

Memang  benar.  Sejak  Pak Lah disondol  keluar  oleh  gerombolan  Mahathir, Najib  dan  Muhyiddin yang  tidak  sabar-sabar untuk  mengambil   alih  jawatan  tertinggi  negara  daripada Pak Lah, saya  sudah hilang  hormat  kepada kepimpinan  UMNO sekarang  ini. Mereka memaksa Tun  Abdullah turun  kononnya  Pak Lah lembik,  tak  ada uumppp memimpin,   tak  ada hala tuju, lemah, tidak  konsisten dalam keputusan dan  pendiriannya  dan  macam-macam  lagi.

Mereka anggap mereka adalah  manusia terhebat, terpandai, jauh lebih   hebat  dari Pak Lah dalam memimpin negara dengan   falasafahnya   “transformasi”,  semuanya nak ditransform, tetapi seperti mana yang  rakyat  jelata dapat lihat sekarang ini, semua semakin meleset, UMNO  semakin hancur,  semakin  berkecamuk, semakin ditolak  oleh rakyat,   teramat  takut untuk mengadakan PRU.

Bukankah beberapa hari lepas Mahathir akui Najib lebih lemah daripada Pak Lah?

Dr.  Mahathir  (Mohamad) yang bekerja keras sebagai "defacto-PM" mengakui  sendiri secara  umum bahawa Najib jauh lebih lemah dari Pak Lah dan  tidak mampu memimpin  sehingga  Najib  terpaksa  akur dengan  segala   permintaan dari  banyak  pihak, terpaksa membazir  wang rakyat untuk  BR1M1 dan  2,  terpaksa  akur kepada  permintaan untuk membina banyak  tokong dan macam-macam lagi dan ini belum pernah berlaku dalam  sejarah politik negara  kita dimana seorang PM terpaksa  tunduk kepada  “political ransom” sepertimana  yang  dilakukan oleh Najib sekarang ini  diatas macam-macam alasan  kononnya dia amat  perihatin dan rakyat  didahulukan.

Kalau 30 tahun dulu rakyat  bolehlah "diboyok" kata orang  Sabah, tapi  bukan sekarang "ini lagi bah". Orang sudah  boleh  fikir  bah, kau kasi  aku  ambillah, tapi undi sory lah. Di manakah  maruah seorang PM, UMNO dan  Melayu kita sekarang ini yang  terpaksa tunduk  kepada  semua tuntutan. Mukaddimahnya  sahaja “1Malaysia” ditolak bulat-bulat oleh orang Melayu  sehingga Muhyiddin  terpaksa melaungkan “1Melayu” untuk menyejukkan   hati orang Melayu. Kata orang Sabah kau sudah kena ketulahan bah!

Berbalik  kepada "Projek IC" di Sabah. Mengapa saudara   sedia bersama Harakah untuk membongkar rahsia sebenar operasi ini?

Selama ini saya hanya  mengikuti  perkembangan RCI melalui akhbar-akhbar  samada  secara  "hardcopy" atau melalui  website  mereka  dengan penuh minat. Kadang-kadang  lucu  kerana  rahsia  sebenar "Projek  IC" ini  tidak langsung di ketengahkan,  seolah-olah mahu disorok  daripada pengetahuan umum.

Tetapi  apabila  nama Pak Lah  yang  tidak  pernah  terlibat  dengan  perkara  ini diheret  ke kancah polemik  ini, saya  sebagai  "gurka  setia" yang  terlibat  secara  langsung  dalam  operasi khas ini terpanggil untuk  mendedahkan  rahsia  sebenar  "Projek  IC" ini, sekaligus untuk bersihkan  nama baik Pak Lah.  Apabila sahabat saya Dato' Rameli Buyong  memaklumkan  saya, Harakah sedia mewawancara saya, saya kata OK. Saya ucapkan  terima  kasih kepada Harakah kerana akhbar-akhbar pro-BN sudah  pasti  tidak  berani  mendedahkan  apa  yang  Harakah  mampu buat.

Saudara marah dengan dakwaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang  meminta RCI  memanggil Pak Lah dan Mahathir  untuk  memberikan keterangan...

Tidak sekali. Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah  banyak  kali  mengatakan  bahawa  beliau  tidak  pernah dan tidak langsung  terlibat dengan "Projek  IC"  biru ini  dalam cara atau dalam bentuk apa pun, tetapi Mahathir yang  berdendam  kesumat dengan Anwar terus menerus menghentam dan mendakwa  Anwar terlibat  dalam  "Projek  IC"  biru walaupun  beliau  mengaku   tidak  ada  bukti.

Sebelum itu Mahathir pun menyalahkan allahyarham Tunku  Abdul  Rahman, dah nyanyuk  betul  Mahathir ni. Dulu dia kata Melayu mudah   lupa. Celupar betul mulutnya, cakap macam orang tak  beriman, main   syok  aje  fitnah sana fitnah sini. Tak takut  azab Allah  SWT dunia  akhirat.  Malah Tun Abdullah  pun  pernah bertanya  kepada saya  dua bulan lepas samada  Anwar terlibat  dalam "Projek IC" biru ini dulu,  saya dengan  tegas mengatakan Anwar tidak pernah terlibat langsung dalam "Projek IC"   biru ini sebab semua orang UMNO  tahu bahawa Anwar  bukannya "bed  fellow" dengan  allahyarham  Megat Junid  (Megat Ayob) dan  juga    dengan Pak (Tan Sri Aziz  Samsudin) dan  mereka  tidak  pernah sebulu.

Malah allahyarham Tun Mustapa dulu  pun ada  terguris hati dengan  Anwar,  jadi macam mana Anwar nak  terlibat  dalam  "Projek  IC" biru ini. Saya  tak salahkan  Anwar meminta RCI  memanggil Tun Abdullah ke RCI.  Itu mungkin jawapan beliau secara  "impromptu"  atau mungkin  beliau  sengaja menjolok Tun  Abdullah untuk menghentam balik Mahathir. Biasalah orang politik memancing respons,  apa pun Tun  Abdullah dah  dengan tegas  menafikan pembabitan  dalam  projek  IC  biru  ini.

Tun Abdullah  tidak memerlukan projek macam ini untuk menaikkan nama  baik  beliau.  Semua orang tahu bahawa Tun Abdullah  tak pernah buat  yang  bukan-bukan, beliau  keturunan keluarga  ulama  besar, beliau  banyak beristigfar sebelum melakukan sesuatu itu.

Macam mana  saudara  boleh diberi  kepercayaan  oleh  Tun Mustapa untuk ketuai "Projek IC" ini, sedangkan  saudara  adalah anak Semenanjung?

Saya  diperkenalkan  kepada allayarham  Tun Mustapa Datu Harun oleh  adik allahyarham yang bernama Datu Abdul  Salam yang datang berjumpa  saya memohon pinjaman untuk menyiapkan hotelnya di Kudat  yang  sekian lama terbengkalai sejak USNO dikalahkan oleh Berjaya pada tahun   1976 dengan hanya “super structure” yang siap.

Pada awal perkenalan dengan allahyarham  Tun Mustafa, saya hanya   menceritakan latar belakang dan pengalaman pekerjaan saya, tak  lah  seberapa  sangat  sebab pada  tahun 1986  itu pun saya berumur 36  tahun dan terlalu  banyak  lagi  yang perlu saya pelajari dalam hidup  ini.     Saya juga maklumkan  kepada allahyarham Tun  Mustafa bahawa  saya adalah gurka akar umbi Tun Abdullah.

Rupa-rupa allahyarham Tun Mustapa  pun menghormati keperibadian dan latar belakang Tun Abdullah dan perbualan semakin rancak sehingga  meliputi isu-isu politik semasa. Agaknya allahyarham Tun Mustafa tertarik dengan kareer banking  saya dan mungkin juga  dengan sedikit pengalaman saya yang belajar mengenai perjuangan serta kepimpinan  politik dari Tun Abdullah, lalu  allahyarham Tun  mengupas luas sejarah   perjuangan beliau menentang penjajahan Jepun dulu, sejarah penubuhan, perjuangan dan kesilapan USNO, masaalah “generation gap”   di antara kepimpinan vetran USNO dengan generasi muda terpelajar anak-anak  Melayu, masalah kesukuan di antara Bumiputera Islam, kepincangan akhlak  di kalangan sesetengah pemimpin USNO, struktur organisasi USNO yang  tidak  tersusun  terutamanya  diperingkat bahagian dan cadangan dan banyak lagi.

Banyak yang saya pelajari dari penjelasan allahyarham sambil makan malam di rumah allahyarham di Tanjong Aru dan banyak pula “case  studies” yang  boleh  saya  buat  dari  banyak masaalah yang allahyarham kemukakan  itu. Saya hanya  memberikan ulasan dan cadangan-cadangan yang saya fikirkan praktikal dan boleh pula dilakukan tanpa banyak masaalah.

Allahyarham Tun Mustapa  menunjukkan minat yang mendalam untuk membawa saya ke jemaah “inner  circle” nya  dan saya  teramat  bersyukur kerana mula diberikan penghormatan untuk memberikan cadangan-cadangan yang mampu saya hujjahkan dalam beberapa kes   yang  tertentu.

Ujian tugas pertama yang allahyarham Tun Mustapa berikan kepada saya   ialah membawa seramai mungkin generasi muda terpelajar dari  kalangan kakitangan Kerajaan Negeri dan Pusat  untuk  menyokong perjuangan USNO dan untuk menjadi “core supporters” allahyarham.

Bagi saya tugas ini  mudah  sangat  sebab dengan kedudukan saya  sebagai seorang  pengurus bank yang  masih muda dan bertenaga serta ramai kenalan,  amat mudah sekali saya mempelawa generasi muda terpelajar datang berborak-borak dengan saya selepas pejabat dan juga semasa makan tengahari, tambahan  lagi saya mempunyai elaun keraian.

Di samping itu sebagai ketua jabatan agensi Pusat, saya kerap dijemput untuk  menghadiri mesyuarat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Kementerian Kewangan Sabah, Kementerian Kebudayaan dan Sukan Sabah dan banyak lagi lah. Dari situlah saya berkenalan dengan Shafie Apdal, Marsidi Manjun, Mustapa Kula, Kasitah Gadam, Karim Bujang, Dr. Yusuf Yakob, Ansari Abdullah, Aizah Mohd. Dun, Sapawi Ahmad, Yahya Husin,  Mohd. Nor Mokhtar, Basalie  Ahmad, Datu Nashrun dan ramai  lagi.

Syukur alhamdulillah buat pertama kali saya dapat menjemput dan mengumpulkan sahabat-sahabat saya di atas dan ramai lagi selain dari  pegawai-pegawai Kerajaan Pusat dirumah allahyarham Tun Mustapa yang turut dihadiri oleh Tun Sakaran  Dandai, Tan Sri Ampong Puyon, Datuk Askalani, Railey Jeffery dan ramai lagi veteran USNO.

Selepas sesi pertama  ini saya meneruskan dengan sesi perjumpaan hari raya dan  sesi-sesi yang lain di rumah allahyarham Tun Mustafa dengan ramai lagi generasi muda terpelajar dan sokongan akar umbi allahyarham Tun Mustapa semakin baik.

Saya juga diminta oleh allahyarham Tun Mustafa membuat audit dibeberapa buah  bahagian USNO, tetapi akhirnya saya diherdik dan diumpat oleh kebanyakkan ketua dan AJK bahagian kerana mereka yang tidak pernah mengalami audit seperti  ini  tidak boleh menerima laporan professional yang sistematik dan tidak boleh  menerima teguran serta cadangan yang membina. Dalam pepatah Inggeris  kita  kata  “old  habits  die  hard”.

Saya juga berjaya merayu kepada beberapa orang pemimpin veteran USNO seperti  Karim Ghani  dan Yahya Lampong berhenti dari terus mengkritik kepimpinan allahyarham Tun Mustapa sebab masa itu kita sedang berhadapan dengan tentangan Kerajaan PBS yang berjaya mengambilalih kuasa dari Berjaya dalam pilihanraya negeri pada bulan  April 1985 yang memenangi kalau tidak silap mengikut catatan saya 26 dari 48 kerusi DUN.

Saya menjemput pemimpin-pemimpin veteran USNO yang kritis ini berbincang di pejabat saya selepas jam 17:00. Jadi bilik mesyuarat bank saya jadi bilik  perbincangan politik selepas jam 17:00.

Apa yang saya lakukan saya berikan laporan bertulis ringkas kepada  allahyarham Tun Mustapa. Di samping itu apabila masuk waktu saya tetap istiqomah menunaikan kewajipan saya sebagai orang Islam yang tetap menjaga solat  fardunya, termasuk ketika saya berada di rumah allahyarham atau di pejabatnya di bangunan USIA.

Semuanya ini membuat allahyarham Tun  Mustafa semakin selesa dan semakin yakin dengan saya sehinggalah beliau boleh menceritakan secara terperinci kepada saya hubungan beliau dengan allahyarham Tunku Abdul Rahman dan allahyarham Tun Abdul Razak dan macam mana kita membantu perjuangan Moro. Semuanya ini akan saya khazanahkan sebagai sejarah bertulis untuk pengetahuan dan rujukan    anak-anak cucu cicit saya agar mereka boleh juga menjadi pejuang yang ikhlas untuk ugama, keluarga, bangsa dan negara, tetapi tidak boleh dijadikan sebagai  rujukan awam.

Baiklah, sekarang saudara cerita secara terperinci macam mana saudara terlibat  dalam perancangan "grand design"  Projek  IC yang kesannya berlanjutan sehingga sekarang ini.

Sebelum saya menghuraikan perkara ini dengan lanjut, saya ingin mengimbas sedikit sejarah politik Sabah dari mula PBS memenangi pilhanraya negeri pada bulan April tahun 1985 itu. Selepas ubahsuai pejabat cawangan BPMB siap pada awal tahun 1985, kalau  tidak silap pada bulan Februari 1985, saya sepatutnya terus berpindah dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu untuk memulakan  operasi pejabat  cawangan ini.

Tetapi apabila Kerajaan Berjaya yang banyak membantu saya dalam urusan penyediaan pejabat cawangan BPMB ini kalah kepada PBS yang memenagi 26 dari 48 kerusi DUN, saya pun amat berat untuk berpindah ke Kota Kinabalu sebab saya tahu PBS ini anti-Melayu / anti-UMNO / anti-Islam dan anti-Semenanjung sedangkan  pada masa  itu semua kakitangan pejabat cawangan bank sudah saya pilih dan lantik untuk memulakan tugas, hanya tunggu saya membuka pejabat. Akhirnya  apabila pengurusan bank memberikan kata dua  kepada  saya, saya dalam protes terpaksa juga terbang ke Kota Kinabalu.

Saya amat kecewa apabila pelanggan-pelanggan KDM yang dulunya amat baik berulang alik dari KK ke KL untuk menguruskan pinjaman mereka amat baik  dengan saya tiba-tiba boleh bersifat anti-Semenanjong dan menjadi tidak mesra dengan saya. Pagi-pagi buta saya sudah mendapat panggilan  telefon  dari  orang-orang KDM  meminta orang Malaya  balik berambus sebab Sabah boleh hidup  tanpa orang Malaya, bank kau boleh tutup bah, dan macam-macam lagi sehingga  saya terpaksa memasang alat perakam suara untuk saya berikan kepada ibu  pejabat saya.

Saya  berjumpa dengan OCPD KK pada masa itu (Sup Haji Ishak Awadan) untuk memohon perlindungan polis. Syukur alhamdulillah semakin lama semakin ramai  kenalan dari kalangan pelanggan orang-orang Melayu kita termasuk saudara Ansari  Abdullah dan Pandikar Amin Mulia yang saya lantik sebagai panel peguam bank.

Keadaan sosio-politik dan sosio-ekonomi Sabah sejak PBS memerintah amat  bercelaru sehingga banyak “capital  flights” berlaku.

Muluk Awang Damit (bekas  MP Labuan) yang bertugas sebagai   pengurus cawangan City Finance Bhd. milik Musa Aman meminta pertolongan saya untuk  mendapatkan pelanggan untuk menyimpan / menabung di syarikat kewangannya. Keyakinan perniaagaan amat rendah sekali. Hidup rakyat hari-hari hanya dipenuhi dengan cakap-cakap politik untuk menjatuhkan Kerajaan PBS manakala   kepimpinan PBS terus memperkukuhkan kedudukan mereka dengan menaikkan pangkat pegawai-pegawai KDM kejawatan-jawatan penting. Ini  membuatkan orang  Melayu semakin marah kepada PBS.

Ringkas cerita, akibat tentangan hebat gabungan USNO-Berjaya yang berterusan  yang mengakibatkan tidak ketentuan dan ketidak setabilan politik negeri, PBS terpaksa membubarkan DUN sekali lagi pada bulan Februari 1986 setelah 10 bulan memerintah dan dalam pilihanraya semula kali ini PBS menang dengan majoriti 34 dari 48 kerusi DUN dan kedudukan mereka semakin kukuh manakala tentangan dari USNO dan Berjaya semakin rancak lagi.

Pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong USNO-Berjaya yang terus tidak puas hati dengan kemenangan besar PBS terus menerus menjolok penyokong masing-masing yang  berakhir dengan perarakan besar di Kota Kinabalu pada 13 Mac, 1986 yang diketuai oleh Tun Sakaran Dandai yang menyebabkan rusuhan, letupan bom, pembakaran kedai dan kenderaan-kenderaan di Karamunsing dan juga menyebabkan kematian sehingga menyebabkan perintah berkurung.

Pada masa itu saya baru keluar dari mesyuarat di Kementerian  Pembangunan Luar Bandar Sabah dan terperangkap di tengah jalan. Saya kembali ke pejabat, menutup  pejabat dan  mengarahkan semua kakitangan pulang segera untuk keselamatan diri  mereka. PBS berjaya menjadi anggota komponen BN kalau tidak silap pada bulan Jun 1986.

Bagaimanapun keanggotaan PBS dalam BN tidak juga  mengendurkan tentangan ahli-ahli USNO dan Berjaya yang  tetap tidak puas  hati dengan Kerajaan PBS yang dilihat sebagai anti-Melayu / anti-Islam.

Perniagaan bank saya tidak mencapai kemajuan yang saya harapkan dan saya terpaksa berpeluh melaporkan masaalah sosio-politik di Sabah pada masa itu kepada ibu pejabat saya di Kuala  Lumpur sedangkan saya sebagai pengurus  cawangan BPMB di Pulau Pinang pada tahun 1980-1983 dimahkotakan sebagai  di antara pejabat cawangan yang mencapai prestasi yang terbaik.

Saya  terus diminta oleh allahyarham Tun Mustapa untuk membantu memperkuatkan sokongan akar umbi USNO dengan mendekati masyarakat KDM, khasnya kaum Dusun sebab ramai di antara mereka yang berugama Islam.

Ketika saya sedang bekerja di pejabat pertengahan tahun 1987, allahyarham Tun Mustafa memanggil saya ke London untuk membincangkan perkara yang amat penting. Saya kebingungan kerana saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengambil cuti kecemasan untuk keluar negara yang saya tidak tahu berapa hari pula saya mesti bercuti.

Saya menjelaskan kepada allahyarham Tun Mustafa kerumitan saya, tetapi beliau  bertegas demi berjuangan untuk ugama, bangsa dan negara saya tidak ada pilihan dan beliau kata beliau akan menyelesaikan dengan pengerusi BPMB iaitu allahyarham Tan Sri Samad Idris sekiranya BPMB mengambil tindakan terhadap saya.

Dengan hati yang berat dan penuh serba salah, saya pun melangkah ke  lapangan terbang KK untuk ke London melalui Singapura.

Sampai di Heathrow, pengurus  MAS London menunggu saya dengan pemandu allahyarham Tun Mustapa dan mereka memberikan “greeting” kepada saya dengan kata-kata aluan  “welcome  to London Mr.  Mat, special  assistant to Tun Mustapa”.   Saya ketawa dalam hati dengan gelaran tersebut.

Saya terkejut  bila pemandu allahyarham Tun Mustafa mempersilakan saya naik kereta Rolls Roycenya! Allahyarham Tun Mustapa memberitahu saya bahawa dengan cara apa pun kita mesti menjatuhkan PBS dalam pilihanraya negeri yang berikutnya pada atau sebelum tahun 1990. Jadi kita mesti memikirkan sesuatu yang terbaik dan paling berkesan untuk memperkuatkan sokongan akar umbi USNO, satu daripadanya ialah dengan menambah undi dari:

• Orang Islam dari kalangan penduduk tetap Filipina yang sudah lama  tinggal di Sabah.
• Tentera dan polis yang bertugas di Sabah tetapi undi mereka belum dipindahkan ke Sabah dan juga tambahan undi anggota dari Semenanjung.
• Guru-guru, pegawai-pegawai dan kakitangan agensi-agensi Persekutuan yang  bertugas di Sabah.
• Peneroka-peneroka Felda sekiranya ada yang dipindahkan dari Semenanjung ke Felda seluruh Sabah.
• Sahabat-sahabat kenalan dan semua ahli keluarga saya yang undi mereka dipindahkan ke Sabah.
• Mendaftarkan semua orang Melayu / Bumiputera Sabah sebagai pengundi.
• Saya yang juga dilantik sebagai  Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan  Bumiputera Sabah (DPBS) mesti memastikan semua ahli DPBS menyokong USNO.

Saya bertanya  kepada allahyarham Tun Mustapa samada gerakan seperti ini pernah dilakukan di zaman USNO dan juga di era Kerajaan Berjaya. Allahyarham Tun Mustafa memaklumkan saya bahawa semasa era USNO, anak-anak pendatang asing Filipina Islam yang berkelayakan professional diberikan kerakyatan dengan mudah dan diberikan juga peluang pekerjaan di Sabah.

Ramai juga permastautin tetap Islam Filipino yang sudah lama tinggal di  Sabah diberikan kerakyatan, tetapi itu semuanya dilakukan secara adhoc kerana di zaman  USNO tidak ada keperluan untuk menambahkan kekuatan sokongan akar umbi USNO. Semasa era Kerajaan Berjaya, allahyarham Tun Mustafa mengatakan  ramai pula orang Pakistan membanjiri Sabah sehingga menyebabkan banyak  masaalah sosial kerana ramai wanita-wanita termasuk isteri-isteri orang pun naik  syok dengan lelaki Pakistan ini yang mancung hidungnya dan “barangnya” pun  dikatakan lebih hebat dari lelaki tempatan.

Apabila saya pulang ke Sabah, allahyarham Tun  Mustapa mengarahkan saya untuk merangka cadangan “grand design” operasi khas ini untuk beliau halusi.

Selepas dua hari di London, saya menalefon isteri saya di Kota Kinabalu untuk bertanyakan khabar anak-anak yang masih kecil. Saya terkejut bila isteri saya memaklumkan saya bahawa saya  diarah pulang segera oleh ibu pejabat BPMB di Kuala Lumpur untuk menghadapi tindakan tatatertib kerana meninggalkan pejabat tanpa sebab dan bukannya pula kerana tugas rasmi.

Saya memaklumkan allahyarham Tun Mustapa mengenai dilema saya. Allahyarham Tun Mustafa mengarahkan saya segera menghubungi Ampong Puyon dan saudara Abu Bakar Abbas  (Datuk), Setiausaha Agong DPBS untuk  memaklumkan Ampong  Puyon (Tan  Sri) untuk segera menelefon allahyarham Tun Mustafa di  London.  Allahyarham Tun mengarahkan Ampong Puyon (Tan  Sri) untuk segera berjumpa  dengan Tan Sri Abdul Samad Idris,  pengerusi BPMB untuk menyelesaikan tindakan  tatatertib BPMB terhadap saya.

Sekembalinya saya ke pejabat selepas hampir seminggu menghilangkan diri di London, surat tindakan tatatertib sudah terpapar diatas meja saya. 

Bagaimanapun walaupun perkara tersebut telah diselesaikan oleh kepimpinan tertinggi USNO dengan pengurusan BPMB,  ianya tetap merupakan titik hitam  dalam kareer banking saya.

Tidak lama kemudian saya menerima pula arahan untuk kembali ke Kuala Lumpur dengan segera. Saya naik bingung sedangkan anak-anak saya baru mula bersekolah di Kota Kinabalu dan pertukaran sekolah dipertengahan penggal akan menimbulkan banyak masaalah kepada pelajaran anak-anak saya.

Sekali lagi saya terpaksa memaklumkan allahyarham Tun Mustapa yang naik  berang dengan tindakan BPMB sedangkan kerja-kerja “part  time” saya membantu perjuangan USNO semakin rancak dan semakin mendapat sokongan pegawai-pegawai dan kakitangan Melayu / Bumiputera Islam Kerajaan Negeri dan Pusat,  golongan generasi muda terpelajar dan ahli-ahli DPBS.

Allahyarham Tun Mustapa dan Ampong Puyon (Tan  Sri) terpaksa berjumpa sekali  lagi dengan pengurusan tertinggi BPMB untuk membolehkan saya dipinjamkan pula  ke DPBS sebagai penasihat eksekutif.

Akhirnya saya pun bertukar baju sebagai penasihat eksekutif DPBS dan dengan tanpa topi sebagai seorang banker, saya pun semakin laju menggunakan  kedudukan saya di DPBS memperkuatkan lagi sokongan akar umbi kepimpinan allahyarham Tun Mustapa dan USNO. Ramai dikalangan usahawan-usahawan KDM yang menjadi ahli DPBS.

"Secondment” saya ke DPBS merupakan satu ujian yang getir kepada saya kerana BPMB tidak memberikan saya sebarang gaji, tetapi bayaran pinjaman perumahan dan kereta saya dibekukan buat sementara waktu. DPBS memberikan saya elaun sebanyak RM700 / bulan sedangkan gaji saya sebagai pengurus cawangan BPMB Sabah lebih dari RM5,000 / bulan pada masa itu dengan semua kemudahan yang lain.

Hidup  anak-anak  isteri saya yang terpaksa ikat perut memang merupakan satu  ujian dalam hidup saya, tetapi demi perjuangan, maruah dan martabat ugama, bangsa dan negara, saya sanggup melalui detik-detik  kesusahan itu selama lebih dari setahun.

Namun, dengan semangat yang berkobar-kobar untuk memastikan kemenangan mudah USNO dalam pilihanraya negeri  yang akan datang,   semua perasaan kesusahan  tidak berapa dirasai.  Tambahan pula ramai  penyokong-penyokong  dari  pantai  timur  Sabah  dan dari  daerah-daerah  lain  datang membawa udang, ketam, sotong  dan lain-lain makanan  laut   tanpa putus sehinggakan  tidak  cukup  tempat  dalam  peti sejuk saya.

Tidak  kurang  pula yang datang memberikan  daging  payau,  kijang,   tambadau  dan pelandok  disamping saya  sendiri  yang  kerap  masuk  hutan  dengan kawan-kawan saya.

Saya  kembali  ke Semananjung pada hujung  tahun 1988 apabila   tamat  tempoh “secondment” saya  ke DPBS.  Sahabat-sahabat setia  seperjuangan  saya  seperti  Yahya  Husin,  Shafie  Apdal,  Mustapa Kula,   Abu  Bakar  Abas,  Mohd.  Nor,  Bahari  Aship,  Mohd.  Yunus  Tahir,  Sabdin  Ghani,  Karim  Bujang  dan  ramai  lagi menghantar saya  ke  terminal  Feri  Malaysia.

Kami  berpelukan  sambil  mengalirkan air  mata  sebelum  saya masuk  ke feri  di  dini  hari,  kalau  tidak  silap  jam  0100  pagi.  Semasa dalam  kabin feri, air mata  mengalir  tanpa  saya  sedari sehinggakan  isteri  saya   yang  sibuk  menidurkan  anak-anak  yang  masih  kecil memujuk  saya  supaya  bertenang dan  bersabar.   Terbayangkan segala keseronokan perjuangan untuk mengembalikan  pemerintahan Melayu  dan Islam di Sabah  sejak saya ditugaskan di  Sabah. 

Terkenang segala pertemuan dan perbicangan dengan   kawan-kawan seperjuangan boleh dikatakan hampir setiap malam  dirumah saya  di Taman Berhwemin, Kepayan.

Terkenang  pesan  kawan-kawan seperjuangan supaya saya terus   berjuang dari KL. Terkenang  keseronokan  mencari  payau  dengan  kawan-kawan  yang sering  kali  disertai  oleh  Prof.  Ustaz  Dato’  Harun  Din.

Bila "Projek IC" ini dimulakan?

Seminggu  selepas  saya  berpindah  balik  ke  KL,  allahyarham  Tun  Mustapa memanggil saya  ke rumah  allahyarham  di  Petaling Jaya.  Beliau merujuk kembali kepada racangan “grand  design” yang sudah  persetujui itu dan  mengarahkan  saya  segera  menubuhkan  pusat  gerakan.

Saya segera  meminta  kebenaran  Datu  Abdul  Salam,  adik allahyarham  Tun Mustapa untuk menggunakan  dan mengubahsuai   pent  house   Hotel  Dashrun  beliau  untuk  bilik gerakan  ini dan beliau  terus mempersetujuinya. Dengan  sumbangan  dana dari allahyarham  Tun  Datu  Mustapa,  saya   membeli  tiga  buah komputer  dan  dua  buah  printer  dot matrix yang  besar dan berkelajuan  tinggi.

Saya  dibantu oleh beberapa  rakan  yang  pernah bertugas dengan   BTN dan  mereka  ini  adalah  anak  didik  Aziz  Samsudin. Untuk   memasukkan  data  kedalam  komputer,  saya  dibantu   oleh  beberapa  orang  operator  sambilan.
Allahyarham Tun Mustapa  juga memaklumkan saya  bahawa  akan   berjumpa  dengan  Nur Misuari  diluar  negara untuk  memastikan   bahawa rakyat Filipina  Islam  yang  diberikan  kad  pengenalan   biru   menyokong  dan mengundi USNO dan  tidak terpikat dengan   umpanan PBS.

Saya diarahkan  bertemu dengan  adik  Nur  Misuari serta beberapa   orang komander  Moro di Lapangan Terbang Subang dimana  mereka   singgah  sebentar (transit) dalam perjalanan  mereka  ke Libya.   Beberapa  orang   anggota  cawangan  khas  termasuk saudara susu  saya yang ditugaskan mengawasi kumpulan  komander Moro   ini     terkejut  besar bila mereka melihat  saya  berjumpa dan berbincang   dengan mereka.

Apa yang diarah Tun Mustafa untuk tindakan segera dalam "Projek IC" ini?

Tun Mustafa mengarahkan  saya...
•  Menyediakan teks "talking  points"  beliau dengan  Dr.  Mahathir  Mohamad  dan  Megat  Junid Megat Ayub.
•  Membuat  temujanji  dengan Tengku Ahmad  Rithaudeen,  Menteri Pertahanan dan  "talking  points"   dengan YBM  Tengku.
•  Menghubungi Ibu Pejabat  SPR.
•  Membuat  analisa  keputusan pilihanraya negeri 1985 dan   1986  dan seterusnya  membuat analisa keperluan  tambahan  undi   yang  diperlukan   disemua  kawasan-kawasan   yang  harus Usno menang kembali tetapi jatuh  ketangan PBS dalam  tahun 1986  serta  membiarkan kawasan  majoriti  KDM seperti Tambunan, Moyog, Kinabalu dan Penampang.   Tambahan undi  pula  dikawasan-kawasan  tumpuan untuk kemenangan   lebih dari 2/3 mestilah komposisinya dari  berbagai  lapisan pengundi   dan tidak hanya dari satu golongan sahaja. Misalnya undi tentera jangan   dilonggokkan di satu  kawasan, pecah-pecahkan  kebeberapa  kawasan   dan  kekurangannya  mesti diambil  dari   guru-guru  Semenanjong   dan  sebagainya.
Kerja  ini  amat  rumit  kerana saya  terpaksa melakukannya sendiri  tanpa  dibantu oleh orang  lain supaya  rahsia besar ini tetap rahsia.
• Mengenalpasti bakal-bakal calon terutamanya  daripada   generasi muda terpelajar untuk  tapisan cawangan  khas.
• Merangka keperluan  dana.
Tugas saya  teramat  berat,  siangnya kerja di BPMB,  lepas jam  1700 bergegas pula  ke  Dashrun  Hotel  memerah otak  dibilik  khas  yang  tidak  boleh  dimasuki oleh orang lain  selain dari Datu Abdul  Salam.

Apa hasi pertemuan Tun Mustafa dengan Tengku  Ahmad  Rithaudeen?

Ringkas  cerita, hasil pertemuan  dengan Tengku  Ahmad  Rithaudeen, empat orang pegawai tinggi dari Kementerian Pertahanan datang  berjumpa  saya  dengan Datu Abdul Salam di Hotel Dashrun. Seorang  major ditugaskan  khas untuk bekerjasama  dengan saya. Pegawai   tersebut amat  baik, amat  aktif dan komited dalam tugasnya. Kami   berjumpa bila-bila sahaja diperlukan  untuk memutuskan sesuatu   yang diperlukan, tidak  kira masa. Di Sabah saya berhubung  dengan Panglima ATM  di Kem Lokawi.

Di  Ibu Pejabat Kontingen Polis  Sabah  saya berhubung  dengan   Commissioner Maulana  Babje dan kemudiannya  kalau tidak silap   dengan Commissioner  (Tan Sri) Rahim Noor yang  menumbuk Anwar   Ibrahim. Saya  bekerjasama rapat dengan OCPD KK Supt. Ishak Awadan.

Saya  diperkenalkan  kepada  Setiausaha  SPR (Tan Sri) Abdul  Rashid  Abdul  Rahman oleh “childhood  family  friend” saya saudara  Zahid  Hamidi.

Bila saudara mula kenal dengan Megat Junid?

Saya   berjumpa  dengan  Megat  Junid  Megat Ayob buat  pertama  kalinya dirumah Tun Mustapa  di  Petaling Jaya,  hanya  perbincangan enam mata  sambil  makan  tengah hari. Kali  kedua saya berjumpa  dan  berbincang dengan   allahyarham  Megat  Junid  di  rumah  allahyarham Tun Mustapa   di  Petaling Jaya bersama  Osu  Sukam (Timbalan  Menteri Kerjaraya   pada masa  itu) dan Datu Abdul  Salam  Datu  Harun,  pun sambil    sarapan tengah hari.

Kali ketiga saya dipanggil seorangdiri berjumpa  allahyarham   Megat Junid di pejabat beliau di Bukit Perdana. Saya sanjung   komitmen  beliau. Orangnya  berani, amat  disayangi oleh allahyarham  Tun Mustapa.

Apa tindakan saudara untuk menjayakan "Projek IC" ini?

Saya berulang alik  dari KL ke KK  boleh  dikatakan setiap  minggu  membawa berkotak-kotak  borang kuning SPR  dengan  penerbangan akhir supaya  tidak kelihatan  oleh umum bila kotak-kotak  SPR itu diturunkan  oleh  Yahya  Hussin dan  anggota-anggota cawangan khasnya dan dibawa  terus kerumah saya di Taman Berhwemin,  Kepayan.

Sahabat-sahabat  seperjuangan  setia saya  seperti Shafie  Hj  Apdal,  Sapawi  Ahmad,  Karim  Bujang,  Datuk  Dr. Hasbullah, Utuh  Usbah, Mohd. Yunus  Tahir,  Abu  Bakar  Abas, Bahari  Aship dan  ramai lagi membantu saya mengagihkan  borang-borang SPR  ini   kepada pembantu-pembantu USNO untuk merekodkan nama-nama   pengundi baru.

Operasi ini dijalankan di rumah saudara?

Rumah saya di  Kepayan menjadi intipan agen-agen PBS. Saya   terpaksa tidur dengan senjata api, pun tidak nenyak  tidur. Malah  kalau mandi pun  barang  tu saya  bawa  sama. Memang membebankan,  tapi  seronok  pula  kerana peluang untuk  berbakti kepada  ugama,  bangsa dan negara bukannya  datang  selalu. Lagi  pun bukannya  semua orang yang  Allah SWT berikan peluang untuk berjihad  seperti  ini.  Bagi saya itu semuanya adalah peluang  dan pengalaman    sekali  sahaja  dalam seumur hidup.

Siapa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terbabit?

Saya bekerjasama dengan amat  baik sekali dengan  saudara Abdul  Rauf  Sani  (Dato), pengarah JPN Sabah  pada  masa  itu. Peranan   beliau amat penting sekali. Kerana  saya  bekerja  sepenuh masa di  BPMB, saya tidak ada  masa langsung  untuk terlibat dalam mengenalpasti orang-orang  yang  diberikan IC  biru ini dan langsung  tidak  pernah terlibat dalam  apa  bentuk pun dengan operasi sulit JPN Sabah  atau JPN Pusat.

Di pusat  gerakan  saya  di Kuala Lumpur  veteran-veteran USNO  seperti Ahmad  Awang  dari Tawau, allahyarham Piting dan  ramai  lagi yang sudah meninggal dunia datang membawa ratusan   keping setiap seorang  salinan  photostat  kad pengenalan yang  data-datanya saya  suruh pembantu-pembantu saya masukkan   kedalam komputer. Proses ini dilakukan sepanjang tahun 1989  sehingga bulan  April 1990.

Kemudian apa yang saudara lakukan...

“Print-outs” senarai pengundi-pengundi  baru ini saya kemukakan  sendiri  kepada  ibu pejabat  SPR yang  kebetulan  pula duduk di  Bangunan  BPMB. Jadi  amat  mudahlah  saya berurusan dengan  ibu  pejabat  SPR, khasnya dengan  Abdul  Rashid  Abdul  Rahman   (Tan  Sri). Saya  tabikdiatas komitmen beliau.

Saya juga dapat menjalinkan hubungan sokongan yang amat  baik  dengan kumpulan  gerakan Al-Ar’qam dan  ketuanya yang   bekerjasama dengan saya ialah Ustaz  Halim,  timbalan kepada  allahyarham Ustaz  Ashaari Muhammad. Saya  memohon  sokongan  mereka untuk menyokong USNO. Pada mulanya  mereka  itu OK,  tetapi  lama kelamaan  mereka  juga memohon menjadi calon.

Berapa jumlah pengundi yang berjaya dibuat mellaui "Projek IC" ini?

Seingat saya, lebih kurang  20,000 pengundi  tambahan dapat  disenaraikan dan  diagih-agihkan kekawasan-kawasan yang jadi   tumpuan USNO.  Allahyarham Tun Mustapa  amat  ceria  dengan perkembangan "Projek  IC" biru  ini. Isu  projek  IC  biru  ini akhirnya  terbongkar dan disebut  dalam sidang DUN Sabah.

Moral ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO semakin tinggi. Hotel  Dashrun semakin sibuk dengan ahli-ahli dan  penyokong-penyokong  USNO. Disitulah tempatnya pegawai-pegawai berbagai  agensi Kerajaan  Pusat berkumpul  berjumpa  dengan saya serta  dengan Datu Abdul  Salam. Semakin  ramai  yang  datang melobi   untuk  menjadi   calon  menjelang awal  tahun 1990 kerana  pilihanraya  negeri  akan diadakan  pada  tahun tersebut.

Tidak  kurang  yang  datang mengganggu  saya di BPMB. Jemputan   untuk  makan malam  tidak  putus-putus  saya  terima. Bekalan  ikan kering,  udang, sotong  kering dan macam-macam  lagi  tidak putus-putus saya  terima  dari  Sabah.

Allahyarham Ahmad  Ali  Lope (orang  Ipoh  teman  tu) datang  berjumpa saya di  pejabat  saya di BPMB  bagi  pihak  Musa Aman   untuk  menyatakan  hajatnya untuk  menjadi calon USNO. Saya dan  Datu Abdul  Salam  ditengking oleh allahyarham Tun Mustapa bila  kami  menyampaikan  hajat  Musa  Aman. Ringkas  cerita, kerana  pulus  Musa  Aman  kuat,  akhirnya  Musa  Aman diterima  oleh  allahyarham  Tun  Mustapa  sebagai  calon  USNO, kalau  tidak  di Sibuga.

Kemudian apa terjadi dengan "Projek IC" ini?

Malang menimpa  diri  saya  bila satu hari  Abdul  Rashid  Abdul  Rahman (Tan  Sri) memanggil  saya  turun  kepejabatnya. Saya pun  turun  dan  dibawa  terus  kebilik  khas  dimana  saorang  pegawai  IT nya  membuka  senarai   pemilih baru. Apabila  satu  nombor KP  itu di klik,  saya   terkejut  besar  bila lebih 20 nama  keluar  yang  menggunakan  nombor  KP  yang  sama!

Klik  satu  nombor  KP, begitu  juga  dan apabila sudah kali  jadi  seperti  ini, Abdul  Rashid  dengan  nada yang  kecewa  bertanya kepada  saya  -  “Now,  tell  me  Mat,  which one is  genuine? I can’t  do  this  type  of  stupid  job. It’s  tiring  and embarassing. If  this  is  the case, I am  going  to  cancell  all”. Saya  tekedu, malu  dan tidak  tahu  apa  yang  saya   nak  jawab.  Sia-sia  segala  pengorbanan dan  penat  lelah  saya  selama  ini!

Tindakan saudara...

Saya pun  terus berjumpa  dengan Datu  Abdul  Salam. Saya menghantar nota  bertulis  kepada  allahyarham Tun Mustapa menyatakan kekecewaan  saya. Saya  dipanggil  datang  kerumah allahyarham Tun sekali lagi di Petaling Jaya.  Beliau  memaklumkan  saya supaya  bersabar  kerana  beliau  mahu  membicangkangnya  dengan allahyarham  Megat Junid dan  untuk  menyelesaikannya.

Apa yang berlaku di sebalik satu no IC digunakan ramai orang itu?

Saya membuat risikan sendiri dan akhirnya saya dapati orang-orang   yang diberikan kepercayaan untuk mengenalpasti bakal pengundi  baru menjadikannya sebagai jalan paling mudah untuk mencetak  wang  supaya cepat  kaya. Rupa-rupanya satu nombor KP baru itu dijual  kepada lebih 20 orang dengan bayaran diantara RM200 – RM500 saorang! Kalau  kita andaikan hitung panjang RM300 dikutip daripada  setiap orang, hasil kutipan dari 20,000 orang ialah RM6.0 juta!

Saya memaklumkan perkara ini kepada Ahmad Said (Dato Seri),    pengarah BPR Sabah pada  masa itu dan juga kepada   pegawai-pegawai Bukit  Aman. Akhirnya ramai yang ditangkap  dibawah ISA.

Saya memutuskan untuk terus meninggalkan operasi "Projek IC" biru   ini dan bertekad untuk berehat ambil melanjutkan pelajaran  ke peringkat sarjana. Syukur alhamdulillah, walaupun saya memohon  lewat dan permohonan sudah pun ditutup, dengan rahmat Allah  SWT saya diterima juga untuk melanjutkan pelajaran ke Asian Institue  of Management  (AIM) Manila, Philippines.

Professor yang menemuduga saya didatangkan  khas dari Manila   untuk menemuduga dan menjalankan ujian IQ saya saorang   sahaja di sebuah hotel  dan selesai kertas ujian saya berikan  kepadanya dalam  masa yang singkat, beliau berkata “most  welcome  to AIM, you are a potential distinction candidate”. Saya teramat  bersyukur dan esok tiga hari kemudian apabila saya menerima surat  tawaran ke AIM  melalui fak, saya terus memohon kepada  ketua  eksekutif BPMB untuk cuti belajar dengan  bantuan biasiswa  dan   gaji penuh.

Malang  sekali  lagi,   saya   terpaksa  mengambil  cuti  belajar  tanpa  biasiswa  dan  tanpa  gaji.  Nasib  baik  saya   dapat  kelulusan  segera  dari  MARA  untuk  melanjukan  pelajaran  ke  AIM   dengan  bantuan  tiket  kapal  terbang.   Allahyarham  Tun Mustapa  memberikan  saya   USD1,000  yang  saya  tinggalkan  dengan  isteri  pertama  saya  manakala  Datu  Haji Abdul  Salam  memberikan  saya  RM1,000  yang  saya  tinggalkan  dengan  isteri  kedua  saya.  Anak-anak  saya  yang  masih  kecil  terpaksa  saya  tinggalkan.

Saya  tebang  ke  AIM pada  bulan Jun 1990 denga hanya RM500   dalam poket, sedihnya  hanya  Allah SWT yang tahu.  Zahid  Hamidi  menjanjikan bantuan tabung Pemuda UMNO kepada  saya, tetapi   sampai  saya  habis belajar  habuk  pun  tak  ada.

Saya  menyerahkan semua  fail-fail  rahsia  serta disk  3.5” kepada  allahyarham Tun Mustapa dan juga kepada Datu Abdul  Salam  sebelum saya  bertolak  ke Manila.

Syukur  alhamdulillah, apa pun beberapa   orang  generasi  muda  terpelajar  seperti  Yahya  Husin, Dr. Yusuf Yakob, Karim Bujang, Datu  Nasrun dan lain-lain  lagi  dipilih sebagai calon dalam pilihanraya  negeri dalam bulan Oktober 1990. Ramai  yang  kalah kepada PBS.

Jadi apa peranan Tun Mahathir dalam "Projek IC" di Sabah itu?

Semuanya itu adalah agenda terselit Mahathir untuk menjatuhkan Tun Mustafa dan Usno agar Umno mudah dibawa masuk ke Sabah tanpa banyak rintangan daripada Tun Mustafa.

Ini terbukti Mahathir menghina Tun Mustafa dan tidak melantiknya Ketua Perhubungan Umno Sabah apabila Umno diizinkan  masuk, sebaliknya Sakaran Dandai, pak sudara Shafie Apdal Mahathir pilih jadi Ketua Umno Sabah. Sedangkan Sakaran selama duduk dalam Usno hanyalah Timbalan Presiden Usno.

Bagi saya penghinaan terhadap Tun Mustafa sebagai Bapa Kemerdekaan Sabah yang sanggup bubarkan Usno dan bagi masuk Umno ke Sabah adalah penghinaan terhadap rakyat Sabah itu sendiri.

Oleh itu rakyat Sabah, wajib bangun kali ini menolak Umno-BN bulat-bulat. Sejak Umno bertapak di Sabah, keluarga Tun Mustafa dibiarkan jadi melukut di tepi gantang, lagi teruk di era Musa Aman. Yang hanya pentingkan orang Pakistannya. Tidak hairan sekarang, keluarga Tun Mustafa bangkit bersama Pakatan menolak Umno-BN "Ini kali lah".

Maknanya Umno-BN terus menghina orang Sabah?

Penghinaan UMNO-BN kepada rakyat Sabah bukannya hanya kepada  pemimpin agungnya  yang banyak berkorban untuk kemerdekaan Sabah  iaitu allahyarham Tun Mustapa Datu Harun, tetapi diteruskan juga sehingga ke hari ini kepada warga Filipina yang UMNO jadikan "kuda tunggangan" untuk memenangkan UMNO apabila anak penakan Musa Aman yang bernama Kamal Samad dan menggunakan nama palsu Manuel Amalilio menipu lebih daripada 15,000 rakyat miskin Islam di Mindanao dengan skim pelaburan cepat kaya yang dipanggil "Ponzi Scheme".

Kamal ini anak saudara Musa Aman?

Ya. Kamal Samad, anak kepada sepupu Musa Aman lari ke Sabah dengan wang orang miskin Mindanao hampir RM900.0 juta. Oleh itu warga Filipino di Sabah wajib bersimpati dengan nasib saudara mara mereka di Mindanao yang menjadi mangsa penipuan anak penakan Musa Aman dengan menyokong dan mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU-13  ini agar keadilan dapat diberikan kepada warga Mindanao yang menjadi mangsa penipuan anak penakan Musa Aman apabila Pakatan Rakyat menguasai Kerajaan Negeri Sabah dan juga Putrajaya.

Apa sebab khusus Mahathir mahu jatuhkan PBS masa itu?

Diantara agenda Mahathir yang meminta allahyarham Tun Mustapa untuk  menjatuhkan PBS dengan apa cara sekali pun ialah kerana Mahathir  tercabar dengan  ura-ura bahawa PBS mahu membawa  Sabah  keluar  dari Malaysia. Buktinya "kambing hitam" PBS yang menjadi mangsa ura-ura   ini ialah pengarah Institute of Development  Studies (IDS) Sabah iaitu   Datuk  Dr. Jeffery Kitingan, adik kepada Datuk Pairin Kitingan ditahan   dibawah ISA.

Mahathir pernah  mengeluarkan amaran  bahawa  tiada  jalan  untuk  sesiapa yang mahu membawa Sabah keluar dari Malaysia dan sesiapa  sahaja  yang mencetuskan cabaran ini akan ditahan di bawah ISA.

Kalau tidak silap lewat  tahun 1994 semasa saya  melawat allahyarham  Tun Mustapa di hospital, allahyarham menangis sambil  berkata kepada  saya bahawa  kalau direnung-renungkan balik  semuanya  apa  yang beliau  lakukan untuk "Projek IC" biru itu dulu dengan saya  ialah agenda tersembunyi  jangka  panjang Mahathir Mohamad  yang mahu membawa   UMNO masuk tanpa ditentang daripada  Tun Mustafa.

Apa sikap Tun Mustafa ?

Tun Mustafa dengan  hati  yang  berat  membubarkan USNO diatas pujukan Mahathir Mohamad dengan penuh harapan  bahawa beliau  akan dilantik secara otomatik sebagai  Ketua Perhubungan UMNO Sabah,  tetapi sebaliknya apa  yang Mahathir  buat  ialah melantik  Datuk Sakaran Dandai (Tun), pakcik kepada Shafie Apdal sebagai  Ketua  Perhubungan UMNO Sabah sedangkan  selama  ini  sebelum  UMNO bertapak di Sabah, Datuk  Sakaran Dandai  (Tun) ialah  Timbalan Presiden USNO.

Dengan air mata  yang mengalir dalam keadaan badan yang sakit, lemah   semangat dan dengan nada perlahan yang  terputus-putus, allahyarham  Tun Mustapa mengatakan kepada saya bahawa  seolah-olah UMNO  meletakkan hujung pedang di atas kepalanya apabila Mahathir tanpa   merujuk kepada  beliau terlebih dahulu melantik Datuk Sakaran Dandai  (Tun) sebagai  Ketua Perhubungan UMNO Sabah sedangkan  beliau  masih  lagi  hidup.

Allahyarham Tun  Mustafa menyifatkan penghinaan Kuala Lumpur ini  terhadap beliau ini sudah keterlaluan saolah-olah beliau dipermainkan   oleh Mahathir sebagai "budak suruhannya" dalam "Projek IC"  biru  dulu. Habis manis sepah dibuang. Rakyat  Sabah  tanpa mengira bangsa, keturunan dan fahaman politik wajib ingat  bahawa tanpa  kesediaan  allahyarham Tun Mustapa membubarkan USNO pada tahun 1991, UMNO tidak  mungkin dapat bertapak di Sabah sehingga ke saat ini.

Penghinaan UMNO  ini  terhadap allahyarham  Tun Mustapa bukannya  hanya  merupakan penghinaan terhadap allahyarham Tun  Mustafa sendiri,  malah ianya  adalah penghinaan kepada seluruh  rakyat  Sabah. UMNO  Sabah sewajibnya memberikan penghormatan  kepada  keluarga besar allahyarham Tun Mustapa dalam menyatupadukan rakyat  Sabah,  khasnya  dikalangan Bumiputera yang berbilang latar belakang  itu, tetapi malangnya kerana terlalu rakus  kuasa  dan angkuh, keluarga   allahyarham Tun Mustapa dibiarkan  seperti melukut ditepi  gantang.

Bagaimana dengan sikap pemimpin Usno yag lain...?

Shafie Apdal yang  keluarganya  memang  orang kuat USNO dulu pun  membiarkan keluarga  allahyarham Tun Mustapa,  apa lagi Musa Aman  orang Pakistan yang tidak sedarkan diri yang dia dulu melalui  allahyarham Datuk Mohd. Ali Lope menyusun  jari 10 menyembah nak  jadi calon USNO sedangkan dia  dicop sebagai orang Berjaya  sehinggakan saya dan Datu  Abdul  Salam kena marah oleh allahyarham  Tun Mustapa  kerana menyampaikan hajat  Musa  Aman  ini.

Tidak  hairanlah sekarang keluarga besar allahyarham Tun Mustapa  menghidupkan kembali USNO baru walaupun permohonannya tidak  diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Saya  tidak hairan  langsung sekarang ini bila bekas ahli-ahli dan penyokong-penyokong   USNO berbondong-bondong menyokong Datuk Lajim Ukim dan Pakatan untuk menolak UMNO dari bumi Sabah dalam PRU13 ini.

Dalam era Najib pula sekarang ini, saya melihat sendiri ratusan orang Indon di kumpulkan dekat flat PKNS di Balakong awal dini hari jam 0400 untuk diberikan sedikit taklimat sebelum mereka dibawa dengan beberapa buah bas kesatu tempat rahsia di Johor dengan bayaran RM200 / orang, katanya untuk menampung sewa bas.

Apakah "Projek IC" seperti di Sabah juga sedang berjalan di Semenanjung?

Di Johor mereka ditarbiah mengapa mereka diberikan kad pengenalan biru/kerakyatan Malaysia secara mudah kerana UMNO yang sedang nazak ini amat  memerlukan sangat undi mereka ini untuk memastikan kemengan UMNO-BN dengan cara apa sekali pun sebab orang-orang  UMNO  ini  mengakui kekuatan tentangan rakyat tempatan terhadap UMNO-BN pimpinan Najib-Muhyiddin Yasin.

Pemegang kad  pengenalan biru  baru  ini  ditakut-takutkan kalau UMNO kalah kepada Pakatan  nanti  kononnya kuasa politik orang Melayu akan hilang di bumi Malaysia dan orang Melayu akan dihina oleh orang Cina. Cerita "Tragedi 13 Mei 1969" ditimbulkan kembali untuk menakut-nakutkan pemegang kad pengenalan Malaysia dari Indon ini. Mereka juga diberikan amaran bahawa kalau mereka tidak mengundi UMNO-BN, SPR boleh kesan undi mereka dan akhirnya kerakyatan Malaysia mereka akan ditarik balik!

Yang teramat  peliknya  sokongan  dan  undi  warga  Indon  ini  ditagih,  tetapi  kebajikan  mereka  tetap dianaktirikan  oleh  UMNO-BN  pimpinan Najib-Muhyiddin  ini.  Perniagaan  mereka  di  Chow Kit, di Jalan Masjid India, di pasar  tani,  pasar  malam,  pasar  borong  dan  di lain-lain  tempat dizalimi  dan barang-barang  perniagaan  mereka  dirampas  dan  dirosakkan oleh DBKL.

Undi  pemegang  kad  pengenalan  "Projek IC" biru  ini  diperlukan  oleh  UMNO-BN,  tetapi pelajaran anak-anak  mereka  kelahiran  Malaysia  dan  bertaraf  warganegara  Malaysia  tetap dianaktirikan oleh UMNO. Mereka tidak diberikan kemudahan pinjaman buku, tiada bantuan pelajaran apabila mendapat  tempat di  IPTA / IPTS!

Warga  keturunan Indonesia  yang baru  mendapat  kerakyatan  Malaysia  hasil  "Projek IC"  biru wajib sedar bahawa mereka ini diperkudakan  dan  diperbodohkan oleh UMNO. Mereka  wajib  menolak UMNO dalam  PRU13 ini dan pastikan Pakatan  menang  besar  untuk  mengembalikan  maruah, martabat  dan  harga diri  rakyat  Malaysia keturunan Indonesia  ini.

Jadi apa persepsi saudara dengan Umno hari ini?

UMNO selepas era Tun Abdullah  sudah  hilang panduan, hilang  pertimbangan, hilang arah  tuju  yang betul dan semakin  terkeluar  dari matlamat  penubuhan dan perjuangan asal UMNO. Orang  yang  dan pencen pun semakin nyanyuk  menjadi nahkoda  kapal UMNO  yang  semakin  bocor dan semakin  terumbang  ambing.

Sudah  terlalu lama UMNO memimpin Kerajaan. UMNO semakin letih  dan  lesu. Saya tetap "sayangkan UMNO". Orang yang sayangkan  kawannya  yang  letih  mesti  membantunya  berehat  secukupnya  supaya  orang yang  cukup  rehat  boleh bangun kembali  dan segar   meneruskan  tugasnya.

Oleh itu, saya yang "sayangkan UMNO" mahu semua rakyat  Malaysia merehatkan UMNO dalam PRU13  ini supaya semua karat  barat UMNO, semua penyakit  kanser UMNO dan semua kuman UMNO dapat  dibersihkan dan sambil  berehat dalam ICU,  UMNO  boleh  melihat  bagaimana gabungan  Kerajaan  baru Pakatan  Rakyat  boleh mampu mentadbir negara  dengan jauh  lebih baik  lagi  tanpa  rasuah, tanpa  keangkuhan,  tanpa  salah guna kuasa, tanpa  membazirkan wang  rakyat, tanpa  AES  yang  mengazlimi rakyat, tanpa PTPTN tetapi biasiswa, tanpa tol, tanpa  harga  bahan api yang tinggi, tanpa  kadar  bayaran letrik yang  tinggi, tanpa bekalan air disabotag oleh UMNO seperti yang  berlaku di Selangor dan tanpa "Imelda RM".

Kalau  kita bandingkan  keluarga  Najib  dengan Anwar  Ibrahim  jauh  berbeza. Kak Wan (Azizah Wan Ismail) dan  semua anak-anaknya  menghidupkan  budaya  Melayu  dan  budaya orang  bersopan  dan  beriman  dengan memakai  tudung.  Apa pun orang  kata  pasal Anwar  Ibrahim, dia mampu  jadi  imam, mampu bagi tazkirah. Bila  taubatnya   diterima  Allah  SWT, dia saolah-olah  kain  putih.  Yang sorang  lagi  tu nak  jadi  bilal  pun  belum tentu.

Apa  pun orang  kata pasal  Azmin Ali,  dia dari  keturunan orang yang  berugama. Kesemua  6  orang  anak-anak  saya di Taman  Melawati  belajar membaca  Al-Qur’an dengan  allahyarham Pak  Ali. Kesemua  6  orang anak-anak  saya merasa rotan Pak  Ali,  tetapi syukur  alhamdilillah semuanya  menjadi orang. Allah SWT kurniakan UMNO dengan  seorang  ulama  sebagai  PM, UMNO tendang  keluar, sebaliknya  ulama-ulama yang UMNO pilih sebagai  pemimpin, sekarang ini habis semua  orang  kena belit! Cukuplah, "ini kali lah!"
------------------------------
Nota: Ini adalah teks penuh wawancara. Apa yang disiarkan oleh Harakah versi cetak Bil 1817, hanyalah sebahagian daripada wawancara ini.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa