10:00AM Mac 20 2014
SUARA LANTANG: Seluruh dunia kini menumpukan perhatian terhadap pencarian MH370. Warga dunia juga memerhatikan pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia yang dianggap pencetus berita.
Pemangku? Menteri pengangkutan sebenar telah meletak jawatan selepas pengendalian operasi mencari dan menyelamat yang kelam-kabutkah?
Jangan harap. Malaysia, tidak seperti India, Jepun atau Korea, tidak pernah menyaksikan mana-mana menteri meletak jawatan kerana bertanggungjawab di atas kegagalannya.
Jadi kita berterima kasih kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dibebani tugas berdepan dengan media tempatan dan antarabangsa di sidang akhbar yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.
Menteri pertahanan (merangkap pemangku menteri pengangkutan) yang berkebolehan menghadapi wartawan yang bersesak-sesak, tidak sabar dan mendesak itu mendapat pendidikannya di sekolah beraliran Inggeris.
Bayangkan jika Datuk Dr Wee Ka Siong, atau lebih teruk Datuk Seri Liow Tiong Lai yang terpaksa berdepan 200 orang wartawan setiap hari.
Wee atau Liow mungkin menjadi menteri pengangkutan jika MCA kembali ke pentadbiran kerajaan selepas rombakan kabinet tidak lama lagi.
Wee dikenali kerana penampilan kontroversi di perhimpunan 326 di Kajang pada tahun 2012 yang dianjurkan kumpulan pendidikan Cina Dong Zong. Beliau tampil dengan diiringi pihak polis.
Bagi Liow pula, ketika perhimpunan Bersih dianjurkan pada Julai 2011, beliau menafikan, kemudian menyalahkan Hospital Tung Shin apabila gas pemedih mata ditembak ke perkarangan hospital itu.
Liow serta Wee juga tidak fasih berbahasa Inggeris sepertimana Hishamuddin.
Namun, Datuk Seri Najib Razak yang fasih berbahasa Inggeris sekalipin tidak dapat berdepan media antarabangsa apabila tampil pada hari ketujuh pencarian.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata: “Ia merupakan sidang akhbar pertama Perdana Menteri dan selepas ucapannya, soalan tidak boleh diutarakan.”
Imej negara kini terjunam kerana pencarian MH370 serta 239 penumpangnya terumbang-ambing.
Itu belum mengambil kira tingkah laku Raja Bomoh Sedunia yang ternyata lebih menyerlah berbanding Perdana Menteri sendiri.
Akhbar Businessweek yang berpengkalan di New York berkata: “Malaysia memperlihatkan kekangan di dalam kepimpinan ketika berdepan krisis”.
“Mereka menangani isu global sepertimana ia politik tempatan,” jelas akhbar itu.
The New York Times pula mendakwa rakyat Malaysia sudah menerima hakikat pemimpin mereka tidak melayan sebarang pertanyaan.
Pemimpin negara kurang inisiatif serta sikap bertanggungjawab kerana selama ini rakyat bertolak ansur dan memandang tinggi terhadap mereka, ujar The New York Times
“Sikap tunggu arahan dari pihak atasan sentiasa diamalkan.
“Bakat tidak diasah bagi menerajui kerajaan kerana amalan politik parti pemerintah dan sistem yang menekankan etnik. Kaum India dan Cina dihalang menyertai perkhidmatan kerajaan,” tambahnya.
Dengan seramai 153 penumpang daripada China, tidak hairanlah republik itu begitu lantang mengkritik Malaysia di dalam melakukan siasatan tentang kehilangan pesawat tersebut.
Agensi berita Xinhua menuduh pegawai Malaysia “tidak melakukan tugas atau enggan berkongsi maklumat dengan menyeluruh dan secepat mungkin”.
Tuduhan ini dibuat setelah sumber daripada polis Malaysia menafikan hubungan di antara sokongan juruterbang terhadap parti politik dengan kehilangannya.
Sebelum itu, akhbar Berita Harian menyiarkan idea bahawa kehilangan pesawat itu ada hubungkait dengan isu kontroversi di tanahair kita.
Dengan berpaksi laungan menyiasat segala kemungkinan, akhbar tersebut berkata penceroboh Lahad Datu, penyokong Pakatan Rakyat serta pengikut Syiah termasuk antara saspek.
Seorang wartawan Amerika menempelak usaha mengaitkan pembangkang selepas juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah didakwa penyokong tegar PKR.
Pengarang berita luar negara Slate.com William Dobson, jika Zaharie merupakan penyokong pembangkang besar kemungkinan beliau tidak bersalah di dalam insiden kehilangan pesawat tersebut.
"Apa sahaja yang berlaku ke atas pesawat MH370, sokongan terhadap Anwar Ibrahim menunjukkan beliau berpegang kepada realiti dan bukan sebaliknya," jelas Dobson.
Sedihnya, kerajaan seakan tidak berpegang kepada realiti dan dilihat cuba melarikan diri.
Oleh Tan Jooi Long
Tan Jooi Long merupakan bekas pengarang Bernama yang pernah menerajui agensi berita Amerika Syarikat yang berpengkalan di Asia Pasifik. Beliau juga galak menulis di akaun Twitter.
Auw....Auw Auw........
ReplyDeleteTetap kaya raya walaupun ngok jadi Acting.