| BERNAMA
Seorang lelaki berumur 20-an dipercayai anggota sebuah kumpulan anarki ditahan dalam satu perhimpunan yang diadakan bagi membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Padang Merbok, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata tangkapan dilakukan di Jalan Tun Perak bagi mencegah kejadian yang tidak diingini, namun tidak mendedahkan waktu tangkapan tersebut.
"Lelaki itu ditahan kerana dipercayai merupakan seorang daripada anggota kumpulan anarki yang ditahan polis sebelum ini," katanya melalui pesanan Whatsapp kepada Bernama.
Semalam, polis menahan enam lelaki berusia 30 hingga 50 tahun kerana disyaki melakukan perbuatan khianat ke atas harta benda awam, termasuk menconteng lambang anarki menggunakan cat di beberapa kawasan sekitar ibu negara termasuk Jalan Petaling, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Melayu.
Kumpulan tersebut turut dipercayai merancang menyertai perhimpunan TPPA di Padang Merbok yang dianjurkan Positive Malaysian Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Kongres Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mengenai perhimpunan itu, Zainol berkata kehadiran peserta dianggarkan 5,000 hingga 7,000 orang dan perhimpunan telah berjalan dengan baik tanpa kejadian yang tidak diingini.
"Kekuatan pasukan keselamatan adalah pada tahap yang mencukupi," katanya.
Perhimpunan bermula kira-kira pukul 2 petang dengan peserta mula berkumpul di lokasi tumpuan seperti Masjid Negara, Masjid Jamek, Sogo dan Dataran Merdeka sebelum bergerak ke Padang Merbok.
Kehadiran peserta-peserta ini menyebabkan suasana membeli-belah di kawasan tersebut sempena cuti perayaan Thaipusam dan persiapan Tahun Baru Cina terjejas ekoran beberapa jalan terpaksa ditutup dan menimbulkan kesesakan lalu lintas.
Tinjauan mendapati terdapat unsur vandalisme seperti contengan di dinding bangunan sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman yang menyakitkan mata dan sedikit sebanyak menganggu pemandangan di kawasan tumpuan membeli-belah itu.
Ada juga peserta yang tidak menghormati Jalur Gemilang dengan menggunakannya sebagai alas tempat duduk selain ada peserta membawa kanak-kanak kecil sekaligus melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa