Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, April 2, 2017

Komen: Kenapa Polis cegah debat Tun M - Nazri?

Sunday, 2 April 2017
KENAPA SEKALI LAGI POLIS JUGA YANG BATALKAN DEBAT TUN M - NAZRI?
Situasi 1 - Debat antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri Aziz yang sepatutnya diadakan di MRSM Kuala Kangsar pada 25 Mac lalu dibatalkan kerana tidak mendapat permit polis.

Polis memberi alasan faktor keselamatan dan ketenteraman awam mengapa permit tidak diluluskan, meskipun kapasiti dewan hanya boleh memuatkan 800 orang.

Apakah 800 orang yang datang dengan hanya telefon pintar di tangan begitu sukar dikawal?

Selain itu, polis juga memberi alasan kerana ada lapan laporan polis yang dibuat oleh NGO membantah debat tersebut.

Ironinya, surat pembatalan oleh pihak polis itu dikeluarkan setelah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberi lampu hijau dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed pula mengatakan, debat itu akan dibenarkan untuk diadakan.

Selapis pandang, ia seolah-olah Zahid Hamidi dan Nur Jazlan tiada kuasa atau cengkaman terhadap polis sehingga IPD Kuala Kangsar dilihat lebih besar kuasanya atau boleh jadi mereka menerima arahan daipada pihak lain yang lebih ditakuti.

Pembatalan itu membuatkan Nazri melenting dan marah serta mengingatkan pihak polis bahawa Malaysia adalah negara demokrasi, bukan negara polis.

Lanjutan itu, dengan kerjasama Sinar Harian serta persetujuan Tun Mahathir dan Nazri, mereka setuju debat atau wacana dipindah-tempatkan ke Auditorium Sinar Harian, di Shah Alam.

Tarikh yang dipersetujui ialah 7 April, jam 9.30 malam.

Memandanngkan Sinar Harian sudah menganjurkan debat dan wacana sebanyak 44 kali sebelum ini dan kawasan itu pula merupakan milik persendirian, berdasarkan Akta Perhimpunan Aman, tiada permit polis diperlukan.

Yang disyaratkan sekadar pemakluman kepada pihak polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum sesuatu program hendak diadakan.

Perkara tersebut ditekankan sendiri oleh Nazri dengan berkata, "saya tahu tentang Akta Perhimpunan Aman sebab saya yang membentangkannya di Parlimen."

Lantaran itu, sebenarnya tiada sebab debat di Shah Alam boleh dibatalkan.

Situasi 2 - Menjelang debat yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat pada 7 April itu, semua persiapan dan pemakluman telah pun dilakukan oleh pihak penganjur iaitu Sinar Harian.

Walaupun banyak pihak tetap ada keraguan sama ada Najib Razak masih mahu membenarkan Nazri berdebat dengan Tun Mahathir, lebih-lebih lagi kerana lawan debatnya itu merupakan musuh nombor satu Perdana Menteri, selain topik perdebatan iaitu antaranya 1MDB dan wang RM2,600 juta tentunya meresahkan fikiran mereka yang tinggal di Seri Perdana, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu tetap tidak luntur semangatnya.

Berbanding Tun Mahathir yang mengatakan sudah lama bersedia untuk berdebat berkaitan tajuk-tajuk tersebut dengan sesiapa saja, Nazri pula memberi jaminan bahawa beliau tidak akan duduk diam saja dalam debat itu nanti sepertimana diamnya dia ketika menikmati cendol dan laksa di Dataran Sungai Perak sebelum itu.

Pada 31 Mac, pihak penganjur memaklumkan mereka sudah menerima surat daripada Polis Shah Alam yang memberi kebenaran debat itu dilangsungkan.

Beberapa syarat biasa turut ditetapkan, selain kehadiran penonton hanya dihadkan kepada 300 orang saja - 100 jemputan Tun Mahathir, 100 jemputan Nazri dan 100 lagi jemputan penganjur iaitu Sinar Harian.

Tidak sampai 24 jam kemudian, penganjur sekali lagi menerima surat daripada Polis Shah Alam yang menyatakan debat itu tidak dibenar untuk diadakan.

Alasannya juga kerada faktor keselamatan dan ketenteraman awam, disamping kononnya ada bantahan penduduk setempat. 

Jika dulu, pembatalannya dilihat pelik kerana seperti membelakangkan Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, kali ini rupa-rupanya kelulusan hanya diberi dalam tempoh sehari saja. 31hb Mac lulus, 1 April batal. Boleh dicatat sebagai sejarah barangkali.

Bagaimana ada bantahan penduduk juga agak menghairankan kerana pejabat Sinar Harian itu adalah kawasan penempatan kilang, lagi pula mereka sudah menganjurkan debat atau wacana sebanyak 44 kali sebelum ini.

Jika kali ini dianggap gangguan, bagaimana debat dan wacana sebelum ini boleh dibenarkan?

Kawan-kawan yang mulut agak jahat pula menyindir, di Kuala Kangsar kehadiran 800 dianggap mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam, rupa-rupanya 300 orang di Shah Alam juga dikira sudah bahaya kepada pihak polis.

Dalam kedua-dua situasi pembatalan itu, kuasa polis atas pertimbangan keselamatan dan ketenteraman awam telah dijadikan sandaran untuk menidakkan debat daripada menjadi kenyataan.

Kali pertama, pembatalan dilakukan setelah Menteri dan Timbalan Menteri sendiri memberi lampu hijau dan kebenaran, manakala kali kedua, surat pembatalan menyusul hanya sehari selepas kelulusan diberikan sedangkan debat diadakan di kawasan persendirian dan telah mematuhi syarat-syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Apa gambarannya?

Pertama, terlihat seolah-olah Zahid Hamidi tiada kuasa dan kedua, kalau pun beliau cuba menunjuk seperti ada kuasa, ada orang lain yang boleh memangkah kuasanya itu pada bila-bila masa.

Jelas bahawa Zahid secara halus sedang dipamerkan sebagai tidak cukup wibawa dan kekuatan sedangkan sebelum ini, dalam banyak hal yang melibatkan kementerian dan kuasa dalam tangannya, beliau selalu saja mengeluarkan suaranya.

Lantaran itu, berapa lama lagi Zahid rasanya boleh berada di tempatnya sekarang sebelum beliau diganti dengan pilihan yang betul-betul menyenangkan hati Perdana Menteri? (ShahbudinHusin 02/04/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 10:25

Ini pula ulasan A Kadir Jasin

SUNDAY, APRIL 02, 2017
Polis Cegah Bahas Dr Mahathir-Nazri

A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

BETULLAH macam kata Mohamed Nazri Abdul Aziz Malaysia sudah jadi negeri polis (police state).

Lebih kurang macam Korea Utara.

Apa polis kata, jadi.

Polis kata batal, batal.

Maka batallah bahas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Dalam notis muka depan Sinar Ahad hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob, mohon maaf atas pembatalan itu.
Memang payah bila polis terlalu berkuasa

Saya setuju dan simpati dengan beliau. Menang payah bila polis bertindak seolah-olah mereka ada kuasa mutlak.

Selepas polis bagi kebenaran bersyarat benarkan bahas itu diadakan di Shah Alam, tiba-tiba semalam polis hantar surat kata kebenaran asal dibatalkan.

"Pelik, dialog Tun M vs Ds Nazri, semalam kami terima surat lulus permit. Petang ni terima surat batal permit. Payah!! " kata Hassamuddin dalam mesej Tweeter beliau.

Surat polis yang dilampirkan oleh Hussamuddin mengatakan pembatalan dibuat kerana bantahan penduduk di kawasan berkenaan.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menerima bantahan daripada penduduk sekitar kawasan tersebut.

"Setelah dikaji dan ditimbang dari segi ketenteraman awam, dengan ini kelulusan permit perhimpunan aman bertarikh 31 Mac 2017 adalah dibatalkan," kata surat itu.

Alasan sajalah. Penduduk apa? Ini kawasan perindustrian!

Sebab sebenar adalah melindungi Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak, sahabat beliau Jho Low dan anak Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Polis tahu yang Najib dan konco-konco pemakan dedak beliau akan dilondehkan sekali lagi jika bahas diteruskan.

Najib serta para pemakan dedak beliau ada terlalu banyak bangkai untuk disembunyikan dan mereka tahu Nazri tidak mampu atau tidak akan pertahankan.

Daripada sudut lain, saya setuju tak perlu bahas sebab semua kemungkaran dan kebejatan Najib serta pemerintahannya sudah diketahui oleh rakyat jelata yang celik dan berakal.

Wallahuaklam.

Posted by A KADIR JASIN at 7:51 AM

5 comments:

  1. Lebih baik dan lebih boleh diterima kalau Polis guna alasan April Fool...

    ReplyDelete
  2. Klu nak buat berhampiran kandang lembu atau kambing, lembu atau kambing akan bantah. Klu nak buat berhampiran hutan, jin akan bantah. Klu nak buat berhampiran tanjung rambutan org #?!* akan bantah. Mmg sah tak boleh buat. Yippeee..... kedengaran teriakan gembira dr arah putrajaya

    ReplyDelete
  3. Klu nak buat berhampiran kandang lembu atau kambing, lembu atau kambing akan bantah. Klu nak buat berhampiran hutan, jin akan bantah. Klu nak buat berhampiran tanjung rambutan org #?!* akan bantah. Mmg sah tak boleh buat. Yippeee..... kedengaran teriakan gembira dr arah putrajaya

    ReplyDelete
  4. Hi there to every one, because I am genuinely eager of reading this website's post to be updated regularly.
    It contains fastidious stuff.

    ReplyDelete
  5. This design is spectacular! You most certainly know how to keep a reader
    amused. Between your wit and your videos, I was almost moved to start my own blog
    (well, almost...HaHa!) Excellent job. I really loved what you had to say,
    and more than that, how you presented it. Too cool!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa