Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, April 2, 2017

Siapa bakal PM bukan isu tapi .........

Siapa bakal PM bukan isu jika tadbir urus baik kukuh, kata bekas KSU Khazanah

  | April 1, 2017
Pelabur asing akan berminat untuk melabur di Malaysia jika syarikat-syarikat milik kerajaan telus dalam operasi mereka menggunakan elemen semak dan imbang.
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang siapa yang akan menjadi perdana menteri jika kerajaan yang memerintah mempunyai elemen “semak dan imbang yang kukuh”, kata seorang bekas pegawai kanan perkhidmatan awam.
Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim yang pernah menyandang jawatan ketua setiausaha Kementerian Kewangan berkata, seseorang yang menyandang kerusi perdana menteri boleh mengulangi kesalahan yang lalu apabila kurangnya “elemen semak dan imbang yang kental.”
“Malangnya, elemen ini kurang di negara kita,” kata beliau pada forum mengenai syarikat pelaburan berkontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) anjuran Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), hari ini.
Sheriff, penasihat Kumpulan Bekas Penjawat Awam (G25) berkata, di United Kingdom isu seperti 1MDB akan membawa kepada satu siasatan terbuka oleh Parlimen supaya badan perundangan boleh menentukan pihak yang bertanggungjawab manakala peguam negara boleh memfailkan tuduhan.
Justeru kata beliau, kuasa peguam negara patut dipisahkan daripada eksekutif dalam bertindak sebagai peguam kerajaan dan juga selaku pendakwa raya.
Sejak kebelakangan ini, pemimpin pembangkang dan organisasi tadbir urus baik seperti Transparency International Malaysia (TI-M) mendesak pengasingan kuasa dan tugas peguam negara demi ketelusan dan mengelakkan sebarang konflik berkepentingan.
Desakan itu berlaku selepas peguam negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan nama perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu  salah laku jenayah yang berkaitan dengan 1MDB, syarikat sekutunya SRC International dan isu derma politik RM2.6 bilion.
Sheriff juga memberitahu, pelabur asing akan berminat untuk melabur di negara ini jika syarikat-syarikat milik kerajaan telus dalam operasi mereka.
“Mereka mahu melabur bila mereka melihat adanya elemen semak dan imbang yang kukuh dan tadbir urus yang tidak bergantung kepada personaliti tetapi pada struktur yang baik,” katanya.
Beliau berkata, terdapat “peningkatan ketara dalam keyakinan pelabur asing” di Malaysia apabila kerajaan memperkenalkan pembaharuan kewangan dan syarikat-syarikat besar melaksanakan standard baharu yang ditetapkan oleh Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia pada 2004.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa