Seorang ADUN PAS Kelantan melahirkan kebimbangan ke atas keadaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkan "sudah tua" dan mengalami "sakit".

Laporan Utusan Malaysia menyebut, ADUN Gaal Dr Nik Mazian Mohamed memberi saranan "berani" itu bagi "meminta pemimpin parti berundur ketika masih kuat dan memberi laluan kepada barisan muda".

Akhbar milik Umno itu mendakwa Nik Mazian berkata demikian ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan 2013 yang dibentangkan exco hal ehwal ekonomi Datuk Husam Musa di Dewan Undangan Negeri semalam.

"Yang kita bimbang ialah Tok Guru (Nik Aziz) sudah tua, ada sakit pula. Macam kita inilah sudah tua, ada penyakit pula.

"Kita akan mati, siapa yang akan mengganti, siapa yang akan meneruskan perjuangan kepimpinan kita ini, siapa?

"Kita lihat keupayaan kita, kita lihat ada orang lebih bagus untuk mengganti, alhamdulillah, serah bati kepada orang lain ketika kita masih kuat lagi.

"Ini dah mual, lenguh tepi jalan, baru nak lepas baton," katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Akhbar pro-BN sejak dua hari lalu gigih melaporkan saranan daripada beberapa orang bekas pemimpin PAS supaya Nik Aziz berundur daripada jawatannya.

Ahad lalu, akhbar edisi hujung minggu Utusan menyiarkan kenyataan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali menuntut Nik Abdul Aziz menyerahkan jawatan mursyidul am kepada Datuk Haron Din yang kini menjadi timbalan mursyidul am.

Menurut akhbar itu, Hasan menuntut demikian untuk mengelakkan "nasi menjadi bubur" kerana ahli akar umbi PAS dakwanya menentang kerjasama dengan DAP.

Hasan turut mengapi-apikan perkara itu dengan membangkitkan pendirian pemimpin DAP ke atas pelaksanaan hukum hudud yang dakwanya "mengguris hati dan perasaan ahli serta penyokong PAS".

Semalam, akhbar Berita Harian pula menyiarkan kenyataan seorang lagi bekas pemimpin PAS Datuk Nakhaie Ahmad yang menyokong saranan Hasan – bekas rakan sejawatannya dalam parti itu.

Menurut akhbar itu, Nakhaie kenyataan Nik Aziz sejak kebelakangan ini bertentangan dengan prinsip PAS untuk memperjuangkan negara Islam.

"Lupakah Nik Aziz dan orang di sekeliling beliau bahawa Nik Aziz pernah beberapa kali menyanggah pendirian pengerusi DAP Karpal Singh dan penasihat DAP Lim Kit Siang yang berterusan menghina Islam dan menentang perjuangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud?," kata Hasan seperti dipetik Berita Harian.