Beliau berkata, kerajaan BN telah membuktikan kemampuannya membangunkan dan membawa negeri ini ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi.

"Lihat sahaja di kiri dan kanan, banyak pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajan Barisan Nasional, dan kita ada banyak lagi agenda untuk rakyat dan negeri Sabah.

"Jadi, tiada sebab kerajaan BN ditukar atau diganti. Kita tidak perlulah buang masa untuk melayan pelbagai fitnah dan tohmahan daripada pembangkang," katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Barisan 1Malaysia di Dewan Sa'adah,Wisma Muis, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, yang disertai 350 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Musa turut menyeru rakyat Sabah, terutama anggota pelbagai NGO atau persatuan, supaya memberi sokongan yang padu kepada BN pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, ini penting bagi merealisasikan segala dasar pembangunan dan program yang dirancang untuk dilaksanakan bagi faedah rakyat.

"Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu agar tiada yang akan terpinggir daripada pembangunan dan kemajuan yang dibawa Barisan Nasional," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Musa yang juga pengerusi BN negeri berkata kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya membawa banyak perubahan dalam semua aspek kehidupan rakyat di negara ini.

"Kerajaan sedia ada bertanggungjawab, menunaikan janji dan memenuhi harapan rakyat melalui pelbagai program, dasar dan inisiatif," katanya. - SH