Bekas tahanan ISA, Yazid Sufaat hari ini dituduh melakukan perbuatan keganasan di antara 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012 antara jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi di DL11, Lorong Mutiara 2, Taman Bukit Ampang, Ampang Jaya.

Beliau dituduh bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) atas tuduhan tersebut.

Turut didakwa bersamanya adalah Halimah Hussein yang dituduh bersubahat dengan beliau.

Di antara dakwaan terhadap Halimah adalah memajukan suatu tujuan ideologi dan perbuatan tersebut boleh dianggap semunasabahnya sebagai berniat mengugut orang awam di Syria.

Majistret Zulyana Zulkifli memutuskan kes itu dipindahkan ke mahkamah tinggi atas permintaan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria.

Yazid dan Halimah diwakili peguam Amir Hamzah Arshad, Fadiah Nadwa Fikri dan Afiq M Noor.

Sementara pendakwaan dijalankan Datuk Mohd Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusof, dan Dusuki Mokhtar.

Timbalan pendakwa raya juga memohon kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana mereka ditahan polis menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang tidak membenarkan ikat jamin.

Yazid dan Halimah ditahan semalam bersama seorang lagi iaitu Muhammad Hilmi Hasim.

Ketiga-tiga mereka merupakan individu pertama yang dikenakan tindakan mengikut akta baru tersebut.

Peruntukan itu memberi kuasa kepada polis untuk menahan mana-mana individu selama 48 jam tanpa bantuan guaman.

Menurut Fadiah, nasib Hilmi masih belum diketahui namun beliau percaya Hilmi kini masih ditahan di Bukit Aman.