Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, February 11, 2013

Pembahagian Kerusi Sabah: Gagal Kerana Tuntutan SAPP Tidak munasabah?

February 11, 2013

KUALA LUMPUR, 11 Feb — Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengingatkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) di Sabah agar tidak terlalu mengharapkan pembahagian kerusi yang adil antara mereka kerana dikhuatiri mereka bakal menerima nasib sama seperti parti tersebut.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Johnny Mositu yang dihubungi The Malaysian Insider menegaskan, daripada perbincangan formula kerusi antara PR dan rakan komponennya jelas menunjukkan pembahagian yang berat sebelah dan Parti Maju Sabah (SAPP) hanya memperolehi beberapa kerusi.

“PR dah bincang begitu lama tentang pembahagian kerusi ini tapi masih belum selesai, walaupun terbaru SAPP hanya diberikan beberapa kerusi.

“Saya rasa pucuk pimpinan SAPP boleh menilai, ia berlaku sama seperti PBS dulu, SAPP mungkin akan merasai nasib yang sama seperti PBS suatu masa dulu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Jelas Johnny, sebelum ini PBS telah beberapa kali berbincang dengan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengenai pembahagian kerusi semasa pilihan raya sebelum ini, namun isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu jelasnya tidak mengendahkan tuntutan mereka.

“Memang PBS pada masa itu telah memberi formula terbaik, namun PBS tidak dipedulikan sedangkan PBS adalah nadi rakyat Sabah.

“PR hanya menumpukan kepada kekuatan PBS tetapi mereka menidakkan PBS ketika itu,” tegas Johnny.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan rundingan kerusi PR dan SAPP telah dihentikan buat sementara waktu, menurut sekutu PR Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing (gambar), satu lagi petunjuk kegagalan pembangkang untuk bersatu dalam menghadapi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Pemimpin dari kedua-dua parti itu  mendakwa “pintu sentiasa terbuka” tetapi drama di belakang tabir menunjukkan sebaliknya.

Menurut Ketua Penerangan SAPP Chong Pitt Fah, ketua partinya Datuk Yong Teck Lee sebelum ini berkata Sabah rundingan kerusi dengan PR masih berjalan dan belum mencapai kata putus.

Akan tetapi apabila ditanya kepada bekas penyokong kuat BN mengenai perkembangan rundingan, Bumburing menyatakan sebaliknya.

“Apa yang SAPP bimbangkan, Pakatan (mempunyai) kesukaran untuk menampung bilangan kerusi yang mereka tuntut dan seolah-olah rundingan kerusi dengan mereka terhenti buat masa kini,” Bumburing memberitahu The Malaysian Insider dalam temu bual melalui emel  baru-baru ini.

The Malaysian Insider juga difahamkan PR tidak bersedia untuk menyerahkan 40 daripada 60 kerusi kepada SAPP walaupun parti tersebut lebih dekat dengan penduduk tempatan di negeri Malaysia timur itu, dengan alasan SAPP adalah sebuah parti yang didominasi masyarakat Cina.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengakui perkara tersebut kepada The Malaysian Insider di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya sebelum ini.

“SAPP adalah parti berasaskan Cina… jadi siapa yang akan mewakili KDM (Kadazandusun dan Murut)? Sudah tentu mereka mendakwa sebagai parti berbilang kaum.. tetapi, asas mereka adalah Cina,” katanya.

Bumburing sebelum ini adalah timbalan presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang berasakan Sabah, kini memimpin pergerakan Angkatan Perubahan Sabah (APS).

Bersama-sama dengan ketua Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) Datuk Seri Lajim Ukin yang juga bekas ahli parlimen Barisan Nasional Sabah, kedua-dua pergerakan pro PR itu membantu menyusun barisan pembangkang untuk menumbangkan BN.

Azmin mengatakan tuntutan awal SAPP untuk bertanding 40 daripada 60 kerusi dewan undangan negeri adalah tidak munasabah, kerana ia hanya meninggalkan 20 kerusi bagi parti pembangkang lain berkongsi sesama sendiri.

“Pada mulanya, mereka mahukan 40 kerusi, dan ini tidak boleh diterima oleh PKR kerana kita ada PAS, DAP, APS dan PPPS… kita semua mesti bekerjasama.

“Kemudian mereka kata bersedia untuk mengurangkan bilangan kerusi tetapi angka terakhir, paling banyak mereka boleh mengalah hanya kira-kira lima kerusi ... sekali lagi, masih sangat besar,” katanya.

Ahli parlimen Gombak itu walau bagaimanapun, tidak mendedahkan angka kerusi PR, APS dan PPPS mahu berkongsi dengan SAPP, dengan mengatakan angka tersebut perlu diselesaikan di belakang tabir.

Johnny bagaimanapun yakin isu pembahagian kerusi antara pembangkang di Sabah itu akan membuatkan penerimaan masyarakat terhadap BN semakin meningkat.

“Saya yakin penerimaan rakyat terhadap PR tidak semacam kepada BN ... bersama BN kita boleh duduk sama dan bincang masalah.

“Dengan masalah yang berlaku sekarang ini, ia bukan contoh yang baik untuk mentadbir negara, apa yang PR lakukan hanyalah semata-mata untuk politik PRU,” tegasnya.

Jelasnya lagi, PR tidak akan diterima rakyat Sabah keraja parti itu dakwanya tidak sehaluan dengan politik di Sabah.

“Pimpinan PR tidak seharusnya disokong rakyat, baik di Sabah, Sarawak, mahupun Semenanjung, kerana parti politik di Sabah tidak sehaluan dengan kepimpinan PR.
“Apatah lagi dgn PAS yg cakap tak serupa bikin,” tegasnya

Pemerhati bagaimanapun percaya SAPP adalah komponen penting bagi perjuangan PR di Sabah dan tanpa mereka bersama, perlawanan pembangkang boleh menjadi tiga atau empat penjuru, yang akan memecahkan lagi undi pembangkang dan mencerahkan lagi peluang BN.

Satu lagi halangan PR di negeri tersebut adalah parti baru STAR (Parti Pembaharuan Negeri) – pergerakan yang diketuai oleh ahli politik licik Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang turut mempunyai pengaruh di jiran mereka Sarawak.

SAPP atau PR kedua-duanya belum berjaya setakat ini dalam rundingan dengan STAR, dan Jeffrey, yang merupakan adik ahli politik veteran dan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dari BN - juga meletak orang-orangnya di majoriti atau semua 60 kerusi Dun di seluruh Sabah dalam pilihan raya akan datang.

Sebaik sahaja Bumburing dan Lajim keluar dari BN Julai lalu, Jeffrey memberitahu The Malaysian Insider beliau tidak gentar dengan dua orang kuat itu yang menyertai perlawanan pembangkang untuk Sabah.

Akan tetapi, beliau berkata, untuk kepentingan Sabah, semua parti pembangkang mesti bekerjasama untuk menjatuhkan BN dan tidak menunjukkan siapa lebih berkuasa berbanding yang lain.

Pemerhati juga percaya ini boleh meletakkan PR di belakang, terutamanya oleh kerana pakatan tersebut melihat pilihan raya akan datang sebagai peluang terbaik lagi untuk merampas kuasa negeri dan persekutuan dari BN.

Tetapi beliau menambah bahawa kedua-dua pihak (SAPP-STAR) mungkin akan melalui satu lagi pertembungan apabila cuba untuk membahagikan kerusi di kalangan mereka, kerana kedua-dua belah pihak percaya mereka perlu mengambil bahagian yang besar.

Sementara itu, The Malaysian Insider juga difahamkan rundingan kerusi antara tiga teras PR PKR, PAS dan DAP, serta APS dan PPPS, sudah hampir selesai.

Telah dipersetujui APS milik Bumburing dan PPPS milik Lajim akan membariskan calon-calon di bawah panji-panji PKR, dan membantu parti untuk memenangi undi dari komuniti penting negeri tersebut Kadazandusun dan Murut serta komuniti Melayu.

Dalam Pilihan Raya 2008, BN kehilangan majoriti tradisi dua pertiga sebahagian besarnya kerana semenanjung, dimana mereka hanya menang 85 kerusi dan pembangkang merampas 80 kerusi.

Penyelamat BN adalah Sabah, Sarawak dan Labuan dimana parti pemerintah itu mengalahkan pembangkang dimana mereka memenangi 55 kerusi parlimen manakala pembangkang hanya menang dua kerusi.

1 comment:

  1. Lebih baik jgn dilayan Yong Teck Lee ni..Sabahan ni bukan leh caye. Nanti dah menang jual kerusi pada BN. Sejarah Perak akan berulang diSabah nanti bila PR menang.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa