Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, September 2, 2015

Isu letak jawatan: Barangkali inilah yang Nik Amar keliru

Tuesday, September 1, 2015
Persoalan Meletak Jawatan Sebagai Ahli Parlimen dan Pelanggaran Bai’ah
Sejak pengumuman penyertaan saya dan sahabat lain dari PAS dalam parti Pekerja-Pekerja Malaysia melalui mana perjuangan yang dibawa gerakan Harapan Baru dapat diteruskan, maka terdapat kedengaran tuntutan untuk kami meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN. Mengikut mereka ini adalah yang sewajarnya kerana kami telah dipilih atas lambang PAS dalam PRU yang lepas.

Saya telah memberi penjelasan mengenai persoalan ini dalam satu sidang akhbar pada 25 Ogos yang lepas. Oleh kerana persoalan ini masih ditimbulkan, maka saya ingin menjelaskan pendirian saya kembali untuk pengetahuan semua pihak.

Seseorang wajar diminta meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri hanya atas dua sebab. Pertama kerana melanggar asas di atas mana dia dipilih dan kedua kerana tidak berperanan di Parlimen dan kawasannya.

ASAS DI ATAS MANA KAMI DIPILIH

Kami menang dalam PRU lepas atas dua asas. Pertama Islam dan kedua PR. Asas pertama adalah asas yang mana PAS mendapat sokongannya. Asas kedua adalah terkandung dalam kempen kami semasa PRU di mana kami membawa ‘Buku Jingga’ dan Manifesto PR untuk Negeri Selangor dan rakyat awam, Islam dan bukan Islam, memilih kami atas sebabnya.

Walaupun kami berpindah wadah, namun kami kekal atas kedua-dua asas tersebut. Dengan itu kami tidak mengkhianati sebab atas mana kami diundi. Adalah perlu dibezakan bahawa kami bersama PAS dahulu untuk perjuangkan Islam, bukan perjuangkan PAS. Bagi kami PAS hanya merupakan wadah untuk perjuangkan Islam. Pada ketika itu, hanya PAS sahaja membawa perjuangan berasaskan Islam. Selagi kami terus bersama perjuangan Islam, walapun melalui wadah lain, maka dasar perjuangan kami tetap sama dan kami tidak mengkhianati undi yang diperolehi atas sebab dasar Islam ini.

Dalam persoalan asas kedua kami dipilih, ianya adalah kekal bersama PR dalam erti-kata tahaluf siyaasi bersama PKR dan DAP. Kami kekal dengan dasar itu. Malahan itu adalah salah satu factor penting mengapa kami terpaksa berhijrah ke wadah baru apabila ingin terus setia dengan asas kedua ini. Ini adalah kerana PAS telah berpindah dari dasar itu setelah mengkhianati PKR beberapa kali dan bertelagah dengan DAP sehingga musnahnya PR.

Yang tidak setia dengan dua asas pemilihan inilah yang sepatutnya dianggap mengkhianati undi rakyat walapun mungkin tidak berpindah parti. Ini adalah kerana kemenangan tercapai atas dua dasar utama yang disebutkan tadi dan bukan atas salah satu darinya.

Kedudukan kami tidak boleh disamakan dengan yang lompat dan khianat perjuangan partinya atau pengundinya seperti Dato Ibrahim Ali. Dia telah melompat dan menjadi wakil rakyat bebas dan seterusnya menyokong BN. Sedangkan BN ditentang rakyat yang mengundinya! Rakyat mengundinya kerana menentang BN dan menyokong PR, tetapi akhirnya dia bertindak menyokong BN dan menolak PR! Kami tidak bertindak sedemikian rupa.

TIDAK BERPERANAN SEBAGAI AHLI PARLIMEN DI PARLIMEN DAN KAWASANNYA

Sebab kedua yang wajar untuk mana-mana wakil rakyat diminta meletakkan jawatan adalah sekiranya dia tidak berperanan.

Sefaham kami, kami telah memenuhi tanggung-jawab kami sebagai Ahli Parlimen dengan sebaik mungkin melalui kehadiran yang hampir penuh dan keterlibatan aktif dalam perbahasan. Yang kurang hadir dan kurang terlibat dalam perbahasan ini sepatutnya dikaji kembali kedudukan sebagai Ahli Parlimen. Yang sebegitu sifatnya maka memang sepatutnya diminta untuk meletakkan jawatan.

Keanggotaan kami di dalam parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang bakal ditukar namanya kepada Amanah Negara tidak menghalang kami dari terus memainkan peranan kami sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri dengan sebaik mungkin. Oleh itu tiada sebab untuk kami meletak jawatan atas sebabnya.

PERSOALAN BAIAH SEMASA DIPILIH SEBAGAI CALON PAS

Akhirnya ada juga yang menimbulkan persoalan Baiah apabila kami dipilih menjadi calon PAS. Baiah itu telah menyebut secara jelas bahawa sekiranya kami keluar PAS atau menyertai parti lain selepas menang, maka kami akan dilaknat Allah dan pendapatan kami sebagai Ahli Parlimen dianggap haram.

Apa yang perlu difahami ialah baiah ini adalah antara dua pihak yang kedua-dua pihak mempunyai tanggung jawab terhadap satu sama lain. Yang memberi baiah mempunyai tanggung jawab terhadap penerima baiah dan penerima baiah juga mempunyai tanggung-jawab terhadap yang memberi baiah. Dalam soal ini kami berpandangan bahawa pihak penerima baiah telah gagal memenuhi tanggung jawab mereka terhadap kami apabila:

a) Membenarkan kempen kotor memfitnah dan melabel kami sepanjang 2013 sehingga 2015 tanpa sebarang usaha untuk menghalangnya atau membendungnya sedangkan ia adalah menjadi tanggungjawab pimpinanan parti untuk memelihara ukhwah di kalangan ahli. Malahan dari maklumat yang ada, jelas membenarkannya serta menggalakkannya demi menentukan kami dijatuhkan semasa muktamar 2015 dan telah menjadi Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS.

b) Kedua dan lebih releven terhadap kedudukan kami sebagai wakil rakyat, pihak penerima baiah telah melanggar persetujuan parti, termasuk diri kami, untuk mengukuhkan PR, atas mana kami telah diturunkan sebagai calon dan dipilih oleh rakyat. Apabila ini tidak dipenuhi maka pemilihan kami sebagai wakil rakyat oleh pengundi telah dikhianati sepertimana juga kefahaman kami bahawa kami turun sebagai calon PAS yang mewakili PR.

Pelanggaran baiah oleh penerima baiah dengan sendirinya adalah alasan kukuh untuk kami keluar dari baiah tersebut.

Kedua, sesuatu Baiah seharusnya berpaksikan ketaatan kepada Allah dan RasulNya, bukan ketaatan kepada mana-mana badan/organisasi atau individu. Ini bererti selagimana ketaatan kepada Allah dan RasulNya tidak dilanggari, malahan itu yang diusahakan, maka persoalan perlanggaran Baiah tidak timbul. Adalah amat malang sekiranya seseorang yang ingin mencari keredhaan Allah dengan melakukan apa yang diyakininya sebagai yang lebih baik, maka dia dihalang oleh kerana sesuatu baiah terhadap satu badan atau individu. Sedangkan pada akhirat kelak tiada yang akan menjawab bagi dirinya apabila ditanya oleh Allah mengapa tidak dilakukan apa yang diyakini adalah lebih baik. Dalam soal ini, sila rujuk kepada hadis Sahih Muslim yang disertakan di bawah.

Ketiga, kami yakin bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Allah mengetahui niat kami dan sebab mengapa kami terpaksa bertindak sebegini. Dia mengetahui latar belakang dan peristiwa-peristiwa di sebalik semua yang berlaku. Maka atas keyakinan terhadap sifat Allah sebagai Maha Mengetahui dan Maha Adil, kami bertindak untuk keluar PAS dan bersama parti yang bakal dinamakan Amanah Negara.

MEMBAYAR KAFFARAH: DALIL DAN KEPERLUANNYA

Namun demikian, oleh kerana melanggar Baiah ini sesuatu persoalan besar dan berat, maka ianya tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya. Melanggar janji tetap merupakan satu kesalahan, samada janji itu dibuat dengan orang Islam atau orang bukan Islam, samada beralasan kukuh atau pun tanpa alasan kukuh. Oleh itu kaffarah perlu dibayar dan hendaklah juga kami beristighfar atas pelanggaran baiah ini. Sememangnya tiada janji yang dibuat yang ingin dilanggari.

Dalam soal kaffarah yang perlu dibayar, maka ini telah diperjelaskan dalam Al-Quran, ayat 89 Surah Al-Ma’idah yang berbunyi:


Maksudnya;

“Kamu tidak dikira salah oleh Allah terhadap sumpah-sumpah yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian kepada mereka, atau memerdekakan hamba. Kemudian sesiapa yang tidak mampu (menunaikan denda tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah, pelihara sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur”.

Ada juga hadis dari Abu Hurairah (RA) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya yang berbunyi;


Maksudnya;

“Barang siapa yang mengangkat sumpah dalam sesuatu perkara lalu ia melihat ada yang lain yang lebih baik dari sumpahnya itu maka ambillah yang lebih baik itu dan hendaklah ia membayar kaffarah terhadap sumpah tersebut”.

Kami berpandangan bahawa adalah lebih baik untuk kami berkhidmat untuk Islam dan rakyat melalui Amanah Negara. Ini adalah kerana kami akan dapat terus setia terhadap kedua-dua janji kami kepada rakyat yang atas mana rakyat mengundi kami, iaitu Islam dan tahaluf siyaasi bersama PKR dan DAP.

KESIMPULAN

Berdasarkan penjelasan di atas, adalah diharap pendirian kami terhadap persoalan perletakkan jawatan sebagai wakil rakyat menjadi lebih jelas. Kami faham bahawa ada yang masih tidak bersetuju dengan pendirian kami walaupun setelah kami menjelaskannya. Itu tiada apa yang boleh kami lakukan.

Bagi yang melihat Islam itu PAS dan PAS itu adalah Islam, khususnya, mereka tidak akan berpuas-hati. Bagi golongan ini, mungkin penyelesaian akan hanya tercapai melalui PRU ke-14 apabila kami akan kembali bertanding sebagai calon Amanah Negara insyaAllah. Mungkin pada ketika itu akan terbukti samada kami layak terus bertindak sebagai wakil rakyat atau sebaliknya.

Sambil itu kami akan terus berusaha untuk menunaikan tanggung-jawab kami dengan memperjuangkan Islam dan mempertahankan kesepakatan dengan PKR dan DAP demi menjatuhkan BN. Hanya dengan dijatuhkan BN akan Islam serta rakyat dimerdekakan dari kekeliruan dan adu-domba yang sedang berluasa sekarang ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

10 comments:

  1. Abe

    Seperti ambo pernah tulis bahawa semua calon PAS, DAP dan PKR bertanding didalam PRU 13 adalah diatas platform dan menifesto PR. PAS, PKR dan DAP tidak bertanding dalam PRU 13 secara solo dan bersendirian.

    2. Sejak selepas PRU 2008, ketiga-tiga parti bergerak diatas platform PR dimana setiap program yang anjurkan disertai ol3h semua rakan2 dalam PR. Jika PAS anjur ceramah, ceramah tersebut membarisi penceramah dari PKR dan DAP. Begitulah sebaliknya.

    3. P3nggunaan logo parti masing2 dlm PRU 13 l3bih kepada mengatasi kengkangan perundangan kerana walaupun bertanding menggunakan logo masing-masing tetapi platform dan menifesto yang dibawa adalah PR.

    4. Kesemua parti dalam PR mengadakan baiah dan akujanji dengan calon2 mereka yang terpilih mewakili PR dalam PRU 13.

    Tujuan utamanya pada ambo ada dua. Pertama, sebab parti2 dalam PR xbertanding secara solo dan bersendirian, maka kepentingan setiap parti bergantung dan berkait rapat dengan kepentingan PR. Kalau ramai wakil rakyat sesatu parti itu melompat keluar partinya, maka kekuatan parti itu akan berkurangan dalam membuat keputusan bersama.

    Keduanya, untuk mengelak berlaku kes kejatuhan kerajaan PR Perak selepas PRU 2008. Satu lagi untuk mengelak keadaan di Kelantan dimana kerajaan PR TGNA memerintah Kelantan dgn kel3bihan 1 kerusi sahaja. Jika berlaku lompatan maka kerajaan itu akan mengalami nasib yg sama dgn kerajaan PR Perak.

    Jadi baiah dan akujanji itu adalah mekanisma dalaman masing2 untuk menjaga kepentingan parti masing2 dan PR. Baiah dan akujanji itu adalah baiah dan akujanji kpd parti dan PR.

    4. Bila PAS t3lah menghancurkan PR, baiah dan akujanji yang mengikat wakil rakyat PR dari PAS, DAP dan PKR. Apa lagi baiah wakil rakyat PAS terbatal dan terungkai kerana PAS yang menghancurkan PR.

    ReplyDelete
  2. Abe

    Cuba sesiapa pi tanya Nik Amar tentang perletak jawatan dan baiah sebagaimana yang saya nyatakan diatas dan kita lihat apa reaksinya.

    Ambo nak tahu apakata Nik Amar bahawa PAS, DAP dan PKR tidak bertanding dalam PRU 13 secara solo dan bersendirian. Semua calon PAS, DAP dan PKR dalam PRU 13 adalah mewakili PR. Bertanding diatas platform dan menifesto PR.

    Kita tengok macamana Nik Amar nak pusing.

    ReplyDelete
  3. Umno dah berjaya pecah belahkan Pas kerana hudud

    Terima kasih nik amat

    Umno tak perlu lagi teruskan hudud kerana pas sekarang lemah sangat

    ReplyDelete
  4. Nik Amar ni masih lagi nak membohong cakap PR tu masih wujud sebab apabila PR sudar berkubur maka terbatalah segala baiah dan perjanjian yang telah dibuat atas nama PR terutama yang bersangkutan dengan pilihanraya serta calo2n parti. Cuba kita renungkan bahawa PR tertubuh atau tertegak atas muafakat 3 parti iaitu PKR, PAS dan DAP. Ini bermakna berdirinya PR diatas 3 kaki atau teras. Dan secara logik apabila salah satu kaki atau teras sudah patah atau bengkok bermakna PR sudah tidak boleh berdiri lagi apatahlagi apabila dua teras atau kakinya sudah bergaduh sesama mereka. Maka kebenarannya adalah PR sudah jatuh tersungkur ke tanah.

    PR , wahai Nik amar sudah tak wujud apabila PAS mengishtiharkan putus hubungan dengan DAP dan jangan pulak cuba membelitkan fakta bahawa ia tindakan yang sama seperti DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS. Kedua-dua putus hubungan itu berbeza cara dan kesannya. Maka apabila PR sudah berkubur, mana2 ahli2 parlimen dan adun PAS yang masih ingin meneruskan muafakat antara PKR dan DAP tidaklah melanggar baiah malah merekalah yang memperkuatkan dan memegang teguh baiah kepada Islam dan kepada PR. So, Nik Amar, kalau dah memang PAS yang gopoh dan tak guna otak masa mengambil tindakan janganlah cuba nak menutup kebodohan serta kegopohan pimpinan baru PAS dengan berbohong.

    Pusing kat mana pun, PAS dah hilang 10 kerusi dan nak hukum orang tanpa dalil serta hujah yang benar dan lurus hanya akan memcemarkan lagi nama ulamak2 PAS yang sememangnya sudah kotor dimata rakyat. Mengaku ajelah bahawa set2 kamu semua memang buat hal tanpa pakai otak. Bila dah terantuk baru terngadah tapi masalahnya kamu semua tak mahu mengaku kesilapan, balik2 salahkan orang lain atas benda2 bodoh yang kamu buat. Rakyat tak perlukan ahli2 politik yang tak menggunakan otak semamsa bertindak apatahlagi ahli politik yang dok sebuk buat bising tapi satu kerja pun tak buat!

    Nick.
    Cape Tiger.

    ReplyDelete
  5. Ingat Khalid jangan ambil ayat Al-Quran yang menguntungkan diri sendiri je banyak lagi ayat-ayat Al-Quran menyuruh pemimpin melakukan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin terhadap Allah swt.

    Apakah perkara baik yang kamu nampak? Adakah bertuankan cina kafir menentang hukum Islam itu satu perkara baik? Jangan menafsir ayat-ayat Al-Quran mengikut logik akal kamu saja, asal untung diri sendiri je kamu guna ayat-ayat Allah swt sedangkan dalam masa yang sama kamu menolak ayat-ayat Allah swt dan gagal melaksanakan amanah terhadap Allah swt.

    Khalid dan GHB perlukan muhasabah diri, fikir sejenak, adakah kamu layak untuk bergelar pemimpin Islam? Apakah kriteria yang digariskan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai pemimpin Islam sudah kamu laksanakan?

    Jangan guna ayat Allah swt untuk kepentingan diri, adalah lebih baik kamu jangan bercerita mengenai ayat-ayat Allah swt, kamu langgar je bai' ah tu kalau kamu rasa kamu betul. Kalau nak guna jugak ayat-ayat Allah swt gunakan semuanya jangan ambil yang untung saja.

    Lebih baik jadi macam PKR atau UMNO, jangan didepankan, ketepikan saja atau jangan guna terus nama Islam lagi bagus kerana ini akan menguntungkan parti baru kamu nanti yang akan membuatkan TUAN BESAR kamu akan merasa lebih selesa.

    ReplyDelete
  6. mohon haji hadi mendepani masaalah ini dengan bersemuka atau berforum dengan pemimpin parti amanah yang terlibat. Tuan presiden tak perlulah membarua kan ahli bawahan seperti anon 8:30, dengan hujah hanya lebai sahaja yang layak memberi tafsiran hadis dan al quran. Sedangkan kefahamannya sendiri mengelirukan dirinya dan orang ramai. Jangan buat kelakar dengan menganggap dap sebagai tuan. harap anon 8:30 tidak menganggap dap sebagai hantu. munkin anon 8:30 boleh bertemu dengan mursyidul am pas untuk meminta air penawar pada harga diskaun.

    saya sangat berharap pemimpin pas mampu memperjuangkan akidah umat islam dinegara ini tanpa kereta mewah atau plat kereta yang cantik atau projek balak. dan

    2.bagaimana agenda hudud dapat dilaksanakan bilamana pas menjadi kera sumbang dengan menanggap semua pihak sebagai musuh.

    3.bagaimana pas hendak melawan umno sedangkan tuan presiden selalu ponteng dan wakil pas menjadi bisu atau gagap ketika sidang parlimen.


    anon 8:30 tak perlu marah-marah kerana tuan presiden sedang bergumbira. senyum.

    ReplyDelete
  7. Lebih baik tafsir Al Quran mengunakan logik akal dari mentafsir Al Quran mengikut nafsu. Logik akal masih terikat dengan hukum tetapi mengikut nafsu hukum tak boleh jadi boleh. Fitnah. Mengeji. Memonteng. Berdendam. Iri hati. Semua jadi boleh.

    Ayat yang sama jugak lah yang di gunakan oleh Mufti Pulau Pinang untuk memperjelaskan tentang kedudukan bai'ah.

    ReplyDelete
  8. Ambe tidak marah, bahkan ambe gelak tengok golongan beriman ni, hanya ayat yang menguntungkan diri saja diguna pakai walhal banyak lagi ayat2 Allah swt yang diturunkan khas untuk umat Islam yang bergelar pemimpin. Kalau tak mampu menunaikan amanah Allah swt lenih baik jadi rakyat biasa je....itu lebih untung bagi mereka.

    ReplyDelete

  9. 'Ayat khas' untuk yang bergelar pemimpin ?

    Astagfirullah.


    ReplyDelete
  10. ...ayat khas. Cer citer... ayat yg mana. Surah yg mana. Siapapun pemimpin..asas utamanya adalah akhlaq. Rasulallah contoh terbaik akhlaqnya dan mustahil untuk umatnya ikut 100% akhlaq Rasulallah biarpun digelar ulama' kalau mulut sering membaruakan orang... mentololkan orang apatah lagi yg dikeji itu Saudara SeIslam... bole lagi dituduh munafik haraki. Setau saya munafik itu munafik..tadak haraki ka apa ka. Pemimpin berjiwa besar tak takut untuk minta maaf atas kesilapan... cuma yg takabbur dan sombong ja ingat diri selalu betul... terlalu hebat. Ingat..ma'sum hanya untuk Rasulallah shj. Ada insan yg hina diawal kehidupan tp matinya penuh kemuliaan.. dan ramai yg hebat ulama bagai diawalnya..tapi mati penuh kehinaan. Na'uzubillahiminzalik.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa