Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, September 21, 2015

Dedahkan penipuan mereka

Jangan layan umpan perkauman, dedah penipuan mereka, kata Azmi Sharom 
Published: 20 September 2015 6:42 PM
Prof Madya Universiti Malaya Dr Azmi Sharom ketika di Malaysia Freedom Summit di Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 20 September, 2015.

Rakyat Malaysia perlu membalas mesej yang dibawa penganjur perhimpunan baju merah dengan mendedahkan penipuan mereka kepada orang ramai, bukan dengan termakan "umpan perkauman" mereka, kata ahli akademik Prof Madya Dr Azmi Sharom.
Pensyarah undang-undang yang terkenal dengan kelantangannya itu berkata, beliau secara peribadi mahu memanggil penganjur perhimpunan itu "lembu" apabila mendengar Datuk Jamal Md Yunos mengatakan ungkapan "Cina babi" bukan satu penghinaan kerana masyarakat Cina memakan daging babi. 
"Melayu lembu! Itu perkara pertama terlintas di fikiran saya. Hang (awak dalam dialek utara) lembu, hang kambing, hang ayam.
"Tetapi, jangan menyambutnya begitu. Pokoknya, apa saja yang kita buat, cara masyarakat awam perlu maju ke hadapan ialah, kita mesti berjuang untuk apa yang benar. Lupakan isu perkauman," katanya.
Azmi berkata demikian pada Sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia 2015 di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata rakyat Malaysia perlu mendidik diri mereka sendiri supaya dapat mengesan sebarang dakwaan palsu disebarkan sekeliling mereka.
"Kalau kita dengar penipuan, kita mesti mampu menunjukkan ia satu penipuan. Sebagai contoh, (mereka kata) tanah rizab Melayu dirampas. Okay. Jika ia dirampas, siapa yang ambil?
"Setiap satu negeri yang ada tanah rizab Melayu ditadbir seorang menteri besar Melayu dan sebuah Kabinet Melayu.
"Satu-satunya negeri yang tidak ada menteri besar Melayu ialah Pulau Pinang dan di Pulau Pinang tidak ada tanah rizab Melayu," kata Azmi.
Beliau mengingatkan forum itu, walaupun publisiti hebat diberikan kepada perhimpunan baju merah Rabu lalu, hanya 24% daripada 516 orang Melayu yang ditinjau Merdeka Center berkata mereka menyokongnya.
Azmi berkata, perhimpunan itu tidak mencerminkan mentaliti semua orang Melayu, dan berpendapat, majoriti masyarakat Melayu lebih mengambil berat tentang isu asas kehidupan seharian mereka.
Beliau berkata, Putrajaya kini bergantung kepada rasa takut untuk terus memerintah, tetapi taktik itu tidak akan bertahan, seperti dibuktikan dengan keingkaran yang ditunjukkan orang ramai terhadap arahan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan baju-T kuning Bersih 4.
"Semasa perhimpunan Bersih 4, saya benar-benar sangka orang ramai tidak akan memakai kuning atau baju-T Bersih. Tetapi semua orang buat.
"Hendak buat orang takut pun ada batasannya, sebab anda tidak boleh hendak tangkap semua orang," katanya.
Perhimpunan baju merah Rabu lalu, atau Himpunan Rakyat Bersatu, anjuran gabungan beberapa kumpulan Melayu, diadakan sebagai tanda protes terhadap Bersih 4 bulan lalu, yang didakwa menghina bangsa Melayu.
Perhimpunan itu menyaksikan ucapan berbaur perkauman dibuat, serta detik-detik tegang apabila pesertanya naik marah dengan soalan yang dikemukakan beberapa wartawan.
Polis rusuhan juga terpaksa menggunakan meriam air bagi menghentikan sekumpulan penunjuk perasaan yang bertindak ganas cuba memasuki kawasan Jalan Petaling, destinasi pelancongan popular di Kuala Lumpur, juga dikenali sebagai "Chinatown". – 20 September, 2015.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa