08:30PM Sept 25 2015
oleh Hazlan Zakaria
KOMEN: Nampaknya seperti ada kaitan antara PKR dan pembunuhan karakter, daripada Ketua Umumnya yang kini dipenjara sehinggalah kepada bekas MB, pemimpin kanan parti, dan juga parti pembangkang lain yang sepatutnya menjadi sekutu mereka.
Pada kebanyakan masa kita mahu menganggap yang PKR-lah mangsa kepada pembunuhan karakter dengan pelbagai serangan ke atas pemimpinnya daripada penguasa dan sekutu mereka. Dan memang benar, pada sebahagiannya.
Pemimpin PKR berhadapan serangan pembunuhan karakter dan terjejas kerananya. Contoh utama adalah Anwar Ibrahim sendiri, yang telah dibicarakan, dijatuhkan hukuman bersalah dan dipenjara atas tuduhan yang dianggap meragukan oleh ramai orang.
Pemimpin parti yang lain juga telah diserang untuk merosakkan karakter dan maruah mereka melalui media dan cara-cara lain.
Namun PKR bukanlah bersih sepenuhnya, kerana ada yang melihat parti itu juga nampaknya telah menggunakan cara yang sama dalam politik dalamannya.
Antaranya, ramai yang merasakan bahawa satu puak dalam parti itu, dipercayai mahu bersaing merebut kuasa, memainkan peranan dalam pembocoran kertas mahkamah berhubung prosiding penceraian yang membunuh karakter politik salah seorang calon utama bagi jawatan tinggi parti.
Selain itu tuduhan-tuduhan berat juga dilemparkan ke atas MB dari parti itu hanya kerana mahu menggantikan beliau dengan pemimpin yang lain.
Dan memang, pemimpin PKR yang membuat tuduhan ke atas bekas MB dan ahli parti itu sehingga perlu memohon maaf bagi menyelesaikan saman fitnah yang dibuat bekas MB tersebut.
Namun tuduhan yang dilemparkan telah memusnahkan karakter dan profil politik bekas MB, yang menyaksikan beliau ditohmah secara terbuka dan akhirnya berundur.
Mungkin beliau sendiri bukanlah “malaikat”, namun pasti ada yang tertanya-tanya sejauh mana kebenaran tuduhan-tuduhan tersebut memandangkan ia diselesaikan di luar mahkamah.
Dan berkaitan soal pakatan politik, nampaknya PKR boleh dianggap parti yang melakukan pembunuhan karakter yang sama terhadap parti pembangkang yang tidak diinginnya dalam satu platform yang sama. Jika benarlah kata-kata sesetengah pihak.
Inilah yang berlaku dalam kes Parti Sosialis Malaysia (PSM). Menurut laporan, pimpinan kanan PKR yang memberi penjelasan kepada wakil daripada DAP dan Amanah mengatakan bahawa PSM menentang hak keistimewaan Bumiputera seperti yang termaktub dalam perlembagaan, justeru tidak boleh menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan.
PSM menafikan tuduhan itu, sementara PKR berhujah itulah sebabnya mengapa PSM tidak menjadi komponen dalam Pakatan Rakyat dahulu. Namun agak pelik juga kerana hal ini tidak pernah dibangkitkan sebelum ini.
Ini membangkitkan persoalan bahawa ia mungkin satu percubaan untuk membunuh karakter PSM, walaupun apa manfaatnya langkah ini bagi PKR masih boleh diperdebatkan. Kebenarannya juga masih menjadi tanda tanya.
Ia mirip hujah yang diberikan PAS untuk menafikan PSM dahulu, yang menuduh parti sosialis tersebut mempunyai kaitan dengan ideologi komunis yang “tidak bertuhan”.
Mungkin ada sebabnya mengapa Pakatan – lama dan juga baru – tidak dapat menerima PSM. Namun dapat dilihat politiking di belakangnya kerana sama ada dulu dan sekarang, Pakatan tidak dapat memberikan satu sebab yang konsisten melainkan serangan bersifat oportunistik.
Tentulah kita boleh berpegang kepada penjelasan yang diberikan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli ketika beliau pertama kali mengumumkan Langkah Kajang – langkah yang memburukkan pergeseran dalaman dalam PKR dan juga pertelagahan antara DAP dan PAS, yang akhirnya membunuh Pakatan.
Kita juga boleh menggunakan hujah bahawa ini semua sebahagian daripada permainan politik yang terperinci. Teori Permainan (Game Theory) yang terbentuk di dalam satu permainan politik yang panjang. Atau juga bukan, kerana lebih mudah untuk melihatnya sebagai satu proses ‘kelahiran semula’.
Ini membawa kita kepada sebab mengapa ramai menyokong PKR dan pembangkang, untuk mewujudkan kerajaan baru yang berbeza dengan BN – korup dan penuh dengan amalan politik kotor seperti pembunuhan karakter.
Dan selaku sebuah parti yang terus mengetuai pembangkang selaku teras moralnya serta pengikat yang menyatukan mereka, mungkin PKR juga patut membersihkan dirinya daripada amalan-amalan seperti BN ini.
Namun akhirnya politik tetap politik. Dan tidak kira siapa pun pemainnya, ia masih dan akan sentiasa kotor. Sesuatu yang mungkin kita terpaksa terima, tidak kira siapa pun yang memimpin dan apa pun yang didakwa mereka.
Komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis di hazlan@hckmedia.com
Komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis di hazlan@hckmedia.com
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa