04:30PM Sept 12 2015
oleh Robin Stanley Augustin
SEKILAS PANDANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan enigma atau keanehan di dalam politik Malaysia.
Apa yang diperjuangkannya? Siapa yang mereka wakili? Ke mana halatujunya?
Apa wawasan parti politik itu?
Ini persoalan yang perlu dijawab berikutan satu rencana dalam portal Malaysia Insider.
Menurut rencana tersebut, PKR mempertahankan pendirian mahu menjalin kerjasama dengan PAS walaupun dihalang DAP.
Dengan hujah mahu lebih bersifat inklusif di dalam bertempur dengan BN-Umno, naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata parti itu mengalu-alukan sebarang parti yang percaya dengan agenda reformasi, termasuk kemungkinan bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad.
"Sekiranya kita mengambil kira kemarahan peribadi dan sakit hati, tentu sukar menguruskan cabaran berbeza kerana di akhirnya, pada saya, yang mustahak ialah mengamalkan sikap inklusif selagi semua pihak komited dengan agenda reformasi."
"Kami juga perlu berfikir tentang keperluan bersatu, termasuk dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir ke perhimpunan Bersih 4 dua kali," ujarnya sebagai maklumbalas terhadap kenyataan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng bahawa Azmin Ali perlu menerangkan kepada para penyokong keputusan partinya terus bekerjasama dengan PAS.
PKR telah hilang arah nampaknya.
Dalam usaha menumbangkan Umno, mereka tak nampak gambaran lebih besar.
Mereka langsung tak belajar dari kesilapan yang menguburkan Pakatan Rakyat dahulu.
Kerjasama luaran sebegitu tidak akan berhasil. Ia bukan cara membina negara.
Mereka menyokong sesiapa yang menentang BN-Umno dan ini menunjukkan PKR tiada pendirian.
Apa "agenda reformasi"? Bagaimana ia dapat dilakukan sekiranya tiada persefahaman dibina?
DAP dan PAS punyai pendirian dan halatuju sendiri, malah begitu juga MCA dan MIC.
Apa akan berlaku apabila kerajaan BN-Umno berjaya ditumbangkan dan Pembangkang terdiri DAP serta PAS nanti?
Kita akan kembali gusar memikirkan samada PAS akan melaksana hududnya, sedangkan DAP menentang. Dan apa pula pendirian PKR?
Mereka perlu jelaskan pendirian sebelum berusaha menawan Putrajaya.
Nurul Izzah jangan main-main atau buat kenyataan merepek. Kehadiran Mahathir di perhimpunan Bersih 4 tidak bermakna beliau menyokong agenda reformasi.
Mahathir bukan menyokong tuntutan Bersih 4 seperti pengakuannya.
Jadi Izzah, apa agenda reformasi itu?
Mahathir hanya mahu Najib tumbang, dan pemimpin lain menerajui Umno selepas itu.
Ia bukan reformasi tetapi sekadar tukar ganti.
PKR perlu sedar bukan semua pengundi bersifat lalang. Samada BN, Umno, PAS atau DAP, pengundi akan memilih parti dengan pendirian yang mereka gemari.
Tanpa pendirian dan halatuju, PKR akan menjadi tidak relevan satu hari nanti.
Komen dan cadangan dapat disampaikan kepada penulis di robinstanley@hckmedia.com
Rakyat masih terpingai pingai dgn keadaan sekarg.. Dgn sapa nak harap.. Pas dan amno dah sure tp... Pkr ni pun dah xda unjap ...ikut pas dan ikut dap.. So mana satu yg hendak.. Tinggal pas... Sbb buang masa sj dgn pa stu... Pas dikelantan makin terlondeh dan rakyat akan lari dr pas.. Biarkan pas tu...
ReplyDelete