Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, January 1, 2016

7 Pencetus Berita 2015

01 Januari 2016 | MALAYSIA DATELINE
Tahun 2015 sudah menutup tirai dan 2016 kini bermula. Sepanjang 2015, pelbagai peristiwa besar berlaku dan semuanya bermula dari pencetus berita itu sendiri.
Team Malaysia Dateline telah menyenaraikan beberapa  personaliti yang mencetuskan berita khasnya dalam dunia politik dan perniagaan sepanjang tahun 2015.
Berikut adalah 7 pencetus berita 2015.
1. Mohamad Sabu
Mohamad atau nama glamornya Mat Sabu menjadi pencetus berita penting sepanjang tahun 2015. Keberaniannya untuk berpecah dari parti yang disertainya sejak 30 tahun lalu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) menjadi kejutan kepada rakan-rakannya dalam PAS sendiri.
Mat SabuMat SabuPAS mula bergolak kencang sejak beberapa tahun lalu lagi. Namun kemuncaknya adalah dalam muktamar PAS ke 60 di Batu Pahat apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang  'menghalau' mana-mana pimpinan PAS yang dilihat tidak seiring dengannya.
Dalam muktamar itu juga, doa laknat dibacakan oleh seorang perwakilan PAS yang dipercayai ditujukan kepada Mat Sabu dan rakan-rakannya.
Sejak itulah ketegangan dalam PAS dilihat membuak-buak dan berakhir dengan kempen 'nyah' dari PAS yang dihadapi Mat Sabu dan rakan-rakannya menjelang muktamar Jun tahun lalu.
Walaupun pertemuan pertama selepas dikalahkan secara 'setandan' dalam muktamar PAS di Kuala Selangor, Mat Sabu tidak bercita-cita mahu menubuhkan parti baru, namun keputusan di kalangan mereka jelas, hanya satu penyelesaian iaitu penubuhan sebuah parti baru.
Maka pada 16 September 2015 sempena Hari Malaysia, Amanah yang dipimpin Mat Sabu telah dilancarkan dengan rasminya di Shah Alam.
Mat Sabu yakin partinya bakal menjadi parti yang terkuat dalam Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
2. Datuk Seri Anwar Ibrahim
Walaupun sudah 17 tahun zaman reformasi berlalu, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi tajuk berita pada tahun 2015.
Anwar IbrahimAnwar IbrahimJika pada tahun 1998 beliau menjadi tajuk berita kerana dipecat dari jawatannya dan dipenjarakan atas tuduhan liwat, pada tahun 2015 beliau sekali lagi menjadi perhatian dalam dan luar negara selepas dipenjarakan atas tuduhan yang sama.
Pada Februari, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR itu gagal dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengubah penghakiman Mahkamah Tinggi dan mensabitkan beliau dengan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 serta menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.
Seterusnya pada April beliau hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh selepas Lembaga Pengampunan Diraja menolak petisyen beliau untuk dibebaskan daripada hukuman lima tahun penjara menyebabkan pilihan raya kecil Permatang pauh diadakan.
Walaupun kini Anwar ditahan di Penjara Sungai Buluh namun auranya masih ‘bebas’ dalam kalangan rakyat khususnya penyokong beliau bermula zaman reformasi dan berita mengenai beliau tidak pernah sunyi.
Beliau tetap mendapat sokongan malah kempen ‘apa khabar Anwar’ diadakan bermula Julai lalu.
3. Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Penampilan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpakaian sedondon dengan Presiden Umno di pentas Alumni Serantau Al-Azhar di Kuala Lumpur boleh dianggap paling mencuri perhatian media dan massa sepanjang tahun ini.
Hadi AwangHadi AwangKemesraannya dengan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam majlis itu menguatkan lagi tanggapan banyak pihak tentang bibit-bibit penyatuan Umno dan PAS – satu ‘pantang’ besar bagi Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Bertentangan dengan karakter Hadi yang umum dikenali sebagai serius dan kurang mesra termasuklah dingin dengan  Anwar Ibrahim, reaksi Hadi ketika bersama Najib itu dilihat banyak pihak akan mempengaruhi dasar dan keputusan parti itu sepanjang tahun baharu 2016 nanti.
Pilihan Raya Umum ke-14 yang semakin hampir juga menyaksikan Hadi sepanjang tahun 2015 memegang rekod sebagai antara Ahli Parlimen daripada parti pembangkang yang dilihat ‘liat’ untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Kerap dikaitkan dengan hobinya memancing, Hadi hanya akan diingat bersungguh-sungguh untuk membawa rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta 355 Kuasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) sebagai pembuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.
Namun, ramai pemerhati melihat Hadi gagal memahami realiti dirinya telah dipermainkan Umno apabila cubaannya itu beberapa kali dihalang dengan alasan seperti banyak rang undang-undang lain perlu diutamakan.
Tahun 2015 juga menyaksikan PAS di bawah kepimpinan Hadi sebagai Presiden keenam sejak tahun 2003 itu bergolak dan pecah sehingga membawa kepada kelahiran Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasmi pada 16 September lalu.
‘Jasa’ Hadi dalam gerakan politik kepembangkangan juga akan terus diingati sebagai pemecah Pakatan Rakyat apabila berkerat rotan, berpatah arang dengan DAP. Keputusan Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP ekoran usul diketengahkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-61, Jun lalu sekaligus meruntuhkan sokongan majoriti bukan Muslim terhadap PAS.
Walau bagaimanapun, sanjungan terhadap Hadi yang pernah mencetus fenomena ‘Haji Hadi’ pada dekad 80-an itu pada masa sama dilihat semakin menonjol terutama daripada kalangan baki ahli PAS selepas dilantik sebagai Naib Presiden Ulama Sedunia.
4. Datuk Husam Musa
Husam Musa bukan nama baru dalam politik Malaysia. Walaupun terketepi dari jawatan kanan dalam kerajaan negeri Kelantan selepas perginya mentor beliau Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, nama Husam tidak hilang.
Husam MusaHusam MusaWalaupun ramai melihat Nik Aziz adalah penyelamat dan pembela Husam, namun ramai tidak tahu bahawa Husam yang sebenarnya menggilap balik politik Nik Aziz selepas PAS Kelantan hampir jatuh dalam pilihan raya 2004 lalu.
Selepas bertungkus lumus membantu mangsa banjir di Kelantan mulai lewat 2014 lalu melalui NGO Darul Hijrah, Husam diserang sakit 'bell poulsy' yang menyebabkan beliau tidak dapat keluar di tempat awam kira-kira 4 bulan.
Selepas berkurung, beliau bingkas dengan pelbagai isu khasnya untuk rakyat Kelantan. Ketika rakan-rakan seperjuangannya lari meninggalkan PAS dan menubuhkan Amanah, Husam kekal bersama PAS, namun dengan pembawaan dan nada berbeza dari parti itu sendiri.
Ketika PAS dilihat mendekati Umno, Husam dilihat kekal dengan caranya mencabar Umno dan penuh yakin PAS paling rugi dan akan membuntuti Umno sampai bila-bila jika bersama parti nasionalis Melayu itu.
Apakah 2016 bakal membawa sinar kepada salah seorang yang dinamakan sebagai calon perdana menteri Malaysia ini, masa yang akan menentukannya.
5. Khairy Jamaludin
Khairy Jamaluddin, seorang menteri yang asalnya dilihat menumpang nama bapa mertuanya Tun Abdullah Badawi untuk dilihat berpengaruh. Kini Khairy yang juga Ketua pemuda UMNO mampu tersenyum dengan pencapaianya sehingga dilantik menjadi salah seorang ahli kabinet di bawah pentadbiran Najib.
Khairy JamaludinKhairy JamaludinRata rata anak muda melihat Khairy Jamaludin mampu membawa aspirasi anak muda. Program anjuran kementeriannya yang dilihat mampu mendekatkan kerajaan dan anak muda menjadi penanda aras bahawa Khairy bukan calang-calang orang. Salah satu program yang diingati sehingga sekarang adalah “Hari Sukan Negara” yang hampir keseluruhan artis di Malaysia memberi sokongan kepada aktiviti anjurannya.
Pembabitan beliau dalam media massa pilihan anak muda seperti radio ERA, mendekatkan seorang yang bertaraf menteri kepada anak muda. Panggilan “abang” oleh Ray, yang juga salah seorang DJ Radio ERA membuktikan Khairy seorang yang sangat sporting.
Baru-baru ini di perhimpunan Agung UMNO, Khairy sekali lagi dilihat menjadi hero anak muda apabila dengan tegas mendesak kerajaan menurunkan kos sara hidup di Malaysia. Walaupun beliau sendiri merupakan salah seorang ahli kabinet Najib, dengan ucapan retorik politik seperti itu mampu menawan hati anak muda.
Khairy juga dengan lantang membawa suara umat Islam dengan membantah atlet Israel datang ke Malaysia sempena Kejohanan Luncur Angin Belia Antarabangsa, Langkawi. Berdasarkan “mood” politik masa kini, ramai yang beranggapan Khairy antara calon perdana menteri yang paling layak. Adakah ianya akan menjadi kenyataan? Sama-sama kita tunggu.
6. Datuk Ahmad Maslan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan antara tokoh politik yang menarik untuk dikenang sepanjang tahun 2015.
Ahmad MaslanAhmad MaslanIni kerana beliau banyak mengeluarkan hujah yang kemudian dipertikaikan oleh orang ramai, di kalangan profesional dan ahli politik pembangkang.
Beliau juga boleh dikatakan ahli politik Umno yang banyak menerima kecaman di laman Twitternya sendiri apabila beliau memuat naik statusnya untuk menerangkan sesuatu isu membabitkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kos sara hidup, kenaikan harga minyak, termasuklah isu ekonomi dan kewangan negara.
Nama ‘Ahmad Maslan’ menjadi trending di laman sosial seperti Twitter kerana kenyatannya sering kali dikritik, apabila menyarankan pelajar-pelajar universiti agar selalu mengamalkan masak sendiri dari makan di luar untuk kurangkan beban GST di kalangan pelajar.
Sedangkan pelajar universiti berpendapat saranan Ahmad itu mustahil untuk dilaksanakan apabila undang-undang kampus universiti sendiri tidak membenarkan pelajar-pelajar ini untuk masak di dalam kampus.
Terkini #2kerja menjadi viral di laman sosial apabila beliau sekali lagi dikatakan mengeluar hujah mengenai kos sara hidup dengan mengalakkan rakyat melakukan dua kerja.
Beliau sebaliknya menafikan bermaksud demikian sedangkan di dalam twitternya jelas menyebut: “Saya ada 3 kerja:Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Ketua Penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia yang buat #2kerja. Berusaha gigih cari kerja halal.”
Itulah Ahmad Maslan seringkali mempertahankan hujahnya apabila di pertikaikan. Paling melucukan apabila beliau sendiri mendedahkan pencapaian akademiknya ketika menjadi penuntut di University Wellington New Zealand dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau pernah menulis di twitternya "Saya tak lah bodoh sangat. Ijazah pertama di Victoria University Wellington New Zealand. MBA di UKM pelajar terbaik daripada 177. CGPA 3.85".
Beliau berkata demikian setelah beberapa kali sesi penerangan berkaitan GST yang dikendalikannya di media massa masih lagi dipersoalkan oleh pelbagai pihak yang mana beliau dikatakan tidak mahir untuk berhujah mengenai GST dan kos sara hidup rakyat bagi pihak Kementerian Perdagangan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kastam dan Kementerian Kewangan.
7. Datuk Seri Hasmiza Othman (Datuk Seri Vida)
“Anda nak cantik, nak putih? Gunakanlah Qu Puteh, barulah putihhhh” Terngiang-ngiang slogan iklan produk kecantikan yang diasaskan oleh usahawan wanita yang berjaya dan terkenal masa kini iaitu Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman ataupun lebih dikenali dengan panggilan Datuk Seri Vida.
Datuk Seri VidaDatuk Seri VidaWanita yang baru mencecah umur 43 tahun ini berasal dari Machang, Kelantan dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Kesusasteraan Melayu dan Sejarah dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah menjadi seorang guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam, Ipoh, Perak dan memiliki pengalaman sebagai tenaga pengajar di Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).
Siapa sangka, tindakan berani beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kariernya sebagai seorang guru dan memulakan langkah drastik menjual produk kecantikan di kiosk-kiosk telah menaikkan namanya antara usahawan yang berjaya pada hari ini.
Ternyata usaha gigih beliau dalam mempromosikan barangan keluaran syarikatnya iaitu Vida Beauty mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Antara produk keluaran Vida Beauty yang kian melonjak naik iaitu Jus Pamoga dan produk kecantikan Qu Puteh.
Tindakan beliau menaja beberapa program rancangan televisyen gergasi seperti AJL (Anugerah Juara Lagu) dan Gegar Vaganza membuahkan hasil apabila produknya kian laris memenuhi permintaan di pasaran dan slogan yang menjadi trademark beliau seperti “Qu Puteh, Qu Puteh.. barulah putih” kian menjadi siulan dan ikutan orang ramai. Keberkesanan produk dan kekayaan yang dimiliki membuatkan beliau menjadi ikon bagi rakyat Malaysia.
Walaupun begitu, sebagai manusia biasa, beliau juga tidak lari daripada diuji oleh Yang Maha Esa.
Dikejutkan dengan peristiwa kehilangan dua orang anak lelakinya dalam satu kebakaran yang berlaku dua tahun lepas tidak mematahkan semangat beliau untuk bangkit semula daripada terus dibelenggu kesedihan. Beliau juga pernah diuji dengan penceraian, namun kini beliau telah pun menemui jodoh baru dengan mengahwini Fairuz Ahmad Zainuddin.
Kesungguhan dalam mengejar impian, sifat yakin diri yang tinggi, berani mencuba sesuatu yang baru, berdaya saing dan memiliki semangat yang sentiasa berkobar-kobar menjadikan beliau mampu berdiri kukuh dalam bidang keusahawanan yang diceburinya.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016

2 comments:

  1. Qu puteh kopiah putih tak lama lagi pak lebai pas bermata putih....

    ReplyDelete
  2. Sempat juga hang pekena pak lebai kopiah putih bakal bermata putih. Haha. Kesian depa taksub sangat kat presideng hadi awang. Wala unta lah katakan. Tk lama lagi pas pun nk gabung dgn umno. Umno pun dah mau huduud. Haha

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa