KEBAJIKAN RAKYAT
KENAPA KERAJAAN BN TIDAK MENGENAKAN CUKAI EKSPORT KE ATAS BAUKSIT, KERUGIAN RM180 JUTA
JANUARY 12, 2016
Masalah alam sekitar, kesihatan, gangguan serta tekanan yang dihadapi oleh penduduk sekitar Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar dan kawasan sekitarnya akibat dari perlombongan bauksit sudah diketahui umum. YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan telah berkempen selama setahun mendesak supaya aktiviti perlombongan ini dihentikan.
Kontroversi mengenai perlombongan bauksit ini memuncak melalui pendedahan bahawa ada ketirisan dari segi kutipan hasil royalti yang perlu dibayar kepada Kerajaan Negeri Pahang yang menyebabkan SPRM membuka siasatan baru-baru ini.
Saya memetik kenyataan Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob (Laporan Bernama, 8 Januari 2016) bahawa kutipan royalti bagi tahun 2015 oleh Kerajaan Negeri Pahang sepatutnya RM180 juta, bukannya RM47 juta yang dikutip. Laporan lain menyebut bahawa anggaran kutipan sebenar sepatutnya 5 kali ganda lebih tinggi iaitu sekitar RM235 juta.
Perkara ini menarik perhatian saya kerana mengikut Akta 396: Akta Pembahagian Duti Eksport Galian 1964, Seksyen 2(1) dan Seksyen 2(2), kerajaan negeri tidak boleh mengenakan royalti atau apa-apa caj ke atas perlombongan galian yang disenaraikan di bawah akta ini (termasuk bauksit) kerana Kerajaan Persekutuan telah mengenakan duti eksport yang separuhnya akan diagihkan kepada kerajaan negeri (rujuk akta kat sini):
Oleh itu, apabila Dato’ Seri Adnan Yaakob menyebut bahawa Kerajaan Negeri Pahang mengutip royalti sebanyak RM47 juta dalam tahun 2015 hasil dari perlombongan bauksit, saya menyemak pula kod tarif bagi bauksit di laman Kastam DiRaja Malaysia untuk menyemak maklumat tersebut berdasarkan Akta 396 di atas.
Carian di laman tarif Kastam DiRaja Malaysia iaitu http://tariff.customs.gov.my menunjukkan bahawa bauksit tidak disenaraikan di bawah kodnya sendiri, sebaliknya dikategorikan di bawah aluminium kerana biji bauksit yang dilombong sebenarnya mengandungi kandungan aluminium yang diproses untuk mendapatkan aluminum itu.
Oleh itu, semakan kod bagi bauksit adalah 260600000 seperti di bawah:
Perkara yang mengejutkan dan membimbangkan saya ialah apabila kadar duti eksport bagi bauksit di bawah kod 260600000 adalah 0% seperti yang ditunjukkan oleh laman Kastam DiRaja Malaysia sendiri. Berdasarkan maklumat ini, bermakna eksport bauksit ke luar negara tidak dikenakan sebarang duti eksport dan Kerajaan Persekutuan tidak mengutip sebarang hasil.
Menurut World Bureau of Metal Statistics, Malaysia dijangkakan mengeluarkan 20 juta tan bauksit dalam tahun 2015 yang semuanya dieksport. Pada harga purata USD45 per tan (bersamaan RM180 per tan ada kadar tukaran purata RM4 setiap USD1), jumlah eksport bauksit bagi tahun 2015 sepatutnya mencecah RM3.6 bilion. Ini bertepatan dengan anggaran royalti 5% seperti yang disebut oleh Dato’ Seri Adnan Yaakob iaitu sebanyak RM180 juta.
Ini bermakna Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk tidak mencukai eksport bauksit sedangkan pengusaha bauksit dilaporkan mendapat kadar keuntungan bersih sehingga 40% bagi setiap tan bauksit. Ini berbeza dengan industri utama negara yang lain seperti industri kelapa sawit yang dikenakan duti eksport sebanyak 10% sedangkan kadar keuntungan bersih adalah jauh lebih rendah dari 40% yang diperolehi syarikat perlombongan bauksit.
Jika Kerajaan Persekutuan peka dengan kesan perlombongan bauksit dan kos membaikpulih alam sekitar, paling kurang ia perlu mengenakan duti eksport sebanyak 10% setanding dengan duti eksport ke atas kelapa sawit. Hasil ini boleh dibahagikan pada pecahan 50:50 dengan Kerajaan Negeri Pahang seperti kehendak Akta 396.
Mengambil kira perkara ini, saya mohon Menteri Kewangan mengesahkan perkara-perkara berikut:
1. Bahawa Kerajaan Persekutuan lalai dan tidak mengenakan sebarang duti eksport ke atas bauksit, seperti maklumat di laman Kastam DiRaja Malaysia
2. Bahawa akibat kelalaian itu, Kerajaan Persekutuan telah rugi sekurang-kurangnya RM180 juta dalam bentuk 50% dari duti eksport yang sepatutnya dikutip bagi tahun 2015.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
- sumber
Kalau di cukai tinggal sikit lah bebudak tuk nak enjoy sakan
ReplyDeleteKaya mesti ber gaya
BENTLEY lah bukan MyVi tau
Biasa lah kalau tidak bila lagi pon
wooooooooooooooooooooooowwwwwwwwwwww bijak macam seeeae
ReplyDeleteKalau kita ada macam ni punya watak sebagai menteri kewangan, boleh minta PM berehatlah.....yeh
ReplyDelete