Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, January 7, 2016

Ko bantai orang senegori ke: Bodoh juga satu anugerah!

Bodoh bukan satu jenayah
Hishamuddin Rais  - 

Pagi tadi bila gua bangun dari tidur gua rasa terganggu. Gua kelam kabut tak tahu gua di mana. Dua minit kemudian gua dengar ayam hutan berkokok. Gua senyum gumbira kerana gua masih lagi di Malaysia. Syukur.
Sebagai warga keturunan Jakun suku Biduanda Negeri Sembilan gua amat berbangga dengan darah Orang Asal. Gua bangga jadi Orang Asal warga Malaysia. Gua juga bangga kerana datuk nenek moyang gua dulu cekap menyumpit cikah dan lotong. Bijak memasang jerat babi dan napuh. Kenal semua batang, pokok, akar, daun dan pucuk – yang mana racun dan yang mana ubat.
Tapi ada satu lagi perkara – lagi penting – kenapa gua bangga jadi rakyat Malaysia, gembira lagi menggembirakan. Tapi gua tak tahu sama ada semua rakyat Malaysia boleh kongsi kegembiraan dengan gua atau tidak. Gua ada rasa was-was.
Di sini gua mahu bercakap jujur. Gua rasa amat amat bangga kerana Malaysia kita ini telah berjaya melahirkan Hasan Malek. Jangan ketawa dulu. Jangan keluarkan tuduhan semberono. Sabar. Dengar dulu apa yang gua cakap. Gua bukan mahu bodek. Gua mahu terangkan dengan hujah yang tuntas lagi ilmiah kenapa gua gembira dengan Hasan Malek.
Jangan cepat tuduh gua sebagai Asobiah 05. Asobiah kenegerian dimonopoli oleh Geng Budu 03. Gua tak ada sikap Asobiah 05. Gua gembira dengan Hasan Malek bukan kerana dia orang Kuala Pilah. Bukan kerana dia anak Negeri Sembilan. Hasan Malek ini anak Malaysia. Gua gumbira kerana Hasan Malek telah menggembirakan rakyat Malaysia.
Lu ingat senang untuk menjadi Hasan Malek? Lu ingat mahu jadi sejujur Hasan Malek satu perkara enteng. Dalam dunia ini tidak ada sekolah, tidak ada universiti atau kuliah yang boleh mengajar bagaimana untuk menjadi Hasan Malek. Lu jangan ketawa.
Kebijaksanan ini lahir semula jadi. Ini satu anugerah dari Yang Maha Kuasa. Sultan Melaka pun tidak ada keupayan untuk memberi anugerah ini.
Cuba bertenang dan cuba jadi Hasan Malek. Baru pembaca sedar bukan senang untuk menjadi Hasan Malek. Bukan enteng untuk jadi bodoh... Opps silap... Menjadi Hasan Malek. Menjadi Hasan Malek ini satu tugas yang amat-amat payah. Melahirkan ke-Hasan Malek-kan ini satu pencapaian unggul Malaysiaku.
Sah dan sahih – menjawat jawatan menteri adalah tugas yang telah berjaya dilakukan oleh Hasan Malek dengan gilang-gemilang. Inilah yang membuatkan gua gembira dengan Hasan Malek. Inilah hujah gua kenapa gua bangga jadi warga Malaysia.
Ingatlah kata-kata Hasan Malek pada 13 Julai 2013 bahawa "pengguna perlu guna kuasa untuk ajar pihak tidak bertanggungjawab, kalau tengok harga naik jangan beli ayam tapi beli daging pula."
Ini ucapan klasik sepanjang zaman. Ianya akan diingati oleh anak cucu cicit kita. Ini bukan ucapan bodoh yang dibuat-buat bodoh. Ini ucapan bodoh tulen. Mengikut istilah anak-anak muda hari ini ini adalah bodoh ori. Ini ucapan yang teramat Hasan Malek.
Apabila rombakan Kabinet berlaku, tapak kaki gua telah mengeletar bukan kerana sejuk. Ada berita angin tersebar mengatakan bahawa Hasan Malek hendak berkhalwat dan bertapa. Mungkin ke Gua Birak atau mungkin ke Gunung Angsi di Sungai Ujung.
Tup tup ianya betul-betul berlaku. Gua meraung sayu tapi tiada siapa mengetahui betapa remuknya hati gua apabila Hasan Malek tidak lagi dinobatkan sebagai menteri. Dunia gua runtuh berkecai. Siapakah yang akan membuat bodoh untuk Malaysiaku?
Tiga hari tiga malam gua bersedih, tiba-tiba sampai satu berita kemunculan seorang menteri dari selatan Tanah Melayu. Keturunannya sang menteri ini tidak begitu jelas – Melayu tidak Melayu sangat, Jawa bukan Jawa, Jambi pun bukan Jambi, tetapi memiliki sirip dan insang seakan sama dengan yang dimiliki oleh Hasan Malek.
Awalnya gua tidak ambil pot sangat tentang menteri ini. Tetapi baca punya baca kelihatan bahawa menteri yang bernama Ahmad Maslan memiliki DNA dan baka benih Hasan Malek. Gua kembali gumbira. Inilah yang dikatakan patah tumbuh hilang berganti, ke hulu tersepak ke hilir terlanggar.
Tetapi dalam hati kecil gua si Ahmad Maslan ini mungkin belum setanding dengan Hasan Malek. Ketika Hasan Malek belum ke Gua Birak rakyat Malaysia sering terhibur. Setiap kali Hasan Malek merasmikan apa sahaja – dari kedai runcit ke kedai basuh kereta – Hasan Malek akan membuatkan satu Malaysia gumbira.
Kata-kata yang keluar dari mulut Hasan Malek saperti butir-butir tahi kambing yang akan membajai padang rumput. Ucapan Hasan Malek tidak pernah mengecewakan para pendengar, rumput dan kambing.
Tentang si Ahmad Maslan – gua mula membuka mata memerhatikan apabila dia mengumumkan ke seluruh dunia bahawa dia memiliki pointer 3.85. Tapi untuk gua yang belajar dalam tahun 60-an, pointer-pointer ini tidak memiliki apa-apa nilai. Jadi gua terlalai untuk menilai rapi betapa Hasan Maleknya Ahmad Maslan ini.
Ahmad Maslan pernah mencadangkan agar pelajar UITM memasak makanan sendiri untuk mengurangkan kos hidup. Ini pun masuk akal.
Gua pun ketika menjadi mahasiswa telah mula memasak. Kalau tak pandai memasak macam mana nak dapat mengayat Minah Saleh. Maka cadangan memasak ini untuk gua belum bertaraf Hasan Malek lagi.
Pada pendapat gua, untuk mengambil alih mahkota Hasan Malek ini bukan satu kerja yang enteng. Gua nampak ada percubaan dari beberapa calon.
Menteri Rahman Dahlan hampir berjaya meng-Hasan Malek-kan dirinya dengan mencadangkan agar orang ramai bangun awal untuk mengambil jalan lama sebagai langkah mengelak dari membayar tol yang semakin mahal.
Tutur kata macam ini memang Hasan Malek. Seperti biasa, sesudah bertutur si Rahman ini mengatakan dia disalah lapor oleh portal media yang sentiasa berkonspirasi hendak meng-Hasan Malek-kan dirinya. Yang ini mengecewakan gua.
Diakhir tahun 2015, Malaysia negara kita telah gegak gempita penuh dengan kegumbiraan. Bukan kerana kita semua dapat BRIM. Bukan kerana mendengar khabar Cik Siti telah hamil sekali lagi.
Bukan bukan bukan. Satu Malaysia gembira apabila Ahmad Maslan mencadangkan agar kita semua membuat kerja kedua untuk menambah pendapatan.
Wow! Ini betul-betul bertaraf Hasan Malek. Malah Hasan Malek sendiri tidak ada keupayaan untuk meng-Hasan Malek-kan dirinya sebagini rupa. Gua paling gembira kerana dalam firasat gua, Hasan Malek telah menjelma kembali untuk menghiburkan kita semua.
Ekonomi kita makin merundum. Satu dolar Amerika kini telah menjadi 4 ringgit 30 sen. Satu ringgit Malaysia satu ketika dulu ialah 10 Bhat Siam. Sekarang RM1 telah jadi hanya 8 Bhat. Manakala 1 Sing Dolar dah menjadi RM3. Semua ini adalah bukti sahih yang ekonomi kita semakin merosot. Hanya yang Hasan Malek sahaja yang percaya bahawa ekonomi kita bertambah baik.
Justeru apabila gua terbaca cadangan bertaraf Hasan Malek dari Ahmad Maslan, gua cukup senang hati. Kerana itu gua tak faham kenapa ramai rakyat Malaysia terutama anak muda dalam Internet mula naik naik minyak apabila mendengar kata-kata jujur lagi Hasan Malek dari Ahmad Maslan?
Apa silapnya Ahmad Maslan? Anak muda tidak faham bukan senang hendak jadi bodoh... Opps... Jadi Hasan Malek.
Ahmad Maslan yang memiliki pointer 3.85 ini secara jujur telah menerangkan bahawa dirinya melakukan tiga kerja. Ahmad Maslan menjadi ahli parlimen, menjadi menteri dan dia juga menjadi ketua penerangan untuk parti ketuanan Melayu. Tiga kerja sekali harung.
Ahmad Maslan cukup hebat. Usaha dan kerja tangga duit. Kerana ada tiga pekerjaan maka Ahmad Maslan dapat gaji besar. Betapa besar gajinya gua tak tahu. Tapi mestilah besar kerana khabarnya adik Ahmad Maslan dapat memiliki sebuat kereta Bentley yang berkali ganda harganya dari motor kapcai.
Maka kerana ini gua hairan kenapa Ku Li dan Shahrir Samad – dua-dua YB ini dari parti Ketuanan Melayu – bergerak serentak dan seirama mengutuk kata-kata jujur yang amat-amat Hasan Malek dari Ahmad Maslan.
Gua sedar Shahrir datang dari wilayah selatan maka Ahmad Maslan ini menjadi musuh politik setempat. Ini biasa. Ini budaya politik Bani Ketuanan Melayu.
Apa yang menakjubkan gua ialah kata-kata dari Ku Li yang mengumumkan kepada media dunia bahawa hendak mendapat satu kerja pun amat susah sekarang di Malaysia. Justeru Ku Li bertanya – bagaimana hendak mendapat dua kerja?
Fikir punya fikir, betul juga kata Ku Li ini. Selama berbelas-belas tahun Ku Li telah cuba mendapatkan satu pekerjaan sebagai perdana menteri Malaysia – sampai hari ini Ku Li masih belum dapat-dapat.
Tapi Ku Li tak dapat jadi PM ini pasti kerana dia Hasan Malek atau kerana Ku Li dikelilingi oleh ramai Hasan Malek. Wallahua'lam.
Di sini gua berani berkata bahawa gua amat gumbira yang kita semua di Malaysia. Sedarlah semua bahawa negara kita yang bernama Malaysia ini unik – amat unik dalam dunia ini.
Bayangkan, kalau Ahmad Maslan yang Hasan Malek ini lahir di Iraq atau di Iran atau di Afghanistan, dia hanya boleh menjadi gembala kambing. Kalau Ahmad Maslan yang Hasan Malek lahir di Tanah Besar China – dia hanya boleh menjadi penjual taufu. Kalau Rahman Dahlan lahir di Chile dia hanya berjaya untuk menjadi pemandu teksi.
Hanya di Malaysia, Hasan Malek, Ahmad Maslan dan Rahman Dahlan yang sentiasa meng-Hasan Malekkan diri mereka dan masih diterima sebagai menteri. Berbangga dan bergembiralah kerana Malaysia kita masih ada Ahmad Maslan yang Hasan Malek. Juga, gua mahu beritahu bahawa bodoh bukan satu jenayah.
HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

7 comments:

  1. Bodoh Bodoh Budak Bahalol ini

    Jalan jalan pake BENTLEY lah

    Rakyat lagi BENGGAP

    Tiap tiap hari sedekah SYURGHA pada Bebudak Bahalol ini ada banyak


    Melayu Melayu saja pon

    ReplyDelete
  2. Kena ayaq buih 3 koleh pastu mengarang cerpen..
    Terboikk..

    ReplyDelete
  3. Terbaik bro....jalanraya je ubatnya...

    ReplyDelete
  4. kalau memang bodoh ok lah kalau buat buat boddoh
    ini satu perangai hudoh
    bahayanya sama macam jahiliah tak mau berubah
    bodoh jahat ni lagi satu cilaka

    ReplyDelete
  5. Jika dalam UMNO ada istilah kehasanmalikan, apa kurangnya dalam PAS pun juga ada istilah kewanroslian. PAS sepatutnya bolehlah berbangga dengan sosok macainya yang seorang ini, kah kah kah...

    ReplyDelete
  6. Ayat kewanroslian tu yg gua tak tahan.betul punya tur.jum nyanyi lagu anak kecil main api sambil nangis tapi lirik kena tukar,bumi dipijak dah kena jual puak ketuanan melayu

    ReplyDelete
  7. hoi Hisam kau ni memang kelakor tahap poyo..kau punya mazhab marxis groucho anarkis polong kau belajar masa kau merempat di amsterdam, london,lahore,australia masa 80-an..DS Anwar yg rekomen kau balik ke malaysia..klau tidak mungkin kau merempat kt konings plain amsterdam @ moscow road london.Hasan malik & mat maslan yg kau bantai tu jujur walaupun bodohbendul.kau berani bantai dua sosok tu, apa kata kau pulunn pulak altakiiri,altontowi, alzuhdi,al abduuhi, al... al... al...hi hiii

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa