Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, January 1, 2016

Wanita IKRAM bersuara..........

PERUTUSAN TAHUN BAHARU MASIHI 2016

WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

1/1/2016

Alhamdulillah kita memanjat setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dipanjangkan umur untuk melangkah ke tahun baharu masihi 2016. Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia.

Tahun 2015 berlalu meninggalkan kita dengan segala peristiwa yang mencabar dan menduga kehidupan rakyat. Sepanjang tahun lepas kita menyaksikan bahkan mengalami pahit getir cabaran kehidupan rakyat Malaysia di setiap sudut kehidupan.

Tirai 2015 dibuka dengan banjir mega, bah air kuning terburuk melanda Kelantan dan ditutup dengan fenomena air pantai berwarna merah di Kuantan dipercayai akibat perlombongan bauksit  yang mencemari alam sekitarnya. Dari sudut ekonomi pula, rakyat terus merasa derita kesempitan hidup dengan peningkatan harga barangan, cukai termasuk GST, kos pengangkutan awam dan tol.

Kemelesetan dan tekanan ekonomi memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada kenaikan kadar jenayah dalam masyarakat. Bertambahnya kejadian curi, ragut, pecah rumah, rompakan dan pelbagai jenayah lain menjadikan kita semakin tidak selamat hatta di rumah sendiri.

Bertambah parah apabila kepimpinan politik negara yang diharapkan memperbaiki keadaan dan membawa kita keluar dari pelbagai kemelut ini turut berhadapan dengan masalah integriti yang meruncing. Amalan politik sistem dwi parti di mana pembangkang yang kuat memainkan peranan semak dan imbang serta mengingatkan pemerintah agar berada di atas landasan yang benar nampaknya tidak berperanan dengan baik. Landskap politik negara juga dilihat bergelut  dengan pelbagai isu dalaman kepartian samada dari barisan pemerintah maupun pembangkang. Akta baru pula diperkenalkan seperti  Akta Majlis Keselamatan Negara yang dibimbangi akan terus menekan kebebasan kehidupan rakyat bersuara..

Logiknya kita semua seharusnya bersatu padu dan menggembleng tenaga serta sumber kepandaian untuk berhadapan dengan cabaran masa kini. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Api perkauman dan kebencian terus ditiup dalam masyarakat. Dalam dunia siber tanpa sempadan, amat mudah untuk kenyataan dikeluarkan terhadap pihak lawan dan fitnah menjadi viral tanpa dipastikan kebenaran fakta yang disebarkan. Dalam banyak keadaan kita perlu menapis maklumat yang kita terima dan menimbang kebenarannya di samping terus berdoa dengan doa berikut:
“Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami yang benar itu benar dan bantulah kami untuk mengikutinya, dan perlihatkanlah kepada kami yang batil adalah batil dan bantulah kami untuk menjauhinya.”

Sempena tahun baharu 2016, Wanita IKRAM tetap optimis dan berharapkan kepada masa depan yang lebih cerah buat Malaysia dan rakyatnya. Harapan ini akan hanya boleh tercapai jika pemimpin dan rakyat  bersatu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan- perubahan berikut:

1.    Kerajaan  digesa  mengambil tindakan drastik untuk memperbaiki pentadbiran dan  pengurusan  negara dan sekali gus meringankan beban kehidupan yang ditanggung rakyat. Sebarang bentuk pembaziran , ketirisan dan gaya hidup mewah dan eksploitasi khazanah alam yg diamanahkan mestilah diHENTIKAN serta merta;

2.  Pemerintah dan jentera pentadbirannya perlu dikembalikan kepada yang berintegriti dan amanah serta  dizahirkan dalam semua bentuk tindakan. Bukan sekadar retorik semata-mata;

3. Kualiti kehidupan rakyat perlu ditingkatkan bagi memenuhi kelangsungan kehidupan (sustainable livelihood) dan bukan dalam bentuk pemberian berkala seperti  pemberian BRIM yang dibangga-banggakan;

4.  Rakyat sentiasa berusaha memperbaiki diri sendiri secara menyeluruh bermula dengan meningkatkan kekuatan rohani, menyihatkan fizikal, menstabilkan emosi, memantapkan intelek dan meluaskan jaringan sosial kita;

5.  Pemimpin dan rakyat sentiasa mengajak orang lain kepada kebenaran dan keadilan dengan ilmu dan fakta yang benar. Budaya tabayyun iaitu mengesahkan fakta sebelum membuat pandangan dan kesimpulan perlu disuburkan dalam masyarakat untuk mengelakkan salah faham dan perpecahan;

6.   Berusaha menjadi agen perubahan yang menyatukan dan bukan memisahkan antara kita. Kita ada terlalu banyak persamaan yang boleh dijadikan sumber kekuatan dan perlu belajar meraikan sedikit perbezaan yang terdapat antara kita.

7.   Rakyat Malaysia perlu mengambil tanggungjawab dalam mengubah gaya hidup mereka dan melakukan perubahan besar bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada alam ini demi masa depan yang lebih sejahtera.


Semoga tahun 2016 mengembalikan harapan kita untuk bersatu berusaha bersungguh-sungguh merealisasikan Malaysia Menuju Negara Rahmah yang memberi jaminan perlindungan dan hak kepada warga Malaysia untuk hidup aman sejahtera menikmati hasil kekayaan anugerah Pencipta. Untuk itu rakyat Malaysia perlu bersedia untuk berubah dan merubah untuk menuju kearah kecemerlangan dan keredhaan  Allah SWT.

DATIN  PADUKA CHE ASMAH IBRAHIM

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa