Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, April 1, 2017

Akan selamatkah 'Tiang Seri' UMNO?

Tiang seri Umno bakal roboh 
 | AHMAD LUTFI OTHMAN
Dalam tempoh yang lama, pemimpin Umno Johor mungkin boleh berbangga dengan kekuatan pengaruh dan sokongan yang diterima parti kelahiran negeri itu.
Walaupun tidak sedikit pergolakan dalaman meletus selama ini, ia tidak begitu menjejaskan prestasi Umno-BN Johor dalam pilihan raya.
Johor dianggap tiang seri Umno. Sukar pembangkang bertapak. Mohamad Sabu semasa memimpin Pas dahulu pernah berseloroh: "Kalau calon Pas di Johor tidak hilang deposit, sudah cukup baik. Apatah lagi jika menang satu kerusi, boleh buat kenduri besar-besaran."
Kemenangan gemilang Shahrir Samad, dengan majoriti hampir 13,000 undi, sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK), Ogos 1988, membuka mata banyak pihak.
Ketika itu, Umno berpecah teruk, terbahagi dua, Team A dan Team B. Musa Hitam, tokoh popular dari Johor, bekas timbalan perdana menteri, orang no 2 Team B.
Momentum terhalang 
Bagaimanapun momentum Johor Bahru terhalang apabila dua bulan kemudian, dalam satu lagi PRK, calon BN menang tipis- majoriti 413- di kerusi Dun Parit Raja.
Maka selamatlah Umno daripada gelora kebangkitan rakyat Johor. Sementalahan pula calon S46 juga tewas dalam siri PRK seterusnya, Parlimen Ampang Jaya, Selangor (Januari 1989) dan Dun Tambatan, Johor (Ogos 1989).
Agak menarik, dalam Pilihan Raya Umum 1990, meskipun Parti Melayu Semangat 46 kurang mendapat sambutan di negeri-negeri lain, kecuali Kelantan, pencapaiannya di Johor tidaklah mengecewakan. Peratusan undi calon-calonnya tidak boleh diremehkan. Walaupun tanpa Musa dan Shahrir dalam S46, seorang calonnya, Cikgu Kahar Ahmad menang di Dun Parit Bakar.
Namun begitu, semasa laungan Reformasi bergemuruh pada 1998, diikuti PRU1999 yang menyaksikan protes terbuka orang Melayu terhadap kes pemecatan Anwar Ibrahim, tempiasnya seperti tidak menjejaskan Johor.
Dalam sesi wawancara dengan Shahrir di pejabatnya, Sri Hartamas, sekitar tahun 2000 saya bertanyakan pandangannya mengenai keputusan pilihan raya umum itu.
Beliau menyimpulkan, itulah kekuatan Umno Johor, dapat mengawal kesetiaan pengundi walaupun negara berdepan isu Anwar yang dahsyat.
Kini, sebenarnya bermula 2013, Umno Johor sudah terkeluar daripada zon selesa. Buat pertama kali Pas menang 4 kerusi Dun. Ia mengingatkan kata-kata Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, yang diungkapkan kembali oleh Mazlan Aliman, Presiden Anak, yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor.
Kubur Umno
"Ketika saya menjadi Ketua Pemuda Pas Johor, Tok Guru Nik Aziz berceramah di Benut dan kerana kedatangan hadirin tidak ramai saya memberitahunya Johor ini kubu Umno. Tok Guru berbisik kepada saya, sekarang memang kubu Umno, insya-Allah akan datang Johor akan jadi kubur Umno," cerita Mazlan dalam majlis ceramah di Ketereh, Kelantan, awal Mac 2017.
Mungkin secara kebetulan, pertemuan bekas pimpinan tertinggi Pas yang tersingkir dalam muktamar 2015 juga diadakan di Bakri, Muar, yang mencetuskan idea penubuhan parti baru, Parti Amanah Negara. Bumi Johor itu juga menyaksikan peralihan besar-besaran barisan pemimpin Pas negeri menyertai Amanah.
Apabila Adun Jorak, Johor, Shahrudin Salleh meninggalkan Umno, akhir 2016, BN hilang majoriti dua pertiga. Beliau dilantik Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Presidennya, Muhyiddin Yassin juga tokoh berpengaruh di negeri itu. Benteng Umno Johor makin dirobek.
Johor mungkin diambil alih Pakatan Harapan, lebih awal ketimbang negeri-negeri lain di hujung Semenanjung. Sementara pengundi Cina sudah menunjukkan sokongan optimum dalam PRU13, yang memenangkan semua calon Dun DAP kecuali seorang, masyarakat Melayu termasuk di kampung tradisional dan penempatan Felda nampak makin mesra dengan oposisi.
Dzulkefly AhmadDzulkefly AhmadSerangan hendap 
Secara tiba-tiba, bagaikan diasak serangan hendap. deretan isu-isu rakyat dan salahguna kuasa pemerintahan Khaled Nordin terburai.
Sekurang-kurangnya, dua pimpinan utama Amanah, Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden parti dan Dzulkefy Ahmad, timbalan pengerusi negeri- di samping Aminolhuda Hassan, ketua negeri dan Adun tunggal Amanah - memberikan respons proaktif, hampir setiap hari, mengulas secara terperinci dan berfakta kes-kes korupsi yang mencolok mata itu.
Dalam satu pertemuan khas, Dzulkefly yang berpengalaman luas dalam bidang hartanah menjelaskan tujuh isu utama rakyat Johor. Pertama, isu rasuah hartanah yang melibatkan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta anak dan pegawai khasnya.
Kedua, isu penahanan Ketua Pemuda Umno Gelang Patah yang juga Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) oleh SPRM. Kes penipuan dan rasuah surat tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
Lambakan pekerja asing 
Ketiga, isu lambakan pekerja asing sehingga warga tempatan sukar mendapat kerja. Keempat, isu bekalan air bersih dan pencemaran sungai dgn aktiviti korek pasir dan kawasan tadahan air di sekitar empangan tidak diwartakan dan digunakan sebagai aktiviti dan pertanian yang akhirnya menyumbang kepada pencemaran sungai. Termasuk kilang yang melepaskan sisa buangan terus ke sungai.
"Masalah pengangkutan terutama melibatkan kesesakan di causeway dan jambatan kedua ke Singapura juga isu besar," tambah Dzulkefly.
Selain itu, isu perumahan khususnya RMMJ yang dahulu dikenali sebagai kuota kos rendah yang berharga RM42.000, RM80,000 dan RM150,000. Sehingga kini yang mendaftar secara online untuk dapatkan rumah RMMJ seramai 106,649 tetapi kerajaan negeri hanya dapat menyediakan 60,000 unit menjelang 2020.
"Juga pemilikan hartanah kediaman oleh warga asing diberikan status freehold seperti di Forest City," ujarnya. Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri memfokuskan isu Forest City dalam siri kempennya untuk menjatuhkan PM Najib Razak. Beliau turut turun padang dan bergambar di sana untuk menunjukkan bukti mengenai dakwaannya berkaitan pemilikan kekal hartanah oleh warga asing.
Dzulkefly turut membangkitkan isu Biasiswa Bangsa Johor. "Yayasan Pelajaran Johor pernah menyediakan biasiswa untuk anak Johor belajar di IPTA. Sekarang hanyalah pinjaman. Dengan rezab tunai kerajaan Johor mencecah RM3.43 bilion, biasiswa sepatutnya diwujudkan semula," katanya.
Diminta penjelasan lanjut isu-isu kontroversi mengenai hartanah, Dzulkefly yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor itu menghuraikan kes penipuan dalam pengurangan bayaran premium bagi tanah yang ditukar syarat daripada pertanian kepada kediaman atau industri. Juga penipuan penukaran status lot Bumiputera kepada bukan Bumi.
Isu Forest City 
"Dalam Forest City dikurniakan freehold kepada warga asing khususnya rakyat negara China. Penipuan juga dalam tawaran RMMJ. Rumah tidak sampai kepada golongan sasaran B40 dan M40. Seterusnya, harga rumah terlalu mahal sehingga rakyat tempatan tak mampu beli. Dan kelonggaran kepada pemaju dimanipulasi pihak tertentu untuk dapatkan rasuah," hurainya lagi.
Mengenai sambutan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan, Dzulkefly percaya pengaruh Bersatu dapat memberi impak besar, selain gerak kerja proaktif dan berterusan Amanah.
"Jumlah ahli Bersatu di setiap kawasan Parlimen sekitar 1,000 hingga 2,000 orang dan majoritinya adalah ahli Umno. Program Bersatu dapat tarik crowd Melayu hatta di kawasan Felda terutama bila Tun Dr Mahathir, Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin hadir," katanya.
Sementara pemimpin Amanah lebih mengambil pendekatan berhemah dan menitik-beratkan kebajikan rakyat, terutama pengundi Melayu luarbandar. Antara pendeklatannya, banyakkan dialog santai di kedai makan dengan pimpinan Amanah Johor.
"Kita menamakan pengundi yang ada penyakit kritikal secara percuma dalam Skim Khairat Prihatin Johor (SKPJ). Jika mati waris dapat RM1,000. Juga diwujudkan Kedai Peduli kepada golongan berpendapatan rendah dengan beri barangan keperluan harian secara percuma," tambah Dzulkefly.
(dari kiri) Onn Jaafar dan  Mohd Azam Mektar(dari kiri) Onn Jaafar dan Mohd Azam MektarTurun akar umbi
Pengarah Komunikasi Amanah Negeri, Onn Jaafar pula menekankan keperluan mendekati masyarakat Melayu dan NGO Melayu secara bijaksana. Pertemuan dengan tokoh-tokoh Melayu Johor diatur.
"Kita mesti turun ke akar umbi, hayati dan rasai sendiri masalah kehidupan seharian rakyat yang kian tertekan hari ini. Banyak problem rakyat diketahui hasil aktiviti turun padang ini. Kita akan teruskan program ini," jelas Onn.
Manakala Naib Ketua Pemuda Amanah Johor, Mohd Azam Mektar menjangkakan pada PRU14 rakyat Johor akan membuat kejutan. "Saya dapat bayangkan, di malam keputusan PRU 14 diumumkan, satu persatu keputusan kerusi akan dinantikan penuh debar oleh seluruh rakyat Johor. Gelombang perubahan PRU14 akan bermula dari Selatan," kata Azam. Tapi beliau mengingatkan semua parti pembangkang agar jangan rasa selesa.
"Di saat rata-rata anak muda yang kami temui menyatakan rasa tidak sabar untuk keluar mengundi pada PRU14, kesepaduan, kesepakatan, kerjasama, tolak ansur sesama parti pembangkang harus dipertingkat dan diperkemaskan. Jika tidak, pembangkang akan berputih mata, di saat memiliki peluang terbaik dalam sejarah Johor," ujar Azam, yang juga Pengarah Biro Pilihan Raya Pemuda Amanah Johor.
Peluang anak muda 
Beliau juga mencadangkan agar Amanah memberi laluan mudah kepada anak muda yang berkebolehan untuk menyumbang. "Usah dipersulitkan dengan pelbagai birokrasi. Tenaga muda berbakat walaupun masih baru dalam parti, beru ruang dan peluang untuk maju ke depan. Jangan berkira sangat soal tua atau muda, baru atau lama, tengok macamana DAP meraikan orang baru yang berketrampilan," syor Azam.
Sementara Ketua Wanita Muda Amanah, Anis Afida Mohd Azli bersyukur kerana kewujudan Amanah dan perjuangan parti baru itu sudah mula difahami rakyat, termasuk wanita muda.
"Kempen perlu dipergiat untuk kenalkan Amanah. Sebabnya, bila dikhususkan kepada sokongan terhadap parti ia masih bersifat fragile. Walaupun orang marah dengan kepincangan kerajaan BN, untuk diterjemahkan kepada kertas undi masih tidak dapat dipastikan," terangnya lagi.
Ditanya cabaran utama buat Wanita Muda Amanah, Anis menjelaskan, kita berdepan pengundi wanita muda dari sudut mendapatkan kepercayaan dan keyakinan mereka akan kemampuan Amanah untuk membela mereka.
Anis Afida Mohd AzliAnis Afida Mohd Azli"Sifat seorang wanita terutama Melayu terikat dalam membuat keputusan. Semasa muda terikat dengan keputusan ibu bapa dan selepas berumah tangga terikat dengan suami. Amat sedikit wanita yang berdiri tegak atas prinsip dan kepercayaan terutama dalam pendirian politik. Mereka lebih cenderung untuk melihat pendirian politik ibu bapa dan suami," jelas Anis.
Syor beliau, diperkasakan medium penerangan alternatif terhadap isu rakyat, khususnya melalui media sosial secara maksimum oleh parti untuk menyampaikan maklumat dan membuat pencerahan kepada pengundi.
Justeru, Amanah Johor telah menubuhkan Media Amanah Johor (MAJ) yang diketuai oleh Suhaizan Kayat, Naib Pengerusi Amanah negeri dibantu wartawannya secara sepenuh masa dan berbayar. Antara programnya yang menonjol adalah LIVE BONGKAR, yang disiarkan secara langsung melalui internet. Antara tema yang pernah dibincangkan adalah "pengkhianat hartanah Johor" dan "Rasuah: Najib lawan Khaled".
Dinamika politik Johor 
Sesungguhnya dinamika politik Johor mutakhir ini memang memikat. Ada penganalisis menjangkakan, kalaupun Pakatan Harapan belum dapat menguasai Putrajaya dalam PRU14, tidak mustahil ia dapat mentadbir Nusajaya, pusat pentadbiran kerajaan Johor.
"Kalau tahun lepas ada ura-ura pilihan negeri Johor diadakan berasingan daripada pusat untuk elak kes rasuah mega Najib Razak pengaruhi pengundi, sekarang isu korupsi pemerintahan Khaled Nordun pun sudah cukup untuk menjatuhkan BN Johor," kata penganalisis itu.
Akhbar The Star melaporkan bahawa majoriti wakil rakyat Umno Johor menyatakan sokongan untuk pilihan raya negeri yang berasingan dalam satu komunikasi kumpulan dalaman parti itu. Sokongan itu berpunca daripada kebimbangan akan diseret dengan skandal memalukan Najib yang semakin didedahkan badan-badan antarabangsa serta bagi mencegah pengaruh Muhyiddin di negeri itu.
"Saya kira personaliti Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah, cukup sesuai dengan watak bangsa Johor, yang tidak gemar dengan pendekatan kasar dan mahu melihat hasil berbanding retorika politik. dia aset yang baik untuk Amanah Johor," tambah penganalisis berkenaan.
Rundingan kerusi 
Ditanya soal pembahagian kerusi, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly menjelaskan ia masih dalam rundingan.
"Kerusi Dun Pas dalam PRU13 ada 30, DAP 14 dan PKR 12. Secara purata kalau 56 kerusi dibahagi kepada empat parti maka setiap parti dapat 14 kerusi. Maknanya PKR dan DAP tidak akan memberi kerusi kepada Bersatu. Jadi Amanah perlu melepaskan beberapa kerusi kepada Bersatu. Kemungkinan Amanah akan bertanding kurang daripada 20 kerusi Dun," ujarnya.
"Bagi kerusi Parlimen, andaian awal Amanah diperuntukkan semua kerusi Pas, lapan, DAP enam dan PKR  12. Semua 26 kerusi jika dibahagi empat parti, lebih kurang tujuh kerusi setiap parti. Diharapkan KeADILan dapat berikan beberapa kerusi kepada Bersatu. Dan Amanah confirm perlu lepaskan Parlimen Pagoh kepada Bersatu," tambah Dzulkefly.
Mengenali tiga ketua komponen Pakatan Harapan Johor, iaitu Aminolhuda Hassan (Amanah), Liew Chin Tong (DAP) dan Hassan Karim (PKR), saya yakin proses agihan kerusi akan berjalan lancar. Ketiga-tiga mereka berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama. Penyertaan Bersatu juga memberi nilai tambah yang cukup positif, terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Saya juga tertarik dengan ucapan Chin Tong semasa konvensyen bersama peringkat kawasan Kulai, yang disertai oleh semua empat parti dalam Pakatan Harapan, pada 25 Februari lalu.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kulai menegaskan: "Untuk menghadapi PRU14, gabungan politik Pakatan Harapan + Bersatu memerlukan dasar-dasar kebangsaan serta negeri yang benar-benar memahami dan akur tentang kehidupan serta keperluan pengundi kawasan separa bandar dan luar bandar.
Oleh itu, dasar bersama yang kita akan gubal nanti perlu lebih mendalam, meyakinkan dan benar-benar memahami keadaan serta aspirasi rakyat."

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa