Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, April 6, 2017

Mungkin tidak ramai individu yang berhati mulia begini

'Baru kenal beberapa minit, dia sanggup tawarkan kami sekeluarga tidur di rumahnya'
2:30 PM  Santai
Terima kasih dari kami sekeluarga kepada pegawai polis bertugas di Balai Polis Sungai Dua, Seberang Prai pada 23-24/3/2017. Maaf, saya terlupa tanya nama pegawai berkenaan, tetapi dia membahasakan dirinya sebagai Pak Teh dengan anak-anak saya dan dia berasal dari Sik, Kedah. 

Untuk makluman, sebelum itu kami dalam perjalanan dari Perlis ke Johor Bahru. Tayar kereta kami pecah di KM110, Lebuhraya PLUS pada jam 11.35 malam, 23 Mac lalu.

Kereta ditunda ke sebuah kedai tayar berdekatan Balai Polis Sg Dua pada jam 1.55 pagi, 24 Mac. Kereta kami tidak dibekalkan dengan tayar ganti bagi membolehkan kami menukar tayar yang pecah untuk kegunaan sementara.

Kami dimaklumkan oleh seorang pakcik Cina yang kebetulan lalu di situ bahawa, kedai tayar tersebut mula beroperasi pada jam 10 pagi. Malah, tiada hotel di kawasan berdekatan, hanya ada beberapa homestay. Namun dalam waktu yang sudah lewat pada ketika itu, adalah mustahil untuk menghubungi pengusaha homestay. 

Dengan lima orang anak yang berumur antara 10 hingga 16 tahun, rasa agak kurang selesa untuk duduk menunggu di dalam kereta. Lalu suami mencadangkan kami menumpang tidur di masjid berdekatan. Tetapi kebiasaannya pada waktu lewat begitu, masjid telah dikunci. 

Sementara memikirkan perancangan seterusnya, kami pergi ke balai polis berdekatan untuk menumpang bilik air. Setibanya di balai polis, ada dua orang pegawai yang bertugas bertanyakan masalah kami. 

Selesai menggunakan bilik air, salah seorang pegawai berkenaan menawarkan kami bermalam di rumahnya. Kami agak terkejut dan kurang percaya sedangkan kami baru kenal pegawai itu hanya beberapa minit dan dia sanggup membenarkan kami menumpang di rumahnya. Sungguh mulia hati budi beliau. 

Sebelum pergi ke rumahnya, beliau terlebih dahulu memeriksa kenderaan kami bagi memastikan kereta selamat untuk ditinggalkan di situ. Kami bukan sahaja menumpang tidur di rumahnya, beliau turut membekalkan makanan untuk kami sekeluarga. 

Urusan penggantian tayar selesai pada jam 11.45 pagi, 24 Mac dan kami bertolak ke Johor Bahru jam 12 tengah hari. 

Jutaan terima kasih buat Pak Teh, segala budi baik tuan, hanya Allah yang dapat membalasnya. Amat bertuah Polis Diraja Malaysia mempunyai pegawai yang baik seperti ini. 

Selamat Hari Polis ke-210 kami ucapkan dan semoga pihak tuan sukses selalu di dalam apa jua perkara. Terima kasih, sekalung tahniah. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa