Jamil Khir
$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU - Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan hura-hara perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan setiap keputusan dibuat tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Majlis fatwa sudah putuskan (haram menyertai demonstrasi yang mencetuskan huru-hara). Jadi, kita serahkan kepada Majlis fatwa kerana ia (jawatankuasa) dilantik oleh raja-raja," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran sempena penganjuran Karnival Al-Hijrah peringkat negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Hijrah Media Corporation Bukhari Che Muda.

Dipetik Bernama, Jamil Khir mengulas keputusan muzakarah jawatankuasa berkenaan yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undangan-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Jamil Khir berkata beliau juga melihat tindakan pemimpin Pas mempertikaikan keputusan jawatankuasa berkenaan sebagai perkara biasa dalam politik.