Pengarah Shuhaimi Baba menegaskan, filem terbarunya Tanda Putera tidak pernah dibuat untuk membodek Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, tegas Shuhaimi, ia hanya memaparkan sejarah persahabatan dan perjuangan perdana menteri kedua Tun Abdul Razak - yang juga bapa Najib - dan timbalannya Tun Dr Ismail.
NONE"Tun Razak dan Tun Dr Ismail adalah perdana menteri dan timbalan perdana menteri pada masa itu.

"Kita kena terima fakta itu walaupun mereka datangnya daripada Umno. Kalau pun mereka datang daripada parti lain itu juga satu fakta.

"Ini bukan soal bodek, kita ada orang lain yang kita boleh bodek kalau kita mahu," kata Shuhaimi pada sidang media di Petaling Jaya petang tadi.

Penerbit eksekutif filem itu, Aida Fitri Buyong memberitahu bahawa wakil keluarga terdekat kedua-dua tokoh itu ada dirujuk sewaktu filem itu disiapkan.

"Filem ini memang ada konsultan untuk dua pihak keluarga iaitu Tun Dr Ismail dan Tun Razak," kata Aida. 

Beliau bagaimana pun menolak tanggapan bahawa ia diterbit dan ditayangkan hampir dengan pilihan raya untuk membantu kempen dan propaganda pemerintah.

Katanya, mereka telah mendekati Perbadanan Filem Nasional (Finas) selama hampir dua tahun untuk mendapatkan dana.

Jika filem itu berjaya disiapkan lebih awal dan ditayangkan pada tahun lepas pastinya tidak akan wujud tuduhan sedemikian rupa, kata Aida.

"Kami buat filem dan kami bukannya organ propaganda yang dituduh-tuduh itu," tambah pengarahnya, Shuhaimi Baba.

Kedua-dua mereka juga tidak menolak untuk menerbitkan filem sejarah jika didekati mana-mana pihak termasuk Pakatan Rakyat sekalipun.

"Kalau ceritanya bagus kenapa tidak, kita ada terima bermacam-macam cerita dan kita perlu pilihlah," kata Shuhaimi dan dipersetujui Aida.

Mengulas permintaan Pakatan Rakyat agar filem itu ditayang kepada mereka untuk penilaian semula, Aida menjelaskan majlis pra-tonton tidak dapat dilakukan untuk semua pihak kerana kosnya yang tinggi.

Namun beliau tidak keberatan untuk mengadakan tayangan peribadi jika Pakatan Rakyat, mahupun pihak-pihak lain seperti kolej, universiti atau organisasi swasta bersedia menampung kos tersebut. - mk