Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa temu bual Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan badan penyiaran British, BBC, mengenai undang-undang berkaitan homoseksual yang disiarkan pada 12 Jan lepas, membawa maksud supaya menghalalkan kegiatan itu.

Bekas Exco kerajaan negeri Selangor itu berkata temu bual itu juga membawa maksud ia menyokong kegiatan homoseksual.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam N.Surendran yang mewakili Anwar, beliau tidak bersetuju bahawa temu bual itu bermaksud tidak menyokong kegiatan homoseksual tetapi menyokong institusi perkahwinan antara lelaki dengan wanita.

Surendran: Cuba lihat ayat pertama dalam temu bual itu "We will have to review archaic laws and we, Muslims and non Muslims generally believe and committed to support the sanctity of marriage between man and woman in Malaysia", adakah ayat itu meminta supaya kegiatan homoseksual dihalalkan?

Hasan: Ya.

Ketika ditanya peguam itu sama ada jawapan Anwar dalam temu bual itu "We do no promote homosexuality in public sphere and domain" bermakna ia menyokong kegiatan homoseksual, Hasan menjawab "Ya".

Hasan, saksi defendan pertama,  berkata demikian pada perbicaraan kes saman Anwar terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak berhubung artikel mengenai komen Anwar bersama BBC mengenai undang-undang berkaitan homoseksual.

Pada 20 Jan lalu, Anwar memfailkan saman fitnah itu bagi menuntut ganti rugi RM50 juta, atas dakwaan telah menerbitkan dua artikel di muka hadapan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Jan tahun ini berhubung temu bualnya bersama BBC.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Utusan Malaysia, bahawa perkataan 'review archaic laws, punitive, punishment not relevant dan public spehere and domain' membawa maksud kegiatan homoseksual boleh dihalalkan, Hasan berkata pada bacaannya ia bermaksud menghalalkan kegiatan homoseksual.

Selepas Hasan selesai diperiksa semula oleh Firoz, Hakim Datuk V.T.Singham yang mendengar perbicaraan itu mengemukakan satu soalan kepada Hasan sama ada beliau ada membuat sebarang penjelasan dengan Anwar apakah maksud temu bual itu sebelum membuat kenyataan itu kepada media dan Hasan menjawab "Tidak"

Singham: Kenyataan itu dibuat atas tafsiran anda?

Hasan: Betul.

Firoz kemudianya meminta Hasan menjelaskan mengapa beliau tidak meminta penjelasan Anwar mengenai maksud temu bual itu.

Hasan menjawab beliau tidak berbuat demikian kerana ketika sidang akhbar bersama media itu ianya berlaku secara  "impromptu" (tanpa persediaan) dan beliau tidak menyangka mengenai soalan itu.

Beliau juga berkata sekiranya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media, beliau perlu membuat penjelasan daripada mereka yang membuat kenyataan, maka beliau perlu menghubung ramai orang.

Ketua Pengarang Utusan, Abdul Aziz dalam keterangannya menafikan bahawa wujudnya campur tangan pihak lain terutama parti pemerintah dalam penerbitan artikel itu dalam akhbar Utusan Malaysia.

"Tidak pernah ada sebarang campur tangan dalam urusan operasi atau arahan kepada jabatan pengarang dalam penyiaran artikel. Jabatan pengarang menyiarkan artikel berdasarkan pertimbangan editor yang bertugas," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Firoz.

Abdul Aziz, saksi defendan ketiga, juga berkata akhbar itu bertanggungjawab untuk menyiarkan perkara yang benar dan bukan lahir untuk menyiarkan perkara yang tidak benar.

Menjawab soalan Surendran ketika diperiksa balas, Abdul Aziz menafikan bahawa ada wakil Umno yang menjadi ahli dalam lembaga pengarah Utusan Melayu campur tangan dalam urusan operasi harian jabatan pengarang.

Abdul Aziz juga tidak bersetuju dangan cadangan Surendran bahawa Utusan Malaysia hanya menyiarkan berita positif mengenai parti pemerintah tetapi menyiarkan berita negatif bagi parti pembangkang.

Beliau juga menafikan akhbar itu dari tahun 1998 iaitu sejak Anwar meninggalkan parti pemerintah, tidak pernah menyiarkan berita positif mengenainya.

Bagaimanapun kepada satu soalan lain Surendran, Abdul Aziz berkata beliau bersetuju bahawa Utusan Malaysia tidak memberikan liputan yang seimbang mengenai parti pemerintah dan pembangkang.

Perbicaraan bersambung 23 Okt ini. - mk