Siapa yang jahat dan tidak beretika?
Inkuiri Suhakam: Polis serang perusuh, tahan wanita dan kanak-kanak ketika demo Bersih
Oleh Thanusya Shanmuganathan
15 Ogos 2012
KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
(Suhakam) hari ini diberitahu antara 15 hingga 20 anggota polis memasuki
kawasan Hotel Swiss di sini pada 28 April dan menahan orang ramai
termasuk wanita dan kanak-kanak yang berlindung daripada terkena
tembakan gas pemedih mata dan meriam air.
Selamat Abul Hamid, 42, juruteknik syarikat swasta dari Batu Pahat
berkata kepada tiga panel diketuai Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw
Lake Tee bahawa anggota polis memasuki kawasan hotel berkenaan dan
mengarahkan semua orang keluar.
Menurut Selamat, beliau dan isteri termasuk anaknya pergi ke hotel
berkenaan bagi menunaikan solat selepas membeli belah di Sogo.
Beliau menambah niatnya untuk menyertai Bersih, bagaimanapun pada hari itu beliau memakai baju T putih.
“Saya terlupa membawa baju kuning,” katanya.
Jelas Selamat, beliau cuba untuk membuka pintu dan meninggalkan hotel
namun terhidu gas pemedih mata, dan sekelip mata, anggota polis
memasuki premis dan membelasah mereka.
Kami disepak dan diterajang. Polis tidak memakai uniform atau tag nama. Kakitangan hotel bagaimanapun tidak diapa-apakan.
“Isteri dan empat anak berusi tiga dan 17, ada bersama saya. Kami diiringi polis ke Dataran Merdeka.
“Anak-anak saya tetap tenang dan tidak menangis,” katanya. Beliau
mendakwa beberapa anggota polis wanita turut menyertainya dan mengiringi
isterinya dan anaknya.
“Bila kami sampai di Dataran Merdeka, anggota polis menjerit ke arah kami dan mengatakan kami “ibu bapa tak guna.”
Jelas Selamat, beliau dan keluarganya di bawa ke Pusat Latihan Polis Jalan Semarak (Pulapol) dan diberi makanan dan minuman.
“Saya dipisahkan daripada isteri dan dua anak perempuan sementara
anak lelaki saya ada bersama saya. Anggota polis turut mengambil gambar
kami, termasuk isteri dan anak-anak saya.”
“Walaupun kami ditahan bersama lebih 50 yang lain, ia sama seperti pergi berkelah,” katanya.
Selamat dan keluarganya dibebaskan tengah malam kemudian.
“Saya rasa jika saya buat laporan, tiada tindakan akan diambil.
“Saya tak rasa ia salah untuk menyertai perhimpunan. Salah polis yang menahan saya dan isteri,” katanya.
Selain itu, dua hari sejurus insiden berkenaan, anak keduanya meracau “Keluar, keluar”. “Saya rasa dia trauma.”
Ketika sidang media, Dr Khaw berkata Suhakam telah menghantar surat
kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memohon pegawai bertugas pada
28 April itu untuk memberikan keterangan mereka.
Panel berkenaan juga akan menyiasat tuduhan National Union of
Journalists (NUJ) bahawa terdapatnya taklimat berkenaan kejadian
tersebut oleh pihak polis kepada petugas media.
“Kami akan mendengar daripada penganjur Bersih dan akan melakukan
lawatan ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat dengan
lebih dekat dawai duri yang digunakan ketika perhimpunan tersebut,”
katanya lagi.
Inkuiri bersambung pada 10 September.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa