Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuduhan beliau pernah menentang pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang asing di Sabah pada tahun 1994. 

Anwar menyifatkan ia tidak berasas dan dilemparkan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang bertindak sebagai "alat rendah dan murah Umno untuk menyerang Pakatan Rakyat".

"Kita tidak boleh pandang berat sangat tuduhan ini. Chua Soi Lek ini hanya alat rendah Umno apabila pimpinan Umno tak bersedia menyerang PAS atau DAP," kata Anwar.

Penubuhan RCI diumumkan perdana menteri 11 Ogos lalu bagi menyiasat masalah pemberian kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah.

Ia telah lama dituntut Pakatan Rakyat yang mahu Projek IC - dakwaan pemberian kewarganegaraan secara tidak sah tetapi sistematik di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri - disiasat secara teliti.

Ia didakwa digerakkan untuk mengubah demoghrafi kaum dan agama bagi mengukuhkan sokongan terhadap BN di Sabah -  satu tuduhan yang telah dinafikan Mahathir.

Menurut Anwar, penubuhan RCI akan membuktikan beliau tidak pernah terlibat dalam pendaftaran kewarganegaraan sewaktu berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri.

"Anda boleh sahkan fakta bahawa saya tidak pernah terlibat dalam dalam kes pendaftaran kewarganegaraan, di semenanjung dan Sabah dan Sarawak," katanya tegas.

Malah, beliau turut mencabar tuduhan itu disiasat secara terbuka dan beliau sendiri sedia memberi kerjasama penuh membantu siasatan. 

"Sepanjang kuasa saya selaku menteri dan timbalan perdana menteri, tugas ini tidak pernah diserah kepada saya dan saya tidak pernah dibawa ke dalam mesyuarat melibatkan keputusan ini.

"Saya hanya faham ini di bawah Majlis Keselamatan Negara dan di bawah unit khas di bawah perdana menteri," kata Anwar selepas solat terawih di kediaman menteri besar Selangor malam tadi.

Mengulas tuduhan kumpulan pendesak PERKASA yang beliau merupakan ahli kumpulan Freemason, Anwar menyifatkan ia dibuat presiden PERKASA, Ibrahim Ali bagi mendapatkan dana pilihan raya daripada pihak tertentu.

"Dia ini dua beradik dengan Chua Soi Lek daripada cara dia bercakap. Saya biar dulu dia pukul gendang maklumlah keperluan dana pilihan raya.

"Kalau nyata tohmahan itu fitnah, sebagai seorang Muslim, hentikan fitnah jahat ini dan ikut jalan lebih lurus," kata Anwar. - mk