Sedangkan, istilah seperti "tokong" itu merupakan "sanjungan dan penghormatan rakyat Pulau Pinang", katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Perkataan seperti sombong, angkuh dan tokong telah dipetik di luar konteks bertujuan untuk memberi gambaran yang buruk tentang hubungan PKR dan DAP.
"Sebagai contoh, perkataan tokong sebenarnya merujuk kepada sanjungan dan penghormatan rakyat Pulau Pinang kepada ketua menteri," katanya.

Beliau mengulas laporan berhubung kenyataannya dalam satu dokumen didakwa minit mesyuarat strategik PKR negeri yang turut dinafikannya.

"Saya ingin menegaskan, tidak ada mesyuarat strategik parti sepertimana yang dilaporkan", katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa satu pertemuan telah diadakan "antara sekumpulan ahli PKR dengan pengerusi perhubungan negeri."

"Perbincangan tidak rasmi ini berpusat kepada hal-hal parti dan perkara berkaitan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Jadi tidak ada minit mesyuarat tersebut," katanya, merujuk kepada transkrip yang disiarkan di satu laman blog yang disifatkannya sebagai laman "anti-PKR", gelagatanwar.wordpress.com pada Jun lalu.

Katanya, tindakan merakamkan perjumpaan berkenaan dan menyiarkannya di laman tersebut dilakukan dengan tujuan jahat bagi "merosakkan jalinan kerjasama dan hubungan baik antara PKR dan DAP."


Mansor membacakan kenyataan itu sepenuhnnya dalam satu sidang media yang turut dihadiri Lim di Pulau Pinang hari ini.