dikemaskini 12.30am Keputusan tidak rasmi sehingga tengah malam ini, menunjukkan Khairy Jamaluddin memperolehi 115 undi manakala Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat 98 undi dan jauh mendahului pencabar mereka bagi jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Umno Malaysia.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi itu, Khairy dan Shahrizat mengekalkan jawatan masing-masing. Mas Ermieyati Samsudin pula mendahului persaingan jawatan ketua Puteri.

Sementara itu, Khairy dan calon-calon utama yang lain mula berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana pengumuman keputusan rasmi pemilihan tiga sayap Umno itu dibuat sejak petang tadi,

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak juga hadir dengan ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Khairy dijangka menang selesa untuk mengekalkan jawatannya itu.

Pada jam 11 malam tadi, Malaysiakini difahamkan Khairy sudahpun memperolehi 115 undi daripada 191 bahagian Umno manakala empat pencabarnya masing-masing gagal mendapatkan sebarang undi.

Khairy hanya memerlukan 96 untuk menang mudah dan Khairy dijangka mengutipkan lebih banyak undi apabila proses pengiraan dan penjumlahan selesai.

Empat lagi calon yang bersaing untuk jawatan ketua Pemuda ialah Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali.

Khairy yang berpakaian Baju Melayu, tiba PWTC bersama isterinya sekitar jam 9.50 malam..

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan jawatan ketua Wanita Umno untuk penggal kedua.

Berdasarkan kepada jumlah undi tidak rasmi yang diperolehinya sehingga ini, beliau berada jauh di hadapan dua pencabarnya, iaitu Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman Palestin.
.
Malaysiakini difahamkan Shahrizat telah memperolehi 96 undi untuk menang dengan majoriti mudah. Beliau tiba di PWTC dengan ditemani suaminya, Datuk Mohamad Salleh kira-kira jam 10:35 malam.

Bagi Puteri Umno pula, Mas Ermieyati Samsudin dijangka bakal memenangi jawatan ketua pergerakan itu. Pencabarnya ialah Jamilah Hanim Othman.

Mas Ermieyati tiba di PWTC bersama para penyokongnya kira-kira jam 10.15 malam.
Keputusan rasmi sehingga ini adalah seperti berikut. Jumlah undi tidak rasmi dalam kurungan.

WANITA

Ketua Wanita: 

1. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil       : 35 undi (98)
2. Raihan Suleiman Palestin                :  1 undi (1)
3. Datuk Maznah Mazlan                    :  1 undi (3)
    
Naib Ketua Wanita:
    
1. Datuk Azizah Mohd Dun                 : 26 undi (54)
2. Datuk Suraya Yaacob                    :  9 undi (12)
    
PEMUDA
    
Ketua Pemuda:

1. Khairy Jamaluddin                                        : 34 undi (115)
2. Syed Rosli Syed Harman                            : 0 undi
3. Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi   : 0 undi
4. Irwan Ambak Khalid Izhar                     : 0 undi
5. Abd Karim Ali                                    : 0 undi
    
Naib Ketua Pemuda:
1. Khairul Azwan Harun          : 14 undi (64)
2. Mohamad Iruan Zulkefli      : 6 undi (10)
3. Jamawi Jaafar                  : 8 undi (22)
4. Lokman Noor Adam            : 3 undi (4)
        
PUTERI

    
Ketua Puteri:

1. Mas Ermieyati Samsudin             : 37 undi (83)
2. Jamilah Hanim Othman               :  12 undi  (26)
    
Naib Ketua Puteri:
    
1. Zahida Zarik Khan                   : 28 undi (56)
2. Norsabrina Mohd Nor                : 15 undi (31)
3. Nazliah Ali                              : 7 undi (17)

Sehingga 9.30 malam ini, keputusan rasmi menunjukkan dua lagi calon ketua Wanita - Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Sulaiman belum mendapat sebarang undi. Bagaimanapun, keputusan tidak rasmi menunjukkan Maznah mendapat undi pertama dari bahagian Cheras, diikuti bahagian Jerantut dan Rompin.

Sementara itu, wakil kepada seorang calon yang bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno memberitahu Malaysiakini bahawa sehingga jam 8.45 malam ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan Khairul Azwan Harun mendapat 64 undi.Manakala keputusan tidak rasmi bagi calon-calon lain ialah Jamawi mendapat 18 undi, Mohamad Iruan (6) dan dan Lokman (3)