Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, March 15, 2014

Kapten Zaharie: seorang profesional sejati dan insan yang dihormati



 

Cecilia Jeyanthi Victor05:30PM Mac 14 2014

KOMEN: Kapten Zaharie Ahmad Shah telah disifatkan oleh sahabat handai dan rakan sekerjanya sebagai lelaki sejati – baik hati, berdedikasi, setia dan bersemangat.
Tiada keraguan bahawa Zaharie sangat dihormati, semua yang mengenali beliau dan pernah bekerja dengannya menyatakan yang beliau seorang yang profesional dan sangat serius terhadap kerjanya. Beliau telah berkhidmat dengan Malaysia Airlines selama lebih dari tiga puluh tahun.
Bagi Zaharie, 8 Mac adalah hanya satu hari yang sama dengan hari yang lain, menghantar penumpang dari Kuala Lumpur ke destinasi mereka, Beijing dengan selamat. Tetapi penerbangannya kali ini tidak pernah tiba ke destinasi.
Kehilangan penerbangan MH370 telah menghairankan banyak pihak, dan sewaktu operasi mencari yang melibatkan pelbagai negara sedang dijalankan, masih tiada bukti dapat dijumpai.
Kata-kata terakhir Zaharie adalah “Okay, Roger. Good Day” kepada kawalan udara lapangan terbang Subang, sebelum penerbangan itu ditukar kepada kawalan bandar Ho Chi Minh.
Walaupun teknologi membolehkan pesawat dikawal oleh auto-pilot, pengalaman dan kepakaran juruterbang masih diperlukan. Ini dimiliki Zaharie, dan pakar penerbangan sendiri telah menolak kemungkinan berlakunya kesilapan juruterbang.
Juruterbang yang berumur 53 tahun ini mula berkhidmat sebagai juruterbang pada umur 20 tahun. Rakan sekerja beliau menyifatkan Zaharie sebagai seorang peminat penerbangan, juruterbang yang berkemahiran dan rakan sekerja yang ceria.
Seorang kapten yang telah mengenalinya buat 25 tahun menyatakan yang Zaharie disenangi ramai pihak.
“Saya telah banyak kali menjadi pembantu juruterbang kepadanya. Dia juruterbang yang bagus – sangat profesional,” jelas seorang bekas rakan sekerja Zaharie.
Menurut sebuah laporan Wall Street Journal, Zaharie dilahirkan pada 31 Julai 1961 di Pulau Pinang. Sewaktu muda, beliau gemar bermain bolasepak dan sorang pelajar yang pintar dan cemerlang dalam matapelajaran Fizik dan Kimia, menurut rakan-rakan sekelasnya.
Rakan sekerja dan sekelasnya, Kapten Mohamad Goh memiliki banyak kenangan manis bersama Zaharie, dan menjelaskan bahawa Zaharie mengagumkan ramai orang, dan ini memberikannya peluang yang cerah dalam kerjayanya bersama MAS.
Beliau memiliki pengalaman penerbangan sebanyak 18,360 jam sepanjang 33 tahun beliau berkhidmat sebagai juruterbang, dan telah menjadi mentor kepada ramai juruterbang model Boeing 777-200 ER MAS pada masa ini.
Goh menjelaskan yang Zaharie memiliki hobi yang menarik. Beliau sangat gemar mengumpul model kapalterbang dan helikopter, sehinggakan beliau membina sebuah simulasi penerbangan Boeing 777 hanya menggunakan barangan komputer yang beliau beli di kedai komputer.
“Ia memakan kos yang tinggi. Dia binanya sedikit demi sedikit, dengan skrin besar dan macam-macam lagi,” jelas Goh.
Pada 2010, Zaharie membuka akaun YouTubenya sendiri, di mana dia berkongsi pengetahuannya dalam bidang teknikal dan mekanikal.
Beliau telah memuatnaik beberapa video tips bagi membaiki beberapa peralatan elektrik seperti alat penghawa dingin.
Video-video ini telah mendapat banyak penonton yang mempelajari tips yang diberikan beliau.
Ramai juga pengguna telah memuji Zaharie di laman sosial. Seorang daripada mereka, Sarah Sri Moganapriya menulis bagaimana Zaharie menolongnya menghilangkan ketakutan menaiki pesawat, sewaktu dia berumur 12 tahun.
“Suaranya yang penuh keyakinan dan ketenangan masih terngiang-ngiang di telinga saya…memberikan mesej di interkom, menyambut penumpang, dan memberitahu penumpang mengenai cuaca,” ujar Sarah, yang sekarang berumur 27 tahun, kepada media tempatan.
Sewaktu beliau berumur 18 tahun, Sarah sekali lagi bertemu dengan juruterbang kegemarannya ini apabila beliau bekerja sebagai penyelia penyelenggaraan di lapangan terbang Changi di Singapura.
“Dia masih lagi seperti sebelum itu, ceria.
“Saya doakan yang beliau kembali, itu sahaja yang saya mahukan sekarang,” tambah Sarah.
Tidak seperti Sarah, saya tidak mengenali Zaharie secara profesional, tetapi dari apa yang saya dengari mengenai beliau, Zaharie adalah seorang lelaki yang baik dan seorang profesional sejati.
Saya yakin yang beliau dan pembantu juruterbangnya, Fariq Abdul Hamid telah melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan penumpang mereka.
Terlalu banyak spekulasi dan teori telah timbul mengenai kehilangan misteri pesawat ini, tetapi tiada sesiapa yang dapat betul-betul memahami beban berat yang ditanggung ketua penerbangan ini.
Zaharie, saya mendoakan yang anda, penumpang dan anak-anak kapal anda akan pulang. Saya tak dapat membayangkan perasaan keluarga anda sekarang. Mereka ada dalam doa dan ingatan saya.
Di mana pun anda berada, semoga Tuhan berada bersama-sama dengan anda.

2 comments:

  1. Allah SWT sentiasa melindungi kapten zaharie. Mudah2an. Amin.

    ReplyDelete
  2. Yang saya harapkan beliau kembali kepada kita dengan selamat.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa