KUALA LUMPUR 3 Dis. - RM40,000! Itulah jumlah sogokan yang didakwa diberikan kepada segelintir pegawai Jabatan Perhutanan bagi mendapatkan laporan teknikal supaya proses permohonan lesen oleh syarikat pembalakan diluluskan tanpa perlu mengikut prosedur ditetapkan.
Sumber mendakwa, pegawai yang bertanggungjawab meluluskan permohonan itu hanya perlu menyerahkan laporan teknikal sebelum lesen pembalakan dikeluarkan Jabatan Perhutanan dengan segera.
Dakwa sumber itu lagi, kegiatan pembalakan haram yang dilihat semakin berleluasa di beberapa negeri seperti tidak akan dapat ditangani selagi terdapat segelintir pegawai Jabatan Perhutanan bekerjasama dengan sindiket.
“Kerjasama antara penguat kuasa dan sindiket bukan setakat mengeluarkan laporan teknikal sahaja, mereka juga turut membiarkan syarikat terbabit menjalankan aktiviti haram dengan menebang pokok di luar kawasan dan membina laluan tanpa mengikut pelan yang ditetapkan.
“Selain itu, sesetengah pegawai perhutanan yang menerima sogokan juga membocorkan maklumat jika mana-mana agensi berkaitan ingin menjalankan operasi,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, sumber tersebut mendakwa, selain penglibatan pegawai Jabatan Perhutanan, anggota renjer yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan hutan juga bersubahat dengan melindungi aktiviti haram tersebut.
Katanya, renjer yang bersubahat menerima sekurang- kurangnya RM10,000 dengan menyembunyikan aktiviti penyelewengan di dalam hutan seperti melakukan penebangan tanpa lesen dan tidak mendaftar pekerja serta jentera.
“Berdasarkan siasatan agensi tertentu sebelum ini ia membuktikan adalah mustahil pegawai perhutanan atau renjer terlibat tidak mengetahui kegiatan haram yang berlaku dan lebih malang lagi sesetengah depoh yang bertanggungjawab mengawasi setiap kegiatan pembalakan juga tidak berintegriti kerana membiarkan sindiket melakukan pembalakan haram,” katanya.
Dengan memberi contoh kejadian di Batu Gajah, Perak, sumber berkata, syarikat haram yang dipercayai dimiliki warga tempatan itu beroperasi hampir tujuh tahun di ladang kelapa sawit.
“Syarikat itu bukan sahaja menjalankan pembalakan tanpa kebenaran tetapi melakukan kerja pengilangan dan memproses kayu balak secara haram,” katanya.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, kegiatan pembalakan haram semakin meningkat berikutan permintaan terhadap bekalan yang bertambah dari semasa ke semasa.
“Sindiket menjualnya dengan harga jauh lebih murah berbanding harga di pasaran. Contohnya, harga kayu cengal jika dibeli di pasaran sah harganya RM1,700 hingga RM3,000 satu tan, tetapi sindiket menjualnya pada harga RM1,200 hingga RM1,300 sahaja.
“Begitu juga dengan kayu meranti, sindiket akan menjualnya dengan harga antara RM1,300 berbanding pasaran sah, RM2,000. Kadangkala, kilang yang mempunyai lesen juga membeli kayu secara gelap sebab harganya murah dan menjual semula pada harga tinggi,” katanya.
# Ini bukan perkara baru, bahkan dah lama jadi buah mulut. Tinggal lagi kerana nak cari makan mereka yang terlibat terpaksa menerimanya.
Arwah Abang aku dan juga seorang Arwah kawan aku yang bergelar Datuk dari Perak terlibat dalam industri balak ni banyak bercerita tentang duit bawah meja dari pegawai perhutanan sehinggalah buruh yang menanda kayu di dalam hutan.
Kepimpinan melalui teladan. Yg berjawatan tinggi habuannya besar dan yg berjawatan rendah kecillah habuannya. Ada tu tetap ada. Jika terkantoi pun, biasanya yg berjawatan rendah itulah.
ReplyDelete