Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, December 23, 2014

Saya rasa mereka tidak tahu apa yang mereka cakapkan,” - Musa

Ahli politik guna isu kaum dan agama ialah ahli politik bankrap, kata Musa Hitam
Astro Awani |Kemas kini:Disember 22, 2014
(Diterbitkan pada: Disember 22, 2014 11:00 MYT)

Ahli politik guna isu kaum dan agama ialah ahli politik bankrap, kata Musa Hitam
Musa mengakui puak ektremis wujud di negara ini namun apabila mereka melampaui batas tertentu, tindakan tegas perlu diambil. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pendekatan sederhana dan liberal adalah kaedah terbaik untuk masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk menghidupkan keterbukaan dan demokrasi namun kebebasan bersuara tanpa had perlu dikawal serta diambil tindakan.

Buah fikiran itu disampaikan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, seperti yang dilaporkan akhbarThe Star.

“Malaysia secara asasnya dibentuk dalam acuan kesederhanaan dan liberal dan ini adalah satu-satunya cara masyarakat daripada latar kepercayaan berbeza mampu menjalin hubungan sejati antara satu sama lain,” kata beliau.

Menurut Musa, UMNO sebenarnya berpegang pada teras kesederhanaan sejak negara ini meraih kemerdekaan namun pada hari ini, pandangan melampau yang berasaskan sentimen kaum dan agama telah disalah guna oleh ahli politik.

“Ahli politik yang menggunakan isu kaum dan agama untuk meraih sokongan ialah ‘ahli politik bankrap’. Proses tersebut sekarang ini masih berlangsung dan ia semakin meruncing.

“Adakalanya, saya mendengar beberapa tokoh politik peringkat tinggi yang menyatakan bahawa kesederhanaan dan liberalisme adalah berbahaya. Saya rasa mereka tidak tahu apa yang mereka cakapkan,” ujar beliau.

Dalam temu bual berkenaan, Musa turut mengulas tentang semakin ramai ahli politik yang mahu menjadi pemimpin agama dan juga semakin ramai pemimpin agama mahu menjadi ahli politik.

Golongan tersebut, menurut beliau, terjadi atas persaingan populariti berdasarkan persepsi dan pemahaman dalam kelompok masyarakat di mana tokoh tersebut mahukan sokongan.

“Tragedi 13 Mei adalah insiden yang terjadi hasil daripada percubaan mendapatkan sokongan menggunakan isu-isu kaum dan agama. Kita patut belajar daripada insiden berkenaan, namun selepas bertahun-tahun lamanya, kita seolah-olah kembali ke zaman itu,” luah Musa.

Musa walau bagaimanapun percaya bahawa dalam tempoh sedekad lalu, Malaysia telah berganjak daripada ‘sistem demokrasi yang ketat’ kepada amalan demokrasi yang lebih terbuka. Sejak diperkenalkan konsep itu, toleransi dan kebebasan telah membantu dalam penyuburan demokrasi dalam kalangan masyarakat.

Keterbukaan itu, menurut Musa, telah menyebabkan orang ramai meluahkan perasaan, prejudis dan juga kemarahan yang selama ini terpendam. Percambahan pandangan, temasuk yang ekstrem tentang isu kaum dan agama juga terjadi. Itulah hakikat kehidupan di Malaysia yang kita perlu cerminkan.

“Begitupun, kebebasan tanpa batas menjadikan anda ektremis. Kebebasan dengan had tertentu menjadikan anda sederhana. Dalam usaha meletakkan had bukan bermakna golongan itu dihapuskan. Jika begitu, anda sudah menjadi ekstremis.

“Ia berbalik kepada kepimpinan,” kata Musa yang mengakui puak ektremis itu wujud di negara ini namun apabila mereka melampaui batas, tindakan tegas perlu diambil dalam konteks undang-undang, keadilan dan kesaksamaan.

Tokoh berusia 80 tahun yang berundur dari jawatan kedua tertinggi kerajaan pada tahun 1986 itu turut menzahirkan rasa gembira dengan kenyataan yang dibuat oleh 25 personaliti Melayu melalui surat terbuka baru-baru ini.

“Saya perlu ingatkan Melayu ektremis yang membantah kesederhanaan dan liberalisme bahawa 25 individu tersebut telah berkhidmat untuk negara dan menjadi kebanggaan ramai.

“Bagi saya, pendirian mereka itu bagus dan mereka telah melebarkan ruang pemikiran dan membuka perdebatan serta perbincangan,” ujar Musa.

1 comment:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa