OLEH MELATI A JALIL
Published: 23 December 2014
Datuk Mahfuz Omar berkata PAS dan DAP 'setuju untuk tidak bersetuju' mengenai hudud sejak zaman mendiang Karpal Singh. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 23 Disember, 2014.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar percaya isu hudud tidak akan menyebabkan perpecahan antara PAS dengan Pakatan Rakyat (PR), selepas parti Islam itu dilihat serius ke arah pelaksanaan undang-undang tersebut.
Mahfuz berkata PAS dan DAP "setuju untuk tidak bersetuju" mengenai hudud sejak zaman mendiang Karpal Singh.
"Saya tak rasa hudud mampu memecahbelahkan PR. Kita dah capai persetujuan sebelum ini, semasa Karpal Singh masih hidup kita sudah capai konsensus bersetuju untuk tidak bersetuju," kata dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.
"PAS terima bahawa DAP tidak bersetuju dengan isu hudud. Maknanya persetujuan itu kita hormat antara satu sama lain.
"Ini demokrasi yang dicapai PR. Seperti suami isteri mesti ada perkara yang tidak dipersetujui, tetapi masih boleh tinggal sebumbung, tiada masalah.
"Kita masih menunggu tarikh menunggu mesyuarat PR seperti yang dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal Januari," katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan Kelantan mengatur pertemuan dengan pihak berkepentingan bagi menjelaskan pindaan undang-undang tersebut.
"Saya harap kerajaan Kelantan boleh berkongsi dan mengadakan pertemuan beri penjelasan tentang pindaan itu.
"Ini hanya pindaan undang-undang kepada enakmen sedia ada, bukan enakmen baru, Kanun Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan II sudah wujud sejak 20 tahun lalu.
"Saya jemput semua yang berminat datang ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mendengar pembentangan pindaan itu," katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan mengadakan satu sidang khas pada 29 Disember ini bagi mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993.
Pengumuman tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, dengan DAP antara paling lantang membidas langkah Kelantan yang mahu meneruskan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam itu.
DAP berkata tindakan PAS itu seperti melanggar tahaluf siyasi dipersetujui PR.
Awal hari ini, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali juga menegaskan bahawa undang-undang Hudud tidak pernah berada dalam konsensus PR. - 23 Disember, 2014.
Bahalok
ReplyDeleteMahfuz berkata PAS dan DAP "setuju untuk tidak bersetuju" mengenai hudud sejak zaman mendiang Karpal Singh.
ReplyDeleteYa itu benar, tapi apakah Karpal boleh dihidupkan semula? Dan lagi satu, bagaimana pula persepsi rakyat khususnya penyokong PR dlm PRU lepas sama ada yg Islam tapi tidak cukup kefahamannya apatah lagi yg bukan Islam? Siapakah yg akan memilih pemimpin PR nanti, puak UGkah atau rakyat sebagai pengundi?