Pertembungan sebenar ialah antara Muhyiddin dan Zahid
11:30AM Sept 13 2015
oleh Shahbudin Husin
SUARA LANTANG: Walaupun banyak mengkritik Perdana Menteri berkaitan isu 1MDB dan wang derma RM2,600 juta yang menggegarkan negara, Muhyiddin Yassin tidak dipecat daripada UMNO. Mesyurat MT parti itu pada 9 September lalu memutuskan kedudukannya kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Dengan tiada pemecatan itu bermakna kedudukan Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam UMNO tidak lagi tergugat, kecuali jika beliau mengulangi semula serangannya terhadap Najib selepas ini.
Antara yang diperkatakan oleh Najib Razak dalam sidang akhbar selepas mesyuarat MT ialah Muhyiddin berjanji untuk terus setia kepada parti dan akan sama-sama bekerja bagi memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. Tetapi apakah pilihan Muhyiddin selepas ini?
Terus setia kepada UMNO dan Najib serta berdiam diri berkaitan sebarang isu atau kekal lantang bersuara sebagaimana dilakukannya sebelum ini sehingga dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri?
Setia kepada parti mungkin tiada masalah bagi Muhyiddin kerana beliau sendiri mengakui dirinya "totok UMNO", tetapi bolehkah beliau juga setia kepada Najib sehingga pilihanraya umum dan pemilihan UMNO yang sudah dianjakkan tarikhnya kepada tahun 2018 nanti?
Apatah lagi ketika ini di mana belum pun isu 1MDB dan wang derma itu reda daripada menjadi bualan ramai, timbul pula isu Altantuya yang disiarkan oleh media antarabangsa, Al Jazeera.
Melihat kepada suasana semasa, kita tidak tahu apa lagi bakal "meletup" selepas ini.
Apakah beliau hanya berdiam diri saja ketika itu nanti? Jika Muhyiddin terus berdiam diri, tidak bersuara dan menjadi penyokong totok kepada Najib demi memastikan kerusi yang didudukinya tidak lagi dipertikaikan, wataknya secara automatik akan berubah daripada "harimau yang berani mengaum" kepada "lembu yang sudah dicucuk hidungnya".
Kalau ini berlaku, ia bukan saja menjadikan wibawanya dipertikai, bahkan akan berderai ketawa ramai terhadapnya.
Orangramai akan menyoal, kenapa ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri tidak cukup setia kepada ketua dan hanya setelah hilang jawatan baru berbuat demikian?
Bukankah jika dari dulu terus setia dan tidak menyoal apa-apa, kerusi Timbalan Perdana Menteri pasti kekal miliknya sehingga sekarang? Muhyiddin turut berisiko kehilangan penyokong kiranya berbuat demikian kerana mereka yang sebelum ini menilainya berani membuat teguran sehingga hilang jawatan dalam kerajaan, tidak akan mempercayainya lagi.
Tetapi kiranya beliau terus berani bersuara pula, lebih-lebih lagi jika senada dengan suara Tun Mahathir Mohamad, golongan pengampu dan pembodek Najib tentu saja akan mengusulkan tindakan diambil terhadapnya.
Kebarangkalian untuk dipecat atau digantung jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO adalah tinggi sekali. Tindakan Muhyiddin bersama dengan Tun Mahathir dan tidak diambil apa-apa tindakan hanyalah jika ketika itu arus penolakan terhadap Najib sudah terlalu kuat dan tidak dapat dibendung lagi.
Namun demikian, jika Muhyiddin mampu bertahan sehingga 2018 akan datang, kedudukannya itu dapat merimaskan Zahid Hamidi yang kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Najib mungkin gembira jika selepas ini dapat menukar Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden UMNO yang setia dan akur kepadanya serta dalam masa yang sama mempunyai Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri yang tentunya lebih setia kepadanya. Namun ia tidak akan menggembirakan Zahid Hamidi.
Dengan kekalnya Muhyiddin, Zahid akan menjadi Timbalan Perdana Menteri yang tidak mempunyai kuasa Timbalan Presiden UMNO untuk tempoh yang lama iaitu sehingga 2018. Beliau bukan saja tidak dapat duduk bersebelahan Najib dalam semua acara parti dan mesyuarat bulanan MT, malah tidak berpeluang merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta bukan mengetuai Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin parti.
Jika Muhyiddin dipecat atau digantung, kuasa Timbalan Presiden UMNO biasanya dipindahkan kepada Zahid atas kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sepanjang masa, kekalnya Muhyiddin sentiasa membimbangkan Zahid kerana jika berlaku apa-apa kepada Najib atau kiranya Tun Mahathir akhirnya berjaya mengasak pengunduran Perdana Menteri, penggantinya ialah Timbalan Presiden UMNO berdasarkan konsep parti menguasai kerajaan.
Sementara Muhyiddin mungkin sedang menganalisa dan mengintai-intai langkah paling baik yang harus diambilnya, antara terus bertahan dengan Najib atau menunggu detik untuk bersama Tun Mahathir bagi melonjak ke atas, beliau tidak seharusnya lupa bahawa Zahid juga sedang mencari ruang untuk memposisi dirinya ke tempat yang sama.
Ini kerana, semua sedar jika Tun Mahathir masih sihat dan kekal bertenaga, sesuatu yang pasti ialah tidak akan membenarkan Najib bertahan sehingga tarikh PRU 14 kerana ia lebih mungkin adalah detik kehilangan segala-galanya buat semua dalam UMNO.
Akhirnya, pertembungan sebenar selain antara Najib dengan Tun Mahathir, ia juga adalah antara Muhyiddin dan Zahid Hamidi.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa